31 July 2012

Panggilan hangat

  5 Komen    
Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari selasa buat semua rakan rakan pengunjung yang dihormati lagi dikasihi mudah mudahan kita semua beroleh rahmat dan keberkatan dari Allah.

Hari ni aku nak sambung kisah pasal panggilan telefon yang agak mengganggu kehidupan aku seminggu dua ni. Kalau sebelum ni aku banyak menerima panggilan hangus dari astro yang menuntut bayaran, lepas dah selesai semuanya tu aku menerima pulak panggilan hangat.

Segalanya bermula selepas aku terpaksa membuka dua akaun bank baru untuk memudahkan urusan kemasukan elaun KAFA. Dan seperti biasa, bila nak bukak akaun kena la isi borang-borang yang disediakan. 

Dan kebanyakan pihak bank masakini tidak membekalkan pelanggan baru buku akaun bank kecuali jika ada permintaan dari pelanggan itu sendiri. Dan bagi memudahkan urusan, perkhidmatan perbankan internet diperkenalkan kepada pelanggan.


Disebabkan kebanyakkan penduduk bumi masakini memiliki telefon bimbit setiap seorang hinggakan kemungkinan pelajar pun akan dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah, maka dalam mengisi borang pembukaan akaun baru juga perlu memasukkan nombor telefon bimbit.

Tujuannya untuk memastikan pelanggan dapat menggunakan perkhidmatan perbankan internet kerana kebanyakan transaksi yang dilakukan dalam talian memerlukan pelanggan untuk memasukkan pin TAC yang dibekalkan dari pihak bank.

Dan semestinya amat jarang sekali ada pelanggan yang sudi untuk menghabiskan masa mereka untuk membaca terma dan syarat yang tulisannya maha kecil didalam borang yang diisi tu.


Dan samada rela atau terpaksa, sebagai pelanggan yang ingin menggunakan perkhidmatan mereka (bank) perlu la mematuhi dan bersetuju dengan setiap terma dan syarat yang dikenakan oleh pihak bank tu.

Oleh kerana kebanyakan bank tidak membekalkan buku akaun, mereka memberikan kad ATM sebagai memudahkan pelanggan dimana pelanggan perlu membayar kos untuk kad tersebut dan ada juga yang perlu dibayar secara tahunan tak termasuk cas lain jika mengeluarkan wang kita yang kita simpan sendiri melebihi empat kali dalam bulan tersebut.

Dan diantara terma dan syarat yang kita sebagai pelanggan terpaksa bersetuju ialah pendedahan maklumat diri kita kepada pihak lain yang bersangkut paut dengan kepentingan pihak bank tu sendiri.

Dan itulah yang mengganggu kehidupan aku kebelakangan ni. Panggilan hangat dari pihak insuran kononnya sebagai pemegang kad debit, aku ni terpilih untuk mengikuti program insuran yang ditawarkan.

Bukan satu malah hinggakan tiga syarikat insuran yang modus operandinya sama. Aku sebagai orang yang terpilih untuk ditawarkan insuran tersebut. Kalau terpilih untuk memenangi hadiah tu seronok la jugak. Ni terpilih untuk insuran.


Bukan la tak bagus kalau ada insuran ni. Tapi kalau sampai dua tiga jenama nak rebut, tumpor juge yeop. Bagi tidak menghampakan pemanggil panggilan hangat tu, aku layankan jugak la setiap penerangan panjang lebar diorang tu. 

Pastinya aku juga akan mengiyakan setiap pertanyaan dan penerangan yang diajukan. Hingga akhirnya sebagai kata penutup dari aku untuk menamatkan perbualan, "Maaflah kerana saya tidak berminat dan saya ada banyak lagi komitmen lain untuk melakukan pembayaran"

InsyaAllah, lain kali kita kongsi pasal kad ATM yang memenuhi dompet kita tu pulak ye. Kalau dulu tebal dompet kerana duit, sekarang ni tebal dompet kerana kad plastik.





29 July 2012

Tak mampu berdiri lama

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat berhujung minggu buat semua rakan rakan pengunjung yang dihormati mudah mudahan kita beroleh keberkatan dan rahmat dari Allah.

Semalam aku sempat berbual dengan seorang sahabat di facebook. Katanya, mengapa bila bulan Ramadhan je kita jarang untuk membuang air ke tandas. Adakah tubuh kita menyimpan air yang diminum tu dan mempergunakannya semula seperti yang dilakukan oleh unta

Logiknya aku cuma dapat memikirkan satu dua jawapan je. Antaranya kemungkinan benar tubuh kita bertindak menyimpan air yang kita minum pada malam hari tu untuk memberikan tenaga dan kelembapan disiang hari Ramadhan.

Mungkin jugak bila di bulan Ramadhan ni iblis dan syaitan telah dirantai maka keinginan untuk 'melawat' mereka di tandas tu berkurangan. Atau mungkin kerana sebahagian orang apabila di bulan Ramadhan ni menghadkan pergerakan mereka atas alasan menyimpan tenaga.

Disebabkan aku bukan doktor pakar sakit puan, bukan juga ahli saintis malah tidak pula pakar tandas, semoga jawapan yang aku berikan ni dapat memuaskan dan menghiburkan hati Tuan Ferdaus Zahid yang katanya hampir menjadi biul menjaga dewan dimana kursus pra-perkahwinan diadakan di INTIM.


Alhamdulillah seminggu lebih sudah kita berada dalam bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan ni. Dalam kemeriahan kita berbelanja juadah di bazar ramadhan mahupun membeli persiapan menyambut hari lebaran, jangan dilupa pulak zakat fitrah yang wajib dibayar tu.

Ramadhan tahun ni aku mengikuti solat tarawikh di surau berhampiran taman perumahan. Bukan kerana solat tarawikhnya hanya dibuat lapan rakaat tapi faktor jarak yang lebih dekat berbanding masjid atau surau lain yang terdekat.

Teringat ketika zaman aku masih bersekolah rendah sekitar tahun 80-an, malam-malam Ramadhan ni sangat ditunggu. Selain mendapat kebebasan untuk pulang sedikit lewat dari surau, dapat juga berkumpul bersama kawan-kawan untuk bermain setelah aktiviti waktu siang dikurangkan.

Dan barisan saf belakang pastinya menjadi tumpuan bila mengikuti solat tarawikh. Dan seingat aku juga, kebiasaannya imam kampung akan membawa solat tarawikh dengan agak laju bacaannya dan saban malam hanya ulangan surah-surah pendek dari juz 30 menjadi pilihan.

Berbanding masakini apabila kebanyakan pihak pengurusan jawatankuasa masjid atau surau menjemput imam-imam terlatih mahupun penuntut tahfiz Al-Quran untuk memeriahkan solat tarawikh di kariah masing-masing.

Agak bagus juga kerana selain dari para jemaah dapat merasai sedikit kelainan dari pembawaan imam-imam jemputan tu, ianya juga boleh dijadikan sebagai satu situasi praktikal untuk penuntut-penuntut tahfiz tersebut.

Namun buat imam-imam muda yang dijemput tu walaupun ianya boleh dijadikan medan menguji hafazan dan persiapan untuk berhadapan dengan masyarakat, janganlah terlalu ikutkan rasa.


Tidak salah sekiranya hendak memanjangkan bacaan surah atau bertaranum bacaannya namun kenalpasti dahulu jemaah yang mengikuti tu. Kecuali andainya sudah memang dipinta untuk membaca banyak ayat surahnya. Kerana terkadang tu terdengar juga rungutan dari jemaah yang berusia emas yang tidak mampu untuk berdiri lama. 

Malah yang belum menjangkau usia emas juga terkadang tu kelihatan agak berat untuk berdiri bertakbiratulihram mengiringi imam. Silap haribulan andai berterusan mau nipis barisan saf imarah Ramadhan tu.

Apa pun tahniah buat para imam-imam muda yang berusaha meraikan malam-malam Ramadhan ni dengan bacaan yang lunak merdu. Tersilap, tersalah atau terlupa ayat tu jangan pulak melemahkan semangat. Aku sendiri pernah berpengalaman sebegitu. 

InsyaAllah lain kali pulak la aku berkongsi pengalaman tentang malam Ramadhan ni. Kalau nak sambung dalam entri ni nanti terlalu panjang pulak. Letih nak membacanya. Selamat beramal di bulan Ramadhan.



28 July 2012

Nafsu luar biasa

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari sabtu buat semua rakan rakan pengunjung yang dihormati mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati Allah.

Dua tiga hari ni baru terasa suasana ramadhan. Manakan tidak, dengan cuaca terik matahari sampai asyik teringat kat minuman berais je. Tapi walaupun begitu kesabaran dalam menghadapi dan menjalani ibadah puasa bulan ramadhan ni tetap menebal.

Kebiasaannya bila tiba je bulan ramadhan ni ada satu fenomena yang sering melanda. Aku sendiri pun kadang kadang terkena jugak tempias fenomena ni. Semuanya berkisarkan nafsu luar biasa di bulan ramadhan je.


Selain dari di bulan ramadhan ni, tak pernah aku rasa bila tengok kat lori jual cendol tu memanggil untuk dibeli cendolnya. Padahal bila bulan ramadhan ni, tengok dari jauh pun terasa macam nak beli banyak banyak je cendol dia tu.

Bukan aku sorang je, malah boleh dikatakan seluruh umat Islam kat Malaysia ni. Perhatikan saja bagaimana sesaknya bazar ramadhan setiap petang. Dan perhatikan juga sesaknya jari jemari memegang juadah yang dibeli.

Berbanding waktu zaman kegemilangan remaja dulu memang aku agak tamak haloba bila berbelanja di bazar ramadhan ni. Apa saja yang kelihatan sedap pasti akan dibeli. Bila dah meningkat dewasa ni tabiat buruk tu semakin terhakis dan berjaya dikongkong.

Cuma terkadang tu teringin jugak nak menikmati juadah yang enak ketika berbuka puasa. Tak salah rasanya nak meraikan kejayaan berpuasa di siang hari bulan ramadhan dengan sedikit juadah yang enak asalkan tidak berlaku pembaziran.

Untuk semalam, aku dan isteri tercinta teringin berbuka dengan berlaukkan ikan bakar. Tiga ekor ikan kembung bakar untuk santapan isteri tercinta aku tu dan tiga ekor ikan keli bakar untuk aku. Sendiri bakar je sampai penuh berasap dalam rumah dibuatnya. 

Gila kau sampai tiga ekor sorang. Ala, bukan besar sangat pun ikan dia tu. Lagipun kami agak jarang menjamah lauk ikan ni sebab ikan agak mahal dipasaran. Sekali sekala bila beli ikan tu memang akan dijadikan hidangan terbaik. 

Hari ni pulak kami suami isteri terlajak lena. Bila sedar je rupanya sudah jam 6 pagi. Terlepas sahur. Baru je berangan nak layan bersahur nasik putih berlaukkan ikan masin berlada. 

Menu untuk berbuka hari ni, ayam panggang. Nasik yang dimasak lewat malam tadi yang kononnya untuk bersahur mungkin akan dijadikan nasi goreng cendawan buat santapan waktu berbuka nanti bersama ayam panggang tu. 






26 July 2012

Siaran percuma dari astro untuk aku ?

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari khamis buat semua rakan rakan pengunjung mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati Allah.

Sehari dua ni aku sering kali menerima gangguan panggilan telefon dari macam macam pihak. Kelmarin dari pihak Astro yang memandai nak tawarkan perkhidmatan tontonan percuma kesemua siaran selama sebulan sampaikan sesuka hati je diubah langganan aku yang sedia ada tu.

Padahal aku baru je sambung kembali perkhidmatan astro tu yang digantung perkhidmatan sebab tak cukup bayar bil. Masa aku lambat bayar dulu tu operator khidmat pelanggan astro tu dah macam 'along'. Setiap hari telefon aku bertanyakan bila aku nak bayar sampai satu tahap aku abaikan je bila diorang telefon.


Ni pulak bila aku dah selesai bayar kesemua baki tertunggak yang penuh dengan kontroversi, pandai-pandai pulak diorang nak ubah-ubah langganan aku tu. Bayangkan la sedang aku menikmati tayangan kartun di disney channel tu tiba-tiba keluar mesej bahawa siaran tu tak termasuk dalam langganan aku.

Mana tak aku hangin separuh badan. Nasib baik la bulan Ramadhan, kalau tak mau hangin satu badan jugak la dibuatnya. 

Kronologi kejadian yang menimpa kehidupan aku dalam minggu ni memang agak menjengkelkan. Sengaja je nak menghabiskan kredit telefon aku.

Hari kedua umat Islam meraikan bulan Ramadhan, aku menghubungi pihak astro untuk penyambungan semula perkhidmatan selepas aku menyelesaikan keseluruhan baki bayaran. 

Operator yang bertugas ketika tu kedengaran agak lurus-lurus bendul sebab aku cuba berseloroh pun diingatnya ayat penyata serius. Komitmen sungguh. Tanpa prejudis dia memaklumkan perkhidmatan astro aku akan disambungkan dalam jangka masa 24 jam. 

Tiada desas desus mengenai sebarang promosi perkhidmatan malah sedikit maklumat mengelirukan yang diberikan kepada aku berkenaan dengan bayaran tetap bulanan. Disebutnya harga pakej tanpa sebarang tambahan bayaran cukai kerajaan. 

Mungkin kesilapan dipihak aku jugak sebab bila berkenaan bayaran bil apa pun aku lebih suka menggenapkan jumlahnya kepada puluhan yang tertinggi. Senang nak buat bayaran guna perbankan internet kalau macam tu. Dan lebih mudah untuk aku membuat perkiraan.

Petang kelmarin aku ada menerima panggilan telefon yang tak sempat aku sambut sebab masa tu aku sedang mengajar. Awal pagi semalam pun ada satu panggilan tidak berjawab sebab aku tidur ketika tu.

Sedang aku menaip kertas ujian untuk anak-anak murid aku sambil menonton rancangan di disney channel, tiba-tiba siarannya hilang. Tak cukup dengan tu, saluran astro movie yang aku langgan pun hilang.

Bila aku hubungi pihak astro, katanya akaun aku tu telah dirombak kepada langganan asas untuk menikmati perkhidmatan promosi percuma semua siaran selama satu bulan. Tanpa apa apa persetujuan dari aku pun.


Operator bertugas menjawab panggilan aku waktu tu ada bertanyakan samada aku ada menerima sebarang panggilan telefon sebelum itu. Apa yang dapat aku katakan hanya tentang dua panggilan yang tidak sempat aku jawab dan aku pun tak tahu panggilan tu dari siapa. 

Setelah operator bertugas tu menerangkan permasalahan yang melanda langganan perkhidmatan astro aku tu, aku cuma memintanya untuk menyambung kembali perkhidmatan aku tu seperti biasa. 

Dan sedikit pujian aku boleh berikan, seketika selepas aku menamatkan panggilan, operator bertugas astro tu menghubungi aku kembali untuk menerangkan dengan terperinci tentang segala apa yang berlaku. 

Selepas mengakui kesilapan tu memang berpunca dari pihak astro sendiri, sejuk jugak la hati aku sebagai pelanggan. Dengan lembut aku menolak tawaran perkhidmatan promosi tayangan percuma tu atas alasan aku malas nak menghubungi pihak astro kembali selepas tamat tempoh promosi semata-mata untuk menetapkan kembali langganan yang dirombak tu.

Tak sampai sejam pun selepas tu, langganan perkhidmatan aku kembali seperti biasa. Kredit telefon pun perlu ditambah semula akibat kesengalan pihak lain. Dan tak lama kemudian, aku menerima lagi panggilan. Bukan dari pihak astro, tapi panggilan dari satu pihak yang aku paling malas nak layan. 

Bukan panggilan hangit dari Hot FM tu. Kalau nak tahu panggilan dari mana, insyaAllah dalam entri lain aku akan ceritakan. Selamat berpuasa dan beribadah.





25 July 2012

24 July 2012

RM100 aje bang

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari selasa buat semua rakan rakan pengunjung yang dikasihi mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati Allah.

Alhamdulillah hari ni keadaan cuaca di Ipoh redup-redup saja. Agak sesuai untuk mendidik anak-anak untuk berpuasa sama sebab takde alasan tak tahan cuaca panas terik sampai kering tekak. 


Ingat lagi tak entri pasal telefon bimbit Samsung Corby II milik isteri aku yang pecah skrin dalamnya ? Dan kos untuk menggantikan skrin tu setelah dibawa ke kedai adalah sekitar RM200 yang dirasakan agak tidak berbaloi.

Tapi hari ni segala masalah telah selesai. Skrin telefon Samsung Corby II yang pecah tu sudah berganti baru. Kos yang perlu dibayar cuma RM100. Separuh dari kos yang diberikan oleh kedai dimana aku membeli telefon bimbit tersebut.


Bagi rakan rakan yang mempunyai masalah telefon bimbit tak kira la sama ada telefon pintar atau yang tak pintar, mahukan aksesori untuk gajet, boleh la dapatkannya dengan harga mampu milik berbandng dibeli di kedai. Cuma hubungi je aku melalui email atau facebook.

Sepanjang bulan Ramadhan ni, waktu mengajar di sekolah disingkatkan sedikit. Kalau selain bulan Ramadhan habis kelas jam 5.45 petang, sempena Ramadhan ni kelas habis seusai solat asar. 

Hari pertama mengajar dalam bulan Ramadhan semalam pun aku tengok kebanyakkan anak-anak murd yang hadir seperti menyimpan tenaga yang ada kecuali ketika saat menghampiri waktu nak balik.


Mengikut perancangan mengajar aku pun, dalam masa tiga bulan ni aku kalau boleh nak siap sediakan anak-anak murid aku tu untuk menghadapi ujian akhir tahun. Bukan untuk lulus ujian semata-mata, yang lebih penting kefahaman tentang ilmu pelajaran tu paling aku utamakan.

Buat masa ni aku cuba jugak la sedaya upaya menyediakan bahan-bahan belajar untuk anak-anak murid aku tu mudah mudahan mereka mudah faham dan mampu menguasai setiap mata pelajaran tu. 


Nak menyediakan semua tu melalui bayangan dalam minda memang mudah je. Tapi nak melaksanakan dan menyiapkan tu agak mencabar jugak dengan nak melayan karenah dua anak dara kat rumah ni. Tapi bila dua-duanya tidur, memang segala kerja pun lancar je nak diselesaikan.



23 July 2012

Tiga bulan

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari isnin buat semua rakan rakan pengunjung yang dihormati mudah mudahan kita semua mendapat keberkatan dan rahmat dari Allah.

Alhamdulillah kita semua dah masuk hari ketiga berpuasa di bulan Ramadhan ni dan alhamdulillah juga kerana kita antara hamba-Nya yang diberikan peluang dan kesempatan untuk meraikan Ramadhan tahun ni moga-moga ibadah kita tahun ni lebih baik dari yang sebelumnya.

Biasanya bila Ramadhan menjelma ni kebanyakan orang akan sibuk memikirkan tentang persiapan menyambut bulan Syawal pulak. Berapa jenis kuih raya nak dihidangkan. Warna apa baju raya yang nak dipakai nanti. Silap haribulan dah siap senarai rumah kunjungan.


Tapi aku pulak sedikit sibuk pasal perkara lain. Memikirkan cara dan kaedah untuk menyediakan anak-anak murid aku tu bagi mempersiapkan diri menghadapi ujian akhir tahun pun jenuh jugak.

Bagi pelajar yang agak maju ke depan tu mungkin tak menjadi masalah tapi nak menangani pelajar yang agak ketinggalan di belakang membuatkan aku sedikit susah hati memikirkan cara dan kaedah bagaimana lagi perlu aku terapkan agar mereka boleh seiring dengan pelajar lain.

Lebih kurang tiga bulan je masanya sebelum ujian akhir tahun akan diadakan bermakna dalam masa tiga bulan juga aku perlu mengasah minda mereka untuk mendapat peratusan yang lebih baik dari sebelumnya. 

Mudah mudahan sempena bulan yang penuh keberkatan ni, doa dan usaha aku dalam mendidik anak-anak aku yang ramai tu dikabulkan dan dipermudahkan oleh Allah. 

Dan untuk makluman rakan rakan pengunjung semua, sekarang ni aku ada terlibat dalam penjualan kitab Ihya Ulumuddin berjilid edisi bahasa melayu, baik pulih telefon bimbit serta penjualan aksesori telefon bimbit dan gajet pintar yang lain tu seperti bateri, pengecas, 'power bank', pelapik kulit untuk tab dan lain-lain lagi.

Bagi yang berminat atau mencari-cari tu boleh la hubungi aku melalui Facebook atau email. Mana la tahu dalam menjalani ibadah ramadhan ni nak menambah ilmu pengetahuan ke atau teringin nak menggayakan sedikit gajet  yang ada tu sempena nak menyambut Syawal.



21 July 2012

28 tahun tersalah imaginasi

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari sabtu diucapkan kepada rakan rakan pengunjung yang dikasihi mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati Allah. Buat rakan rakan yang beragama Islam selamat menunaikan ibadah puasa. 

Tiga hari lepas aku agak sibuk sebenarnya sebab menghadiri kursus P&P anjuran Bahagian Pendidikan, JAIPk. Selain dari berkursus mengenai kaedah menguruskan situasi dalam dan luar kelas, kaedah-kaedah untuk membina soalan ujian juga dapat dipelajari.


Sepatutnya kehadiran peserta dari lima daerah yang telah dipilih untuk mengikuti kursus P&P kali ni berjumlah 80 orang namun hanya 70% yang menghadirkan diri. 

Bagi peserta yang pertama kali mengikuti kursus P&P ni sememangnya ianya suatu yang baru. Namun bagi yang sudah pernah mengikuti kursus seumpama ini, kebanyakan yang aku dengar kehadiran mereka sekadar memenuhi kehendak sekolah.

Aku sendiri pun sebenarnya bila dipilih untuk mengikuti kursus ni mulanya berasa agak berat kerana memikirkan terpaksa meninggalkan anak anak murid kelas aku tu tanpa guru tapi bila memikirkan ianya untuk kebaikan diorang jugak, tak rugi aku mengikuti kursus sebegini.

Biarpun tajuk seminar atau kursus yang kita ikuti tu serupa dan sama tajuknya, namun bagi yang luas mindanya pasti tahu bahawa setiap pengisian yang diberi dan diterima dalam setiap seminar atau kursus tu mesti berlainan isinya.

Sedih jugak bila mendengarkan ada suara-suara yang berkata kursus sebegini hanya membuang masa, terpaksa dihadiri dan berbagai lagi pandangan berbentuk negatif. Lebih sedih lagi bila ianya keluar dari mulut seorang pendidik.


Andainya seorang pendidik pun malas untuk menuntut ilmu bagaimanakah dia hendak mendidik anak muridnya ? Ibarat kata pepatah, guru kencing berdiri anak murid kencing berlari. Kalau diri sendiri pun malas nak menuntut ilmu, tak hairan la kalau yang dididik tu seratus kali lebih malas dari kita.

Bercakap tentang pepatah ni, setelah hampir 28 tahun bermula pendidikan awal di tadika dulu aku mendengar bidalan "harapkan pagar, pagar makan padi" tu, mati-mati aku fikirkan dan membayangkan kawasan sawah padi yang berpagar sekelilingnya kemudian pagar itu juga merosakkan padi tu.

Siapa yang sehingga hari ni berfahaman cam aku tu ? 

Terasa sedikit kejahilan bila dari usia 6 tahun hinggalah mencecah usia 33 tahun dok membayangkan pagar yang tak berdosa tu memakan padi. Alhamdulillah melalui kursus P&P ni baru la aku mengetahui erti sebenarnya.

Rupanya apa yang dimaksudkan tu ada sejenis burung yang disebut burung pegar. Dan burung yang bernama pegar ni memang memakan padi walaupun tujuan asalnya adalah untuk ditugaskan menghalau haiwan perosak lain.


Nak salahkan cikgu bahasa melayu masa belajar kat sekolah dulu pun tak boleh jugak sebab dia lansung tak pernah bagitau pasal burung pegar ni kerana mungkin dia sendiri pun tak tau pasal maksud sebenar bidalan ni.

Cuma yang menjadi persoalan dalam minda aku ni

I )  Apa kejadahnya mengharapkan burung untuk menjaga padi ? Guna la kucing ke, ular sawa ke.

II ) Apakah pihak DBP tak bercadang untuk menukar penulisan 'pagar' tu kepada 'pegar' agar lebih mudah untuk difahami.

III)  Mushkil jugak, kenapa cikgu bahasa melayu aku dulu tak pernah bagitau pasal burung pegar ni. Dia kata maksud 'harapkan pagar, pagar makan padi' tu ialah kita mengharapkan pada orang lain tapi orang tu tak boleh diharap. Dan murid bengong cam aku ni terbayangkan pagar yang memagari sawah padi tu sedang mengunyah padi. 


p/s : Infants too young for late-night movies ? Harap-harap peristiwa yang berlaku kat Colorado tu tak berlaku kat panggung wayang di negara kita ni..









18 July 2012

17 July 2012

Persediaan awal menghadapi masa depan

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari selasa buat rakan rakan pengunjung yang dihormati mudah mudahan kita semua berada dalam rahmat dan berkat dari Allah.

Alhamdulillah sehari dua ni hujan turun menyejuk dan menyegarkan suasana disekitar Ipoh disebelah petang. Andainya berlarutan hingga ke Ramadhan mungkin akan mengusarkan sedikit para peniaga yang mencari rezeki di bazar ramadhan nanti. 

Walau apa pun semoga kita semua berkesempatan untuk menjalankan ibadah puasa tahun ini dengan jayanya. Persediaan mental dan fizikal mesti mantap baru la seronok beribadah nanti.

Bagi ibu ibu yang baru melahirkan anak atau bakal melahirkan anak dalam bulan Ramadhan ni, pastinya ramadhan tahun ni menjadi sedikit cabaran. Tak dapat nak berpuasa penuh tu satu hal, dan pastinya perbelanjaan juga akan meningkat sikit dengan kehadiran ahli baru dalam keluarga.

Bercakap pasal perbelanjaan ni, setiap pasangan yang bakal menimang cahaya mata perlu bersiap sedia untuk merombak atau merancang perbelanjaan berikutan kehadiran ahli baru dalam keluarga. Bagi yang sudah bersedia dari awal, mungkin tak menjadi masalah.


Perlu kita ingat sekurang kurangnya seawal dari pasangan kita tu disahkan hamil. Bermula dari situ boleh la nak menabung sikit sikit dan mengumpul beberapa keperluan yang bakal diperlukan.

Keperluan untuk pasangan tu boleh la disediakan terlebih dahulu. Bincang bersama dulu nak beli pakaian semasa mengandung tu camne, keperluan selepas bersalin camne. Kemudian jangan lupa, tempat nak bersalin tu pun bincangkan bersama jugak.

Tu tak termasuk lagi pemakanan tambahan untuk pasangan kita yang hamil tu. Ubat-ubatan mungkin boleh diperolehi dari klinik kerajaan secara percuma, tapi pemakanan tambahan seperti susu dan sebagainya tu kena la keluarkan belanja sendiri.

Jadi untuk menyediakan mental dalam menghadapi kehadiran ahli baru dalam keluarga ni, kena la beringat dari awal. Berkahwin memang seronok, tapi jangan lupa tanggungjawab dan amanah yang dipikul tu. Bila fikirkan yang seronok tu je sampai tanggungjawab entah ke mana, tu sebab mungkin fail penceraian kat mahkamah syariah tu semakin menebal.

InsyaAllah lain kali kita kongsikan pulak saat bila hadirnya ahli baru dalam keluarga. Ingat tu, persediaan awal memudahkan masa akan datang.




15 July 2012

Coca cola dan hujung minggu

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat bersantai dihujung minggu bersama sahabat handai dan ahli keluarga tercinta buat semua rakan rakan pengunjung yang dihormati mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati Allah.

Malam tadi agak lewat baru masuk tidur. Selain dari melayan karenah anak yang tak reti reti nak tidur awal selepas kepuasan tidur di waktu petang, gangguan makhluk halus penghisap darah (nyamuk) yang entah dari mana datangnya beramai-ramai menyerang dan menyiapkan sedikit kerja untuk anak-anak murid.

Sempena hari bercuti hujung minggu ni jugak, merajinkan diri sikit membersihkan rumah. Sejam lebih duduk dalam bilik mandi menyental segala kotoran yang mencemar pandangan. Teringat jugak petua-petua untuk membersihkan bilik mandi ni antaranya menggunakan air coca cola.


Tak sia sia jugak aku membeli air coca cola malam semalam. Tapi bukan la tujuannya untuk menyiram bilik mandi, tak baik membazir tau. Air coca cola yang disimpan dalam ruangan sejuk beku apabila berada dalam keadaan separa beku memang menyegarkan tekak yang kehausan setelah penat menyental bilik mandi.

Terasa macam terlebih rajin pulak selepas selesai menyinarkan bilik mandi, keterajinan diteruskan pula ke arah ruang tamu. Langsir yang menghiasi ruang hadapan ditukar baru, dibantu dengan gangguan dari anak sulung aku tu pulak aku tukarkan sama langsir di bilik tidur utama.

Tak cukup dengan tu, segala kotoran dan habuk yang menodai bilah bilah kipas angin semuanya aku sental dan bersihkan sepenuh hati. Sepatutnya dalam perancangan awal yang difikirkan sehari sebelum ni ada sedikit sesi membersihkan kawasan luar belakang rumah dan memotong rumput dihalaman.

Tapi sebab lepas solat subuh tadi kononnya nak merehatkan mata sebentar, bukak je mata dah mencecah jam 9 pagi. Santapan tengahari pun cuma masak bihun goreng bersama ais kacang yang dibeli di medan selera Megoplex. 

Kerja menaip soalan-soalan mengikut matapelajaran buat anak-anak murid aku pun masih banyak menanti. Walaupun peperiksaan akhir tahun akan berlansung pada bulan Oktober nanti, tapi sekurang-kurangnya aku nak diorang bersiap sedia dari awal.

Cuma masalahnya, nak menyediakan soalan tu memang mudah. Tapi nak menaip soalan yang disediakan tu agak menduga kesabaran jugak dibuatnya.




13 July 2012

Peluang

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari jumaat buat semua rakan rakan pengunjung yang dihormati mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati Allah.

Dalam kehidupan kita ni rasanya entah berapa banyak kali sudah kita diberikan peluang ? Terutamanya peluang untuk memperbaiki ketaqwaan setelah 'ditegur' oleh Allah sepanjang hidup kita di dunia ni.

Selalu kita dengar dan baca, bila kehidupan di dalam keadaan senang dan lapang amat jarang untuk kita mengingati Allah. Biasanya kita akan leka dengan kehidupan dunia yang hanya menjanjikan kebahagiaan sementara.

Apabila ditimpa sedikit atau banyak kesusahan dan kesempitan, ketika itu baru kita terkial kial menadah tangan untuk berdoa memohon ihsan agar diberikan kelonggaran dan penyelesaian agar dipermudahkan kehidupan.


Terkadang kita berkali kali menghampiri kematian. Diuji dengan demam dan sakit perut. Lambakan produk kesihatan menjadi penggantungan diri kita hingga terlupa siapa yang lebih berkuasa memberikan kita nyawa.

Kita tidak perlu menjadi seorang yang alim untuk menangisi kekurangan diri kerana kita sendiri tidak pernah menjadi seorang yang merdeka untuk ketawa bagaikan terjamin dirinya dari apa apa cela.

Sama samalah kita saling beringat, peluang hidup yang diberikan hanya sekali. Mana mungkin dapat untuk kita hentikan masa atau kembali untuk memperbaikinya apabila janji sudah ditepati. Mudah mudahan kita tidak kerugian dalam kehidupan.



11 July 2012

10 July 2012

Orang lama Jawi baru

  20 Komen    
label: ,
Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari selasa buat semua rakan rakan pengunjung yang dihormati mudah mudahan kita semua dirahmati dan diberkati Allah.

Hampir sebulan sudah aku menjadi tenaga pengajar secara rasmi di SRAR Sg Rokam, Ipoh tu. Bagaikan bidan terjun je ketika aku menerima tawaran mengajar tersebut dari pihak Pejabat Agama Daerah. 

Manakan tidak, hari rabu aku dihubungi untuk pemberitahuan tawaran mengajar. Hari khamis aku mendengar taklimat dan tandatangan persetujuan di Pejabat Agama Daerah. Hari jumaat terus melapor diri dan terus mengajar.

Bermula dengan agak kekok jugak sebab selama ni aku hanya mengajar secara persendirian dan tak mengikut silibus yang ditetapkan. Tiada buku kedatangan pelajar. Tiada buku ringkasan mengajar.

Dari meniarap, aku sekarang ni dah boleh sedikit duduk sendiri. Rentak mengajar dan pengajaran untuk pelajar semakin aku fahami. Tugas aku tak la susah sangat. Tak perlu nak jalan jauh jauh keluar masuk kelas.

Aku diamanahkan untuk menjaga dan mengajar satu kelas je. Kelas yang dipenuhi seramai 41 orang murid tahun 4. Dan aku juga perlu mengajar semua subjek pelajaran.

Tak la susah sangat pun berbanding jika aku mengajar persendirian tu sebab bila aku mengajar persendirian ni tajuk perbincangannya lebih mendalam. Mengajar kat sekolah ni ikut tajuk buku teks yang disediakan. Cuma nak memberi faham kepada pelajar je la yang aku selalu tekankan.

Cuma dalam banyak banyak subjek yang aku tangani, subjek bahasa arab je yang agak mencabar sikit. Terdapat beberapa perkataan yang aku sangsi maksudnya dan perlu merujuk ke kamus. 


Dan yang selalu aku tersilap bila menulis perkataan jawi. Maklum la sekarang ni menggunakan penulisan jawi baru berbanding waktu zaman aku belajar dulu tu masih menggunakan jawi lama. Orang lama dah biasa dengan jawi lama.  Bila pekena dengan jawi baru, terkial kial jugak la nak mengikut rentak tu. Nasib baik la anak anak murid aku tu memahami.



09 July 2012

Keibubapaan - Rutin berubah

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari isnin buat semua rakan rakan pengunjung yang dihormati mudah mudahan kita semua berada dalam keberkatan dan mendapat rahmat dari Allah.

Lagi perkongsian tentang keibubapaan. Menimang cahaya mata semestinya satu perkara yang menggembirakan bagi setiap pasangan yang berkahwin. Lebih lebih lagi bagi pasangan yang kemungkinan terpaksa menunggu agak lama sebelum diberikan rezeki oleh Allah.

Perlu kita sedar, sepanjang kehidupan kita ni 'alam' tersingkat yang kita lalui adalah 'alam berdua' selepas diijab kabulkan tu. Ada yang tak sampai setahun melalui alam berdua ni, sudah perlu pulak memasuki alam keibubapaan. 

Ada jugak yang diuji Allah untuk menikmati alam berdua ni sedikit lama. Andai diuji sebegitu, bersabarlah dengan ujian yang Allah kurniakan. Andai kita selidiki sejarah nabi nabi terdahulu pun, mereka juga diuji sedemikian rupa. 

Berbalik pada fasa alam keibubapaan ni, seharusnya setiap pasangan mesti sudah membuat persediaan awal dari segi mental dan fizikal kerana rezeki yang Allah nak kurniakan tu bukan boleh kita rancangkan. 


Kalau ketika berada di alam berdua tu masih lagi boleh nak mengamalkan sikit sikit kehidupan zaman bujang dulu dulu tu macam bangun tidur lambat ketika hari cuti, berlibur dengan rakan rakan tak tentu masa atau menghadap permainan video sepanjang hari.

Bila dah masuk je alam keibubapaan ni, harus kita sedar bahawa rutin kehidupan kita pun akan berubah sama. Ada yang berubah secara otomatik dan ada yang perlu kita sendiri merubahnya apabila sudah bergelar ibu bapa ni.

Waktu rehat siang dan malam mungkin sedikit 'terganggu' dengan kehadiran cahaya mata ni terutamanya dalam jangka masa tiga bulan pertama selepas kelahiran. 

Mak atau mak mertua kita tu mungkin hanya dapat nak membantu sepanjang tempoh isteri berpantang tu je, jadi kena la bersiap sedia untuk menghadapinya sendiri bila dah ditinggalkan mak atau mak mertua tu untuk diuruskan.


Tekanan mental bila tidur malam terganggu dek anak kecil meragam pastinya berlaku. Waktu ni la dapat kita ukur tahap keseimbangan perkongsian segala permasalahan dalam rumahtangga bersama pasangan. 

Aku sendiri akui kadang kadang tu memang tertekan rasanya bila anak meragam tengah malam dan kita yang kepenatan berkerja di waktu siangnya pula terpaksa melayan tangisan anak tu. 

Tapi perlu kita ingat, sepanjang kita keluar berkerja tu hanya isteri kita yang melayan semua karenah dan ragam anak kecil kita tu. Jadi bila isteri nak sedikit rehat bila kita berada di rumah, bertolak ansur la sikit. 

Bila waktu cuti pulak, belum tentu lagi dapat nak bermalas malasan di atas katil di hujung minggu. Kebiasaan anak kecil ni akan bangun awal dari kita. Samada lampinnya sudah penuh atau minta dimandikan.

Pendek kata, melangkah je ke alam keibubapaan ni serta merta setiap rutin kehidupan kita akan berubah. Amanah dan tanggungjawab tu sudah semestinya la semakin bertambah. Cuma apa yang penting, kerjasama dari kedua dua pasangan sangat diperlukan bagi melaksanakan setiap tugasan dengan cemerlang.

Kalau waktu berdua bersama pasangan begitu seronok dan gembira 'membuat' anak, takkan la bila waktu nak jaga anak tu hilang pulak istilah 'berdua' 'bersama' 'seronok' dan 'gembira' tu ye tak ? 

Dan pastinya dengan kehadiran anak kecil dalam kehidupan berumahtangga kita tu, suami kena la bersabar banyak banyak. Bila waktu alam berdua tu boleh bila bila masa nak bergurau bermanja dengan isteri, alam keibubapaan ni mungkin sedikit mencabar.

Ingat tu, mental perlu bersedia dengan ilmu ilmu keibubapaan. Fizikal pun kena sedia jugak dengan rutin yang akan berubah. Bahagia atau sebaliknya rumahtangga yang kita bina tu semuanya bergantung pada bagaimana cara kita menjalaninya. 






08 July 2012

Hujung minggu tanpa tajuk ?

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat bersantai di hujung minggu bersama keluarga dan rakan rakan mudah mudahan apa jua yang kita lakukan diberkati dan dirahmati Allah.

Apa saje cerita sepanjang minggu ni yang berlaku disekeliling kita semua. Kalo yang terpampang di dada akhbar tu memang penuh dengan berita sensasi dan kontroversi.

Isu isu panas terutamanya dari dunia hiburan pastinya menjadi tajuk pilihan utama kebanyakan blogger. Terbaru berkenaan perkahwinan ratu rock negara, Ella pastinya ramai yang mengambil kesempatan menumpang populariti beliau.


Tak cukup panas dengan perkahwinan Ella tu, kisah Pian cecupak yang cucuk 760 jarum kat punggung dia pun boleh jadi perkongsian sensasi. Belum lagi yang berkongsi populariti dunia hiburan antarabangsa.

Pendek kata orang kita zaman sekarang ni jurusan minatnya lebih kepada dunia hiburan yang utamanya. Walaupun kisahnya diulang-ulang namun masih juga tidak jemu jemu untuk menatapnya.

Terlebih sedikit, ada juga yang berkongsi dosa fitnah memfitnah ni. Tanpa sedar atau memang sedar, masih juga sanggup menanggung dosa asalkan perkongsiannya digemari ramai. 

Dalam dunia yang serba mudah ni yang penuh dengan teknologi bagi memudahkan perkongsian, janganlah kita mempermudahkan juga dosa dosa kita bertambah dan terus bertambah. 

Lebih lebih lagi bulan Ramadhan pun dah nak dekat ni. Mari la kita sama sama memperbaiki diri mudah mudahan ibadah kita diterima Allah. Muhasabah diri sentiasa, baiki kelemahan dan banyakkan amalan.



05 July 2012

Kehidupan - Persediaan bakal ibu bapa

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari khamis buat semua rakan rakan pengunjung yang dihormati mudah mudahan kita semua berada di dalam rahmat dan mendapat keberkatan dari Allah.

Selepas aku menulis entri berkenaan disebalik kisah indah tu, aku mendapat beberapa maklum balas yang positif dari rakan rakan pengunjung yang kemudiannya memberikan aku beberapa idea untuk berkongsi lebih lagi tentang pengalaman keibubapaan ni.

Bagi rakan rakan yang baru menerima cahaya mata seperti cikgu naman, qema, eyriqazz dan sesiapa saje yang tak tersebut di sini aku ucapkan tahniah atas kelahiran anak terkini tu. Mudah mudahan sihat membesar dan menjadi umat Nabi Muhammad yang berjaya dunia dan akhirat.

Buat rakan rakan yang bakal menimang cahaya mata seperti cik (puan) chempaka, puan Ain dan sesiapa saje yang tak tersebut di sini, harap dapat menimba seberapa banyak ilmu tentang keibubapaan ni agar dapat menjadi bekalan menghadapi alam baru selepas melepasi alam rumahtangga.

Antara yang bakal bakal menjadi ayah dan ibu ni perlu sentiasa ingat, sesungguhnya setiap apa yang berlaku itu adalah di bawah ketentuan Allah. Memang setiap dari kita apabila menerima berita bakal menjadi ayah dan ibu pastinya keterujaan tu mengatasi tahap keterujaan saat baru nak nikah tu.



Apabila mengetahui berita gembira tu, pertama kalinya buat pasangan bakal ayah dan ibu ni banyakkan bersyukur dan berdoa kepada Allah atas kurniaan rezeki daripada-Nya. 

Penantian selama 9 bulan tu memang terasa ada sedikit tekanan terutama bagi si isteri. Selain perubahan hormon yang sedikit sebanyak akan mempengaruhi emosi saat ketika kehamilan, sokongan padu dari suami amat penting agar tiada sebarang konflik berlaku sepanjang kehamilan tu.

Suami juga harus memahami situasi isteri yang terkