30 April 2012

Persiapan dan persediaan

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua rakan rakan pengunjung. Bak kata orang, setiap kelahiran tu berbeza beza. Dan sememangnya aku tak nafikan lansung. Memang terasa perbezaannya antara anak kami yang pertama dulu dengan yang bakal lahir tak lama lagi ni insyaAllah.


Persiapan untuk isteri dan anak yang bakal lahir pun tak serupa macam anak yang pertama dulu. Mungkin masa anak yang pertama dulu tu tak berapa nak faham sangat. Namun alhamdulillah segalanya berjalan lancar jugak la.

Untuk kali ni, boleh kata banyak jugak persiapan dan persediaan awal dilakukan. Keperluan untuk anak yang bakal lahir sebahagiannya sudah sedia ada 'warisan' dari anak yang pertama dulu seperti barut, sarung tangan dan kaki, selimut, tuala, kain lampin dan beberapa pasang pakaian untuk bayi baru lahir.


Keperluan untuk isteri aku pulak mungkin kali ni agak berlainan. Antara yang akan dipraktikkan untuk kelahiran kali ni seperti produk set bersalin keluaran Nona Roguy, bantal tungku panas bermagnet dan tuala wanita berherba kegunaan selepas bersalin keluaran Susen. 

Untuk mengetahui hasilnya dari produk produk yang akan digunakan nanti, kena tunggu maklum balas dari isteri aku dulu la. InsyaAllah andainya memuaskan, tak salah rasanya untuk dikongsikan dengan rakan rakan semua.




Pucuk paku

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari Isnin buat semua rakan rakan pengunjung yang dihormati mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati Allah.

Sebelum aku menaip entri ni, anak aku melayan filem SeeFood di Youtube. Nampak macam baru je dimuat naik secara filem berdurasi penuh. Tak tau la kot esok lusa dah kena sekat pulak atas akta hak milik penyiaran. Apa pun, bagi aku filem animasi hasil karya rakyat Malaysia ni boleh menyaingi filem animasi dari luar negara.


Sekali pandang terasa macam menonton filem Shark Tale yang dikeluarkan oleh DreamWork Animation la pulak. Cuma dari segi hasil kualiti halusnya mungkin negara kita masih belum mampu untuk mengeluarkan belanja yang besar untuk menghasilkan filem animasi yang benar benar boleh bertanding dengan filem animasi luar negara.

Sementara membiarkan anak aku melayan filem SeeFood di Youtube, aku pulak sibuk di dapur. Menu untuk tengahari ni hanya rendang ayam dan sayur pucuk paku masak lemak. Kebetulan masa mencari kuih lepas selesai urusan di klinik awal pagi tadi, ternampak pulak orang menjual sayur pucuk paku yang menjadi salah satu kegemaran isteri aku.


Kalau sebelum ni asyik jumpa pucuk paku yang kurus kurus dan lebih banyak perlu dibuang dari yang boleh dimasak, kali ni memang memuaskan hati pucuk pakunya. Kononnya pucuk paku yang dijual tu diambil dari pulau pulau yang ada di Sungai Perak. Harganya RM5 untuk satu kilo. 

Rendang ayam pulak aku masak secara ringkas je. Kebetulan pulak ada bahan bahan untuk dikisar seperti lengkuas, serai dan kunyit ditanam sendiri kat belakang rumah dan tak perlu dibeli, memang memudahkan urusan. Cuma aku perlu membeli santan dan kerisik je tadi. 

Sebenarnya perasaan aku sekarang ni agak tak menentu. Esok insyaAllah isteri aku akan dimasukkan ke dalam wad untuk memulakan proses bersalin. Teruja nak dapat anak baru ada, risaukan keselamatan isteri pun ada, dan bermacam macam lagi perasaan yang tak dapat nak disebutkan. 

Terima kasih diucapkan pada rakan rakan yang mendoakan. Mudah mudahan Allah akan merahmati kalian semua. 



29 April 2012

Bersih lagi ?

  7 Komen    
Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat berhujung minggu buat semua rakan rakan pengunjung mudah mudahan kita semua dirahmati Allah. 

Sejak dari semalam membawa ke hari ni, perdebatan berkenaan himpunan bersih masih lagi menjadi bualan. Bukan sahaja di seluruh negara, malah di rumah aku pun isu bersih ni masih lagi hangat.


Kalau semalam aku menjalankan bersih bilik mandi dan seterusnya kami membersihkan seekor ayam yang dipanggang sebagai makan malam. Manakala hari ni pulak selepas rutin pemeriksaan jantung anak dalam kandungan awal pagi tadi, aku melakukan bersih halaman rumah pulak.

Padahal halaman rumah sewaan aku ni sekadar sekangkang gajah dewasa. Walaupun begitu, bagus jugak la sebab sekurang kurangnya dapat aku berbakti pada tanah. Potong rumput pun boleh dikira senaman ye tak ? Kalau nak upah orang datang mesin rumput, nampak sangat tahap kemalasannya.

Esok mungkin hari lawatan rutin terakhir untuk isteri aku melakukan pemeriksaan jantung anak dalam kandungan seandainya belum diizinkan Allah untuk anak tu melihat dunia. Dan kalau begitu, maksudnya sama ada akan dipaksa atau terpaksa bersalin je la bila tiba masanya. 



28 April 2012

Bersih 4.0

  11 Komen    
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua rakan rakan pengunjung mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati Allah. Langit di bandaraya Ipoh petang ni agak mendung. Sesekali kedengaran guruh berdentum di langit mungkin menandakan hujan bakal turun membasahi bumi.

Alhamdulillah aku bersyukur dilahirkan dengan cukup sifat pancaindera. Dianugerahkan sepasang mata untuk melihat walaupun sekarang ni memerlukan alat bantuan bagi menjelaskan pandangan jarak jauh. Juga dikurniakan akal yang masih waras untuk berfikir disetiap saat yang berdetik.


Rata rata berita utama paling hangat kat negara kita hari ni pasal himpunan bersih 3.0 yang diadakan di ibu negara. Sepertinya himpunan aman dah menjadi semakin tak aman dipenghujungnya. Diprovokasi atau memprovokasi, aku tak ambil peduli. Hanya mengikuti sedikit perkembangan umat manusia kat negara kita ni je melalui berita dalam talian.

Macam macam perkara yang disuarakan melalui himpunan yang diadakan hari ni. Dan yang pastinya matlamat utama ialah menghentam pihak atasan. Aku tak nak masuk campur sangat. Cuma aku harap, selepas himpunan bersih 3.0 ni tamat jangan la para perserta himpunan tu meninggalkan sampah sarap bertaburan dibumi Allah ni pulak. Tak la bersih namanya tu kalo penuh sampah ibu kota Kuala Lumpur tu.


Cuma yang paling menariknya, begitu ramainya umat yang bersanggupan mengharungi suasana sesak dengan banjiran manusia, ditambah lagi dengan cuaca yang panas terik. Bersatu berpadu jiwa dan raga dengan harapan dapat menawan Dataran Merdeka. Aku tak tau la apa yang seronoknya Dataran Merdeka tu. Mungkin bila berada di situ, nak buat apa pun boleh sebab namanya pun 'Merdeka'.

Tapi pada pandangan aku alangkah indahnya sekiranya seramai itulah umat nabi Muhammad SAW bersatu beramai ramai memenuhi barisan jemaah solat disetiap masjid yang ada dalam negara kita ni. Tak perlu dibasahi dengan meriam air atau menghidu gas pemedih mata, cuma perlu merapatkan barisan mengikuti imam kemudian bersungguh sungguhlah berdoa, mengharapkan kebenaran dari Allah.


Bersihkan jiwa kita terlebih dahulu. Tunaikan tuntutan Allah terhadap kita sebagai hamba Nya. Aku rasa kalaulah seluruh umat beramai ramai memenuhi tiap penjuru masjid di negara kita kemudiannya mengaminkan doa dengan satu suara bergemuruh hingga menggetarkan hati tiap mereka yang mendengarnya, pasti itu lebih menakutkan dari menunjukkan kejantanan di atas jalan raya tu. 

Khusus untuk yang beragama Islam yang mengaku umat nabi Muhammad SAW, ada berani beramai ramai keluar rumah berjalan kaki menuju masjid masjid berhampiran kemudian berdoa beramai ramai dengan penuh pengharapan kepada Allah agar Allah membantu kita menumpaskan yang bathil dan menunjukkan yang haq kerana semestinya Allah lebih adil dalam memberikan keadilan. 


Kemudian boleh la kita namakan himpunan jemaah ni sebagai bersih 4.0, berdiri berjemaah duduk berdoa. Penuhi dulu tuntutan Allah, insyaAllah pastinya tuntutan kita sebagai hamba akan dipenuhi.

Maaf andainya terpukul. Aku tak menyokong sesiapa dalam hal ni. Cuma gunakan la akal sempurna yang dikurniakan tu dengan betul. Mudah mudahan kita semua dirahmati Allah.



Bantal tungku

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari sabtu buat semua rakan rakan pengunjung tak kira dimana jua anda berada mudah mudahan perjalanan hidup kita hari ni diberkati dan dirahmati Allah.

Apa aktiviti hari ni ? Ikut menyertai perhimpunan Bersih 3.0 ? Kat Ipoh hari ni kalau rasa tak tau nak buat apa boleh la memeriahkan beberapa program yang diadakan sekitar Ipoh ni antaranya program Karnival Jom Heboh anjuran TV3 yang berlansung di Stadium Indera Mulia dan bagi rakan rakan tweeter pulak, boleh meramaikan program #twtupipoh yang berlansung hari ni jugak.


Aktiviti aku pulak, seawal jam 730 pagi tadi dah keluar bawak isteri tercinta buat pemeriksaan jantung untuk anak dalam kandungan yang dah terlepas tarikh. Sudah seminggu lamanya sebenarnya kami menjadi pengunjung harian Klinik Kesihatan Gunung Rapat ni lepas isteri aku melepasi tarikh jangkaan bersalin pada 22 haribulan yang lepas. 

Cuma yang bagusnya kami tak lagi perlu menunggu giliran sebab isteri aku cuma perlu diimbas perutnya untuk mengukur degupan jantung anak dalam kandungan je. Alhamdulillah meriah je degupan jantungnya setiap kali diimbas. Sama macam anak pertama yang dulu, melebihi tarikh jangkaan jugak. 


Dan menurut mak mertua aku, mungkin ada aspek keturunan sebab kebanyakan adik beradik isteri aku yang dilahirkan mak mertua aku semuanya terlebih tarikh jangkaan malah seorang abang ipar aku dilahirkan selepas 11 bulan berada dalam kandungan. 

Lepas selesai urusan di klinik, kami terus bersarapan di gerai roti canai yang terletak di Kampung Melayu. Cadangnya lepas tu nak singgah ke stokis Nona Roguy sebab isteri aku nak membeli sedikit keperluan selepas bersalin tapi sebab masih awal lagi dan kedai NR tu pun belum dibuka, kami singgah ke pasar terlebih dahulu.

Kononnya nak melihat lihat sayuran atau bahan mentah untuk dimasak kat rumah, tapi dengan perut yang masih terasa kekenyangan rasa tak berselera pulak melihat barang jualan kat Pasar Gunung Rapat tu. 

Namun camtu aktiviti kat pasar pagi ni berjaya jugak menipiskan kandungan poket aku dengan pembelian satu bantal tungku. Memang aku sendiri pun tertarik jugak sebenarnya dengan bantal tungku tu. Selain dapat digunakan oleh isteri aku selepas bersalin nanti, bantal tungku tu banyak jugak kegunaan lainnya.


Tak perlu lagi la nak bakar bakar batu lepas ni. Cuma 'cas'kan menggunakan elektrik untuk dipanaskan bantal tungkunya selama beberapa minit dan kepanasannya mampu bertahan lama hingga dua tiga jam. Mudah juga untuk dibawa malah anak aku pun mampu mengangkatnya. Harga yang ditawarkan juga mampu milik. 

Terdapat dua variasi bantal tungku yang dijual. Bagi yang biasa, harganya RM35 setiap satu set termasuk sarungnya dan wayar pengecas manakala bagi bantal tungku bermagnet pula harganya RM45 setiap satu set. Kalau nak murah lagi kena la beli borong banyak banyak. 

Selesai urusan membeli belah di pasar Gunung Rapat, barulah kami ke stokis NR bersebelahan restoran Nasi Ayam Nusantara. Bagi suami suami semua, berbelanjalah lebih sikit untuk isteri isteri kalian mengikut kemampuan. Bukan selalu pun isteri isteri kita tu nak melalui frasa selepas bersalin ni. Ada rezeki hujung bulan tu, kumpul sikit sikit atau khaskan sedikit untuk kegunaan isteri membeli keperluan selepas bersalin.


Walaupun terpejam mata jugak aku membayarkan untuk produk set selepas bersalin NR isteri aku tadi tu, tapi bila difikirkan ianya bukan untuk orang lain tapi untuk aku dan keluarga jugak, apa sangat la RM300 ye tak ? InsyaAllah rezeki Allah tu luas. Jangan takut untuk berbelanja bagi keluarga kerana sedekah yang lebih utama tu bila diberikan kepada ahli keluarga terlebih dahulu.

Esok pagi kami akan berkunjung ke klinik lagi. Menurut jangkaan doktor, andainya sehingga hujung bulan April ni masih belum ada tanda tanda hendak bersalin, 1 Mei nanti isteri aku perlu dimasukkan ke wad Hospital Raja Permaisuri Bainun dan kemungkinan akan dipaksa bersalin jugak. Cuma harap harap untuk kali ni biarlah isteri aku dapat bersalin secara normal sebab kalau boleh kami nak ada anak sekurang kurangnya lebih dari tiga orang, baru la meriah.



27 April 2012

Bersih

Hari ni boleh aku katakan dapur rumah aku memang tak berasap lansung. Bukan sebab kayu api basah. Lagipun dapur aku menggunakan gas memasak jadi memang susah sikit la nak nampak asap asap masakan tu kecuali masakan yang ekstrim sikit. 

Tengahari tadi lepas buat pemeriksaan jantung anak dalam kandungan isteri aku, kami terus makan tengahari di medan selera Megoplex sebab terasa malas pulak nak masak takut terkejar kejar nak ke masjid bersolat jumaat pulak. Maklum je la, sekarang ni 80% tugasan rumah memang aku yang uruskan. Tak sampai hati nak biarkan isteri yang tengah sarat menunggu hari tu berdiri lama lama walaupun untuk memasak.

Malam pulak memang kami jarang makan nasi. Anak aku pulak bersemangat mengajak ke McDonalds sebab nak bermain kat sana tu. Walaupun sementara nak menunggu waktu solat maghrib tadi pun dah macam nak terlena tapi bila sampai je ke restoran McDonalds tu terus je segar bijik matanya tu. 


Kalau minggu lepas kami memilih menu McValue Dinner untuk aku dan isteri manakala untuk anak aku pulak diberikan Happy Meals, hari ni aku mencuba Family Dinner Box. Kos keseluruhan lebih kurang sama dengan apa yang kitorang makan minggu lepas je cuma kali ni ada penambahan dua aiskrim sundae. Memang sapu bersih keseluruhannya. 



Rezeki

  14 Komen    
label: , ,
Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari jumaat buat semua rakan rakan pengunjung yang dihormati mudah mudahan di hari jumaat yang mulia ni kita semua dirahmati dan diberkati Allah.

Seminggu menghilangkan diri terasa macam berbulan pulak rasanya. Pada rakan rakan yang sudi menyinggah sepanjang seminggu lepas, terima kasih diucapkan. Alkisah sebenarnya talian internet kat rumah aku telah digantung sebentar perkhidmatannya. 


Alhamdulillah hari ni dah kembali pulih seperti sediakala selepas aku menjelaskan pembayaran yang tak cukup untuk perkhidmatan internet. Hehehe.. Bukan sekadar tu je, malah bersyukur jugak ada terlebih rezeki untuk aku belanjakan buat anak dan keperluan isteri yang bakal melahirkan anak tak lama lagi ni.

Dan alhamdulillah jugak, ujian bertulis untuk guru KAFA yang aku hadiri tu lulus dengan agak cemerlang. Dan baru semalam aku menghadiri pulak temuduga lisan guru KAFA. InsyaAllah andai ditakdirkan Allah rezeki aku sekeluarga untuk kali ni melalui penyebaran ilmu untuk generasi muda, bersyukur sangat rasanya.

Kalau nak cakap tentang rezeki ni memang panjang berjela. Tapi sebagai orang yang beriman, apa yang penting adalah untuk sentiasa bersyukur dengan setiap kurniaan yang kita terima. Bersyukur kepada Allah yang selalu tidak pernah melupakan kita. Jangan hanya menganggap apa yang terzahir di depan penglihatan kita je yang dinamakan rezeki. Setiap hela nafas yang kita hirup, setiap permandangan yang kita lihat, setiap saat yang kita lalui sepanjang hari juga adalah rezeki yang tak ternilai dari Allah.

Surah Ibrahim, ayat 7

Jadilah makhluk yang sentiasa bersyukur kepada Allah, mudah mudahan akan ditambah rezeki kita oleh Allah. Janganlah kita menjadi makhluk yang sombong dan kufur dengan setiap apa yang dikurniakan Nya, kerana azab dari Allah itu sangat keras dan pedih.


19 April 2012

Daulat Tuanku

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari khamis buat semua rakan rakan pengunjung mudah mudahan kita semua dirahmati Allah. Alhamdulillah petang semalam awal pulak turun hujannya. Terasa kurang panas yang berbahang sejak dua tiga hari lepas.

Bagi rakyat negeri Perak khususnya hari ni adalah hari cuti umum atas keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibuddin Shah yang ke 84. Semoga Allah melimpahkan rahmatNya ke atas Paduka Seri Sultan Perak. 


Bersempena hari keputeraan Paduka Seri Sultan Perak yang jatuh pada hari ni, satu majlis kesyukuran DiRaja diadakan di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar. Majlis bacaan Yasin dan tahlil serta doa selamat akan diadakan selepas solat maghrib seterusnya selepas solat isya, jamuan makan untuk semua hadirin yang sama sama meraikan majlis kesyukuran ni insyaAllah.

Beberapa acara sambutan bersempena hari keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak yang sepatutnya bermula hari ni telah ditunda sehingga ke tarikh yang dimaklumkan berikutan kemangkatan anaknda DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Allahyarham YTM Raja Dato' Seri Ashman Shah pada 30 Mac yang lepas.


Kepada yang berhampiran Kuala Kangsar tu, boleh la sama sama berjemaah di Masjid Ubudiah hari ni. Aku tak dapat nak ke sana sebab isteri pun menunggu hari je ni. Risau pulak kalau nak ditinggalkan. Lagipun esok aku kena menghadiri satu sesi ujian bertulis untuk temuduga guru KAFA pulak. 



18 April 2012

17 April 2012

Haid

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari selasa buat semua rakan rakan pengunjung. Didoakan mudah mudahan kita semua dirahmati Allah. Pagi ni tadi aku tengok ramai betul berkerumun di bilik pameran Proton sekitar Ipoh selepas perasmian rasmi model baru Proton Preve malam tadi. Terasa teringin jugak nak menyelit tapi disebabkan beberapa urusan penting yang harus diselesaikan terlebih dahulu, biarkan saja mereka di sana.

Semalam aku diberikan pertanyaan spontan oleh salah seorang protege lelaki yang teringin nak tahu pasal haid. Terkelu jugak mulanya lidah aku mendengarkan soalannya tu sebab protege aku tu baligh pun belum lagi. Tapi disebabkan dah memang menjadi kewajipan aku sebagai mentor untuk memberikan tunjuk ajar kepada setiap persoalan yang ditujukan, jenuh jugak la aku menerangkan dengan lanjut supaya mudah difahaminya.

Al Baqarah (ayat 222)

Haid ni adalah satu proses fisiologi yang hanya berlaku kepada kaum wanita apabila tiba masa akil baligh. Ianya akan terus berlaku hinggalah tiba masa seseorang wanita tu mengalami saat menopause. Persoalan mengenai haid ni juga ada disebutkan di dalam Al Quran sebagai menjadi panduan bagi kita semua umat Islam.

Tempoh haid yang paling singkat bagi kedatangan haid ni dikatakan satu hari satu malam manakala tempoh maksimum paling lama adalah 15 hari. Dan kebiasaan kedatangan haid ni bagi wanita yang mengalaminya adalah sekitar 5 hingga 7 hari dalam sebulan namun tak menjadi kemestian bagi setiap wanita tu mengalami tempoh haid yang sama setiap seorang. 

Segan jugak nak berkongsi pasal haid ni, tapi kalau ada rakan rakan yang nak mengetahui lebih lanjut pasal haid ni boleh la memperlajarinya serba sedikit di sini. Bukan hanya untuk kaum wanita je, kaum lelaki pun harus juga ambil tahu pasal hal hal kewanitaan ni sebenarnya.

Misalnya apabila sudah berumahtangga, mempunyai isteri dan anak anak perempuan yang pastinya akan menempuh perkara haid ni atau kalau belum  berumahtangga sekalipun pastinya mungkin ada adik beradik perempuan yang mengalami haid ni. 

Bukan la maksudnya kita perlu nak menyebok bertanyakan soalan samada mereka sedang kedatangan haid atau tidak, sebab nanti silap haribulan lebam sebelah mata pulak. Tapi sekadar untuk mengingatkan kepada mereka perkara yang wajib tahu apabila kedatangan haid ni.

Umumnya kita semua faham, apabila kaum wanita ni kedatangan haid maka terhalanglah mereka dalam perkara ibadat seperti solat, puasa, haji dan sebaginya untuk beberapa waktu yang ditetapkan. Namun begitu, tak bermaksud perkara ibadat tu untuk kaum wanita boleh diambil ringan. 


Terutama ketika berakhirnya tempoh haid tu. Disebabkan aku tak pernah berpengalaman merasai kedatangan haid, namun sudah pasti bagi kaum wanita yang dah arif pasal haid ni tahu bagaimana ianya berakhir. Dan waktu berakhir haid tu adalah waktu yang sangat kritikal bagi setiap wanita untuk melaksanakan kewajipan mereka sebagai hamba Allah yang bersyukur.

Ketika kedatangan haid, kaum wanita diberikan kelonggaran untuk tidak menunaikan solat terutamanya. Namun perlu berhati hati ketika berakhirnya tempoh haid tu agar tidak ketinggalan waktu solat yang diwajibkan tu. Misalnya, tempoh berakhir haid berlaku selepas masuknya waktu zohor. Untuk meyakinkan diri, lanjutkan sedikit masa lebih kurang satu jam. 

Maka andai kata selepas satu jam tiada lagi keluar darah haidnya, dan belum lagi masuknya waktu solat asar bersegeralah mandi junub dan menunaikan solat zohor sebab kalau sengaja dilewat lewatkan mandi junub tu sampai terlepas waktu solat tak pasal pasal pulak berdosa dan terpaksa mengqado solat tersebut.

Oleh sebab tu, kaum lelaki yang bakal menjadi pemimpin keluarga kena la ambil tahu jugak pasal berkenaan haid ni sebab kalau kita gagal untuk menegur dan mendidik ahli keluarga kita, tempias dosanya terasa bersama. Untuk kaum wanita pun, sentiasa la beringat selalu sebab perkara haid ni kan atas diri sendiri je. Jangan sebab kononnya diberikan kelonggaran maka segalanya pun dilonggar longgarkan.

Andai ada kesilapan dan kekurangan dalam perkongsian hari ni mohon ditegur tegur dan diperbetulkan. InsyaAllah mudah mudahan perkongsian ini bermanfaat untuk semua.



16 April 2012

Syariat siapa ?

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari isnin buat semua rakan rakan yang sentiasa didoakan mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati Allah. 

Alhamdulillah kita masih lagi diberikan peluang untuk menikmati segala pemberian Allah di muka bumi ni untuk kesekian kalinya. Namun begitu jangan kita lupa bahawa kematian itu adalah pasti terjadi tak kira sekuat, semuda atau sesihat mana pun kita seperti yang menimpa ke atas pemain bolasepak,  Piermario Morosini yang rebah maut ketika sedang bermain bola akibat serangan jantung.


Ketika menonton rancangan Nona di TV3 petang semalam, aku berasa muak dan jelik pada tayangan segmen fesyen. Disebabkan rancangan Nona tu menjurus untuk kaum wanita, dah tentulah fesyennya juga untuk kaum wanita. Cuma yang terasa menjengkelkan tu apabila pengacaranya membacakan skrip yang aku rasa mencemarkan keindahan Islam tu sendiri.


Bila disebut busana muslimah, pasti kita terbayangkan pemakaian menutup aurat. Seharusnya begitu la. Tapi yang menyakitkan hati tu apabila dilabelkan pemakaian fesyen busana muslimah tu adalah mengikut kehendak syariat Islam. Belum lagi ayat 'berjinak jinak' untuk memakai tudung.

Mereka bukan buta fesyen kerana memang kerjaya mereka adalah sebagai pereka fesyen. Mencipta sesuatu pakaian untuk dipakai oleh mereka mereka yang dahagakan pakaian berfesyen. Namun janganlah sampai buta agama dan menghalalkan cara. Asalkan menutup rambut dikatakan mengikut kehendak syariat.


Syariat siapakah tu ? Syariat Islam atau syariat syaitan ? Apakah mereka yang berkata tentang fesyen berlandaskan kehendak syariat tu benar benar memahami erti sebenar kehendak syariat tu sendiri ? Atau sekadar menjadi penyebar fahaman sesat ke dalam minda kita yang tak berapa nak patuh dengan syariat sedia ada.

Memang menjadi fitrah manusia ni sukakan kepada kecantikan. Bagi yang lelaki memang suka untuk melihat sesuatu yang indah indah. Bagi yang perempuan pulak, suka untuk menjadi yang indah indah. Tiada dosa pada perbuatan keduanya selagi mana mengikut jalan yang ditunjukkan oleh Islam.


Kaum lelaki tak salah nak menjamu pandangan melihat kecantikan dan keindahan ciptaan Allah yang terdapat pada kaum wanita asalkan yang dipandang dilihat dan ditenung tu isteri yang halal untuknya. 

Kaum wanita pula tak salah untuk berfesyen seperti mana sekalipun walaupun nak bergaya seperti Lady Gaga atau bermekap tebal mengalahkan badut di sarkis asalkan ianya untuk tatapan suami tercinta, bukannya untuk tontonan umum. 

Kalau betul betul nak ikut landasan kehendak syariat, pastikan la jalan yang dipilih tu benar benar mengikut lunas lunas syariat yang ditetapkan dalam Islam. Jangan menyalahgunakan bahasa sehingga merosakkan fahaman. Tak pasti la pulak mungkin ada syariat lain yang membenarkan kaum wanitanya memakai pakaian yang menyerlah warnanya, terbonjol kepalanya dan lain lain lagi gaya yang dikatakan mengikut syariat. 

Surah An Nur, ayat 31
Janganlah kita mudah terikut ikut dengan arus kemodenan yang adakalanya menyesatkan akidah. Dan janganlah kita menjadi mudah terperdaya sehingga menyebabkan kita percuma mendapat dosa. Sama samalah kita membersihkan diri dari segala dosa dan kemungkaran, mudah mudahan kehidupan kita di dunia ni akan dirahmati Allah.






15 April 2012

8 Ganjaran Buat Isteri Yang Solehah

  6 Komen    
label: 

Assalamualaikum, salam sejahtera, selamat hari ahad dan selamat bersantai bersama keluarga di rumah atau di mana saja anda berada mudah mudahan kita semua dirahmati Allah. 

Apa aktiviti dihujung minggu ni ? Bersiar siar bersama keluarga atau rakan rakan ? Atau mungkin menghadiri majlis sepetang bersama blogger anjuran Denaihati Network yang diadakah di Hotel Singgahsana ? Atau mungkin menghadiri majlis perkahwinan sahabat handai, saudara mara atau anda sendiri yang bernikah pada hari ni seperti Natasha Hudson yang melansungkan pernikahannya untuk kali ke tiga hari ni ?

Cakap pasal nikah ni, sesungguhnya berumahtangga ni memang sangat menguntungkan. Bukan hanya keseronokan hidup berpasangan, malah berapa banyak pahala yang Allah janjikan untuk hambaNya yang menghalalkan hubungan antara lelaki dan wanita melalui jalan pernikahan ni. 


Entri hari ni ditujukan khas buat kaum Hawa yang bergelar isteri dan bakal bergelar isteri. Walau berbagai cerita berunsur negatif yang mungkin didengari seperti kepenatan menguruskan rumah, kepayahan sewaktu mengandung dan membesarkan anak namun semua itu bukanlah percuma malah ganjarannya melangkaui apa yang kita dapat fikirkan. 

Buat para suami dan bakal suami, kongsikan kelebihan dan ganjaran untuk isteri korang ni. Dan buat para isteri dan bakal isteri, ini adalah berita gembira untuk korang semua.

1) “Sekali suami minum air yang disediakan oleh isterinya adalah lebih baik dari berpuasa setahun”


Bukan mudah nak berpuasa setahun. Sedangkan yang sebulan pun terasa perit nak menghabiskannya walaupun ganjaran pahalanya amat banyak dari Allah. Tapi dengan hanya memberikan air minuman untuk suami pun adalah terlebih baik dari berpuasa selama setahun ganjarannya. 

2) “Makanan yang disediakan oleh isteri kepada suaminya lebih baik dari isteri itu mengerjakan haji dan umrah” 

Tak tahu memasak ? Itu bukan alasan untuk tidak menyediakan makanan untuk suami dan anak anak. Banyaknya medium untuk mempelajari cara cara memasak dan sebagainya tu. Takkan nak mengharap makanan dari luar je terhidang di meja makan ?

3) “Mandi junub si isteri disebabkan jimak oleh suaminya lebih baik baginya daripada mengorbankan 1,000 ekor kambing sebagai sedekah kepada fakir miskin”


Ingat kambing ni murah ke ? Kalau 1,000 ekor kambing rasanya dah macam boleh nak beli kereta. Walaupun penat berkerja atau sebagainya, bila suami berkehendak tu bersemangat la sikit. Nak lagi seronok, bila suami nak mengulangi minta izin nak mandi junub dulu (baru la macam 2,000 ekor kambing).

4) “Apabila isteri hamil ia dicatitkan sebagai seorang syahid dan khidmat kepada suaminya sebagai jihad”

Abaikan je cerita cerita kurang enak yang didengar atau dibaca tentang kesakitan dan kesukaran ketika mengandung. Walaupun memang benar begitu banyak sakit perit yang dialami ketika mengandung ni, tapi tu semua bukanlah penyeksaan dalam kehidupan.

5) “Pemeliharaan yang baik terhadap anak-anak adalah menjadi benteng neraka, pandangan yang baik dan harmonis terhadap suami adalah menjadi tasbih (zikir)”


Nakal macam mana pun anak tu, mereka tetap anak kita sendiri jugak. Mungkin tersilap mendidik tapi tak bermakna perlu diabaikan terus. Kalau suami tiba tiba menjengkelkan, jangan menjeling sampai terjuling mata.

6) “Tidak akan putus ganjaran dari Allah kepada seorang isteri yang siang dan malamnya menggembirakan suaminya”

Walaupun anda seorang yang berpenampilan garang atau serius, tak bermakna anda tak boleh nak bertukar menjadi seorang yang menghiburkan lebih lebih lagi untuk suami dan anak anak. Suami mana yang tak rindukan rumah andai suasana gembira memenuhi setiap ruang rumah tu.

7) “Apabila meninggal dunia seorang wanita dan suaminya redha, nescaya ia dimasukkan ke dalam syurga”. (Hadis Riwayat Tarmizi)

Andai ketika semasa hidup dicintai dan dikasihi oleh suami, mana mungkin ada suami yang tidak meredhoi kematian isteri tercinta tu walaupun pedih sedih terbuku dihati. Cinta bukan hanya di dunia akhirnya, biarlah hingga membawa ke akhirat sana.

8) “Seseorang wanita apabila ia mengerjakan sembahyang yang difardhukan ke atasnya, berpuasa pada bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dirinya dan taat kepada suaminya maka berhaklah ia masuk syurga dari mana-mana pintu yang ia suka”


Sedangkan kalau di dunia ni kita diberikan hak untuk memilih masuk mana mana pintu pusat membeli belah secara percuma sebanyak mana yang kita mahu pun dah tentu terasa nak pengsan mendengarnya ni pulak boleh nak pilih pintu syurga yang lebih banyak nikmatnya daripada kenikmatan dunia ni. 

Dan ingatlah wahai wanita, semua itu terangkum di dalam suatu perkataan iaitu "TAAT"...

(Hadis riwayat Anas Bin Malik) 



14 April 2012

Panduan

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari sabtu buat semua rakan rakan pengunjung yang dihormati mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati Allah. 

Hidup kita di dunia ni penuh dengan panduan. Andai kata tanpa adanya panduan, maka betapa sukarnya untuk kita menjalani kehidupan sehari hari. Bagi umat Islam khususnya, panduan terutama yang perlu kita ikuti adalah apa yang terkandung di dalam Al Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Dan berbagai bagai lagi panduan lain yang ada boleh kita rujuki seperti yang ditulis oleh pakar pakar kajian dan sesiapa sahaja yang lebih berpengalaman dari kita sendiri.


Tanpa panduan pastinya kehidupan kita akan menjadi kucar kacir. Tak tahu mana arah hala tuju. Apa saja yang dibuat pastinya seperti tikus membaiki labu. Tanpa panduan juga menjadikan kita ibarat seorang yang buta matanya, pekak telinganya dan bisu mulutnya. Bukan setakat tu je, bahkan tak ada pembantu untuk memudahkan setiap perbuatan kita.

Maka sebab tu la kita sebagai manusia yang dijadikan Allah untuk mentadbir muka bumi ni perlu sentiasa merujuk kepada setiap panduan yang ada bagi menyempurnakan setiap tugasan kita sebagai hambaNya. Kerana tanpa merujuk kepada panduan yang ada, ianya akan menyebabkan kita menzalimi diri kita sendiri bahkan mungkin menyebabkan kita mendapat kemurkaan dari Allah. 



13 April 2012

Musafir dunia

  4 Komen    
label: 
Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari jumaat buat semua rakan rakan pengunjung yang dikasihi lagi dihormati sekalian mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati Allah.

Baru baru ni kita dikejutkan lagi dengan kejadian gempa bumi yang melanda Aceh di Indonesia sehinggakan beberapa negeri di negara kita sendiri turut dapat merasakan gegarannya yang mendatangkan suasana panik diikuti dengan amaran tsunami yang dikeluarkan mungkin berlaku.


Alhamdulillah walaupun gempa bumi yang berukuran 8.9 skala richter itu tidak mencetuskan ombak tsunami sehingga meragut banyak nyawa seperti yang berlaku pada tahun 2004. Walaupun begitu ianya tetap memberikan suasana kecoh dan panik disekitar kawasan yang terlibat.

Semalam sempat aku membelek akhbar di kediaman DSZ sementara menunggu anaknya pulang dari kelas agama. Dalam akhbar tu ada memaparkan gambar gambar sekitar Aceh yang dilanda gempa bumi tersebut. Salah satu gambar yang agak menarik perhatian aku adalah gambar dimana ramainya orang yang berkumpul di kawasan Masjid Raya Baiturrahman selepas gempa bumi itu berlaku, mungkin untuk mencari perlindungan di sana.


Mungkin kerana ketika berlakunya gempa bumi dan tsunami melanda Aceh pada tahun 2004 dahulu, beberapa masjid sekitar Aceh terselamat dari kemusnahan tsunami yang mengorbankan banyak nyawa tu. Apakah itu sebenarnya tanda tanda yang ditunjukkan Allah agar kita kembali taat kepada Nya kerana kita semakin melupakan tugas kita sebagai hamba ? 

Bukan aku nak menghakimi perbuatan menjadikan masjid Allah itu sebagai satu tempat perlindungan tapi terasa sedikit sedih apabila disaat menuju kehancuran barulah kita mencari cari belas ihsan dari Allah untuk menyelamatkan diri dari bencana. 

Betapa lalainya kita dengan kehidupan dunia sehari hari sehingga sering kali melupakan tentang kehidupan akhirat yang lebih kekal abadi. Tanpa sedikit amaran dari Allah, bangganya kita memenuhi gedung gedung pasaraya dan pusat pusat hiburan. Apabila diberikan sedikit amaran dari Nya, barulah kita menangisi dan mencari perlindungan memohon dari Allah agar menyelamatkan nyawa kita yang sangat murah ni. 


Mungkin hari ni pun kita sudah kembali melupakan amaran yang diberikan oleh Allah tu. Kembali kepada kehidupan dunia yang melalaikan. Jauh dari mengingati Allah. Jauh dari meletakkan dahi sujud tunduk mengharap keredhoanNya. Mungkin juga dikala ini kita bergelak ketawa menceritakan pengalaman masing masing melarikan diri dari suasana panik akibat gegaran gempa bumi baru baru ni. 

Apakah kita perlu menunggu sehingga Allah mencabut gunung ganang atau mengeringkan lautan dihadapan mata kita barulah kita akan benar benar taat kepadaNya ? Hiduplah di dunia ni ibarat musafir yang mencari keuntungan untuk kehidupan yang sentosa apabila tiba ke destinasi kekal abadi. Jangan kita lupa, dunia ini hanyalah sementara. Akhirat jua yang kekal abadi.



12 April 2012

Titanic Super 3D

  5 Komen    
label: 
Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari khamis buat semua rakan rakan pengunjung yang dikasihi mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati Allah. 

100 tahun yang lepas, tercatatnya sejarah dalam dunia pelayaran apabila kapal persiaran British yang dinamakan RMS Titanic yang mana ketika itu dinobatkan sebagai kapal persiaran terbesar memulakan pelayaran merentasi samudera laut dari Southampton, England menuju ke bandaraya New York di Amerika.


Lebih menjadikannya bersejarah apabila lima hari kemudian selepas memulakan pelayaran sulungnya, kapal RMS Titanic ni ditimpa kemalangan yang dikatakan terburuk dalam sejarah pelayaran apabila 1,517 daripada penumpangnya maut setelah kapal tersohor tu berlanggar dengan bongkah ais di lautan Atlantik Utara. Ternyata walau betapa hebatnya ciptaan manusia tu takkan dapat nak menandingi ciptaan Allah walaupun hanya seketul ais.

Dan kononnya untuk memperingati ulangtahun ke 100 pelayaran tak lengkap RMS Titanic ni, berbagai acara diadakan antaranya pelayaran MS Balmoral yang mengikuti laluan asal kapal RMS Titanic, tayangan semula filem Titanic arahan James Cameron dipawagam seluruh dunia dalam bentuk 3D dan berbagai dokumentari berkenaan Titanic di saluran TV.


Seingat aku filem Titanic arahan James Cameron ni pertama kali ditayangkan pada penghujung tahun 1997 ketika mana rakyat seluruh Malaysia sedang menunaikan ibadah puasa. Filem lakonan Leonardo DiCaprio dan Kate Winslet sebagai watak utamanya ni memang sangat menggegarkan pawagam apabila membuatkan penonton begitu tersentuh dengan seluruh jalan ceritanya tambahan lagi dengan lagu tema, 'My heart will go on' nyanyian oleh Celine Dion yang sentiasa menjadi pilihan carta radio ketika tu.

Kini filem Titanic ditayangkan semula ke pawagam. Dengan pengolahan semula kepada versi 3D yang menelan belanja $18 juta dolar tu pasti membuatkan penonton bagaikan merasai sendiri pengalaman berada di dalam filem tersebut. Pengkritik pengkritik filem terkenal seperti Peter Travers, Owen Gleiberman dan Richard Corliss masing masing memberikan rating tertinggi untuk filem Titanic 3D ni.


Namun yang lebih menarik dengan lebih 6 juta tontonan seluruh dunia, dibawakan oleh pistolshrimps melalui Youtube hasil kerjasama antara pengarah J.J Abrams, George Lucas dan Michael Bay mempersembahkan Titanic Super 3D. Filem yang lebih epik sehingga bakal membuatkan air mata penonton mengalir bukan sahaja kerana tersentuh pilu dengan adegan yang menyedihkan malah mengalir akibat kesengalan dan lawak jenaka yang diselit selit dalam plot filem Titanic ni. Jom kita tonton video yang disajikan di bawah ni. 






11 April 2012

10 April 2012

Tiga bulan pertama

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari selasa diucapkan buat semua rakan rakan pengunjung yang dihormati mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati Allah.

Orang kata cabaran membesarkan anak ni berbeza beza. Aku tak pasti la sangat penyataan tu sebab anak pun baru sorang dan bakal menerima sorang lagi dalam masa terdekat ni insyaAllah. Cuma yang aku pasti, untuk membesarkan anak ni memang mencabar.


Surah Al Isra', ayat 31


Kalau nak membicarakan bab perbelanjaan bila dah ada anak tu sebenarnya sebagai umat Islam yang beriman kita tak perlu risau sebab sesungguhnya Allah telah menyediakan bagi setiap makhluk Nya rezeki masing masing. Tak perlu la berasa khuatir dan bimbang sampai terniat nak 'membuang' anak yang dikandungkan tu. InsyaAllah setiap anak yang dilahirkan tu pastinya ada rezekinya masing masing.


Tiga bulan pertama selepas kelahiran anak sulung mungkin agak kekok bagi pasangan yang pertama kali menimang cahaya mata sebab belum berpengalaman. Bagi yang mendapat bantuan dari ibu bapa tu mungkin agak mudah la sebab dah pasti sebarang kekekokan tu dapat diatasi oleh ibu bapa kita yang lebih berpengalaman.


Waktu tiga bulan pertama ni la antara suami dan isteri yang baru menimang cahaya mata ni kena saling bantu membantu. Maklum saja la bagi si isteri masih lagi berada dalam masa berpantang. Tubuh badan pun masih belum kuat sepenuhnya namun tetap juga perlu menjaga anak yang baru lahir tu. Jadi bagi si suami pulak, jangan mengharapkan isteri untuk menyediakan segalanya.




Walaupun penat setelah pulang dari kerja, ringan ringankan la badan untuk turut membantu isteri tu. Sediakan makan malam ke, kemas kemas rumah sikit ke, mandikan anak tu ke dan macam macam la lagi yang boleh nak dibuat. Dan kalau anak menangis tengah malam pun, jangan merungut banyak atau marah marah pegi lari tidur kat bilik lain pulak. Apa salahnya bangun sebentar tengokkan anak yang menangis tu. Bukan anak orang lain pun yang banyak meragam tu ye tak ?


Selain tu jugak, dalam tiga bulan pertama ni aspek kesihatan ibu dan anak tu perlu diambil berat jugak. Bagi bayi bayi baru lahir ni masalah yang biasa dialami tu tak lain tak bukan jaundice atau kuning tu la. Tu sebab kena diperiksa selalu masa dua minggu pertama kelahiran tu. Ibu yang melahirkan pun sama jugak. Tahap kesihatan selepas melahirkan anak pun kena dipantau selalu.


Dan seboleh bolehnya dari awal kelahiran anak tu, berikanlah makanan yang terbaik untuknya. Tak perlu keluarkan belanja yang tinggi pun. Susu ibu dia sendiri jugak yang paling terbaik sepanjang tumbesarannya. Takde yang lebih baik dari apa yang telah Allah ciptakan untuk setiap makhluk Nya. Tak payah takut nanti kendur ke ape ke. Dah memang hak anak kita tu kenapa perlu ditahan tahan pulak ? 




Banyak kelebihan yang diperolehi melalui amalan menyusu badan ni. Jimat duit tu dah tentu. Badan cepat slim pun insyaAllah. Anak yang menyusu pun mudah hadam susu ibunya. Kenser payudara ? InsyaAllah terhindar. Begitu jugak dengan kanser ovari, kurang risikonya bila menyusu badan ni. Susu ibu ni jugak ada imunisasi untuk anak yang menyusu tu. Melalui pengalaman anak sendiri yang hanya menyusu badan dengan mama dia, alhamdulillah tak pernah bermasalah demam yang teruk, jaundice atau sebagainya tu. 


Tu baru tiga bulan pertama. Selalunya tak terasa pun tiga bulan tu berlalu. Cuma dalam masa tiga bulan pertama ni buat pasangan suami isteri yang baru menimang cahaya mata tu, tak kira la yang ke berapa pun cahaya matanya tu kalau boleh bantu membantu la sesama sendiri. Jangan hanya buat anak je seronok tapi nak jaga anak rasa tak seronok. 


InsyaAllah nanti kita kongsi pulak pengalaman selepas tiga bulan tu. Kalau ada rakan rakan yang berminat nak berkongsi pengalaman jugak, jangan lupa tinggalkan di ruangan komen. InsyaAllah boleh la dihighlightkan untuk dikongsikan bersama dalam entri akan datang. 





09 April 2012

Siapa lebih berkuasa ?

  10 Komen    
label: 
Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari isnin buat semua rakan rakan pengunjung yang dihormati mudah mudahan kita semua dirahmati Allah. Sekarang ni cuaca kat Ipoh agak tak menentu. Seringkali jugak dilanda angin kuat dan hujan lebat di waktu petang. 

Membicarakan berkenaan tajuk perkongsian hari ni, selalunya kita takkan dapat lari dari kenyataan. Tapi tak semua yang terlibat. Mungkin segelintir dari kita atau mungkin sekali sekala kita pernah melibatkan diri dalam perkara yang tak sepatutnya kita lakukan.


Adakah sudah menjadi fitrahnya kita sebagai manusia untuk ingkar kepada arahan dan larangan ? Rasanya tak patut lansung kalau nak menyalahkan fitrah ye tak ? Cuma kita perlu tanya pada diri kita sendiri, adakah patut kita menjadi makhluk yang susah nak taat pada arahan dan larangan ?

Kalau dalam hubungan sesama manusia, banyaknya kita dapat lihat betapa degilnya kita sebagai manusia yang sepatutnya patuh pada arahan yang dikeluarkan tetapi melanggar arahan tersebut seolah olah kita lebih berkuasa dari penguatkuasa yang menetapkan arahan itu.

Bila pihak berkuasa mengeluarkan arahan untuk tidak meletakkan iklan iklan ditepi jalan atau ditiang elektrik sesuka hati, semakin banyak pulak terlihat dilekat sana sini seperti mencabar pihak berkuasa bahawa tiada apa yang dapat menghalang pelanggaran arahan tersebut.


Termasuk juga larangan membuang sampah, larangan merokok, larangan berniaga, larangan meletak kenderaan dan sebagainya. Semakin dilarang maka semakin galak pula dilanggar larangan tu. 

Adakah kita sengaja nak membuktikan hebatnya kita atau nak menunjukkan keberanian kita mengingkari setiap arahan dan larangan yang dikeluarkan oleh penguatkuasa tu ? Bagaimana pulak dalam hubungan dengan Allah ? Andai dengan angkuhnya kita  melalaikan diri dari mematuhi arahan Nya, adakah kita sengaja nak membuktikan kepada Nya bahawa siapa yang lebih berkuasa ?



08 April 2012

Marrying the Mafia IV (가문의 영광 4)

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat menikmati hari hujung minggu anda dengan pelbagai aktiviti bersama rakan rakan mahupun keluarga. Apa jugak aktiviti yang dilakukan, jangan sampai leka dan lalai untuk menunaikan tanggungjawab sebagai hamba Nya pulak. Mudah mudahan dengan sentiasa memelihara tanggungjawab kita tu, Allah akan memberkati dan merahmati.

Seperti biasa dihujung minggu ni entri ulasan bagi filem pilihan dari Youtube. Kalau minggu lepas filem berunsur seram menjadi pilihan, minggu ni masih lagi filem dari negara Korea Selatan cuma kali ni filem berunsur komedi menjadi pilihan tontonan di Youtube.


Filem yang bertajuk "Marrying the mafia 4 : Unstoppable Family" atau juga "Marrying the mafia 4 : Family Ordeal" menjadi pilihan kali ni. Kalau rakan rakan pernah mengikuti siri filem Marrying the mafia ni dah tentu kenal dengan pelakon pelakon utamanya yang terdiri dari Kim Soo-Mi, Shin Hyun-Joon, Tak Jae-Hoon, Lim Hyung-Joon, Jeong Jun-Ha dan Hyun-Young.


Setelah bersara dari menjadi mafia, keluarga puan Hong menceburkan diri dalam bidang industri makanan tradisional Korea iaitu kimchi. Setelah lama berada dalam sekatan ke luar negara, akhirnya mereka sekeluarga mendapat kebenaran setelah berkelakuan baik dan tidak lagi mendatangkan masalah.


Destinasi yang menjadi pilihan keluarga bekas mafia ni ialah Jepun. Pelbagai aksi komedi yang dapat ditonton ketika mereka berada di dalam penerbangan menuju ke destinasi percutian mereka tu. Setelah sampai ke negara Jepun, berlaku satu insiden rompakan bank ketika keluarga bekas mafia ni nak menukar matawang mereka.


Malangnya bagi kumpulan perompak bersenjata tu apabila dengan mudah ditewaskan oleh ahli keluarga puan Hong. Namun begitu, salah seorang dari perompak tu berjaya melarikan diri dengan membawa beg berisi wang milik keluarga puan Hong setelah berlaku sedikit salah faham antara polis Jepun dan keluarga puan Hong. 


Bermulalah aksi kejar mengejar [ikut mengikut] demi mengambil kembali wang milik mereka. Tetapi nasib kurang menyebelahi apabila mereka ditinggalkan oleh perompak itu ditengah hutan pergunungan. Tanpa wang untuk dibelanjakan dan masalah bahasa membuatkan perjalanan mereka semakin sukar.

Pastinya penonton tak kering gusi melihatkan berbagai aksi aksi komedi sepanjang perjalanan filem ni. Berbanding dengan filem filem Marrying the mafia 1,2 dan 3 sebelum ni, filem Marrying the mafia 4 ni aku dapati lebih mesra tontonan keluarga kerana kurang babak babak tak berapa nak sihat untuk tontonan anak anak kecil.

Aku berani untuk mempertaruhkan 5 bintang penuh bagi filem ni. Cukup menghiburkan dan membuatkan perut senak akibat ketawa gelihati melihatkan aksi aksi komedi filem hasil penulis Kim Young-Chan di bawah arahan Jung Tae-Won.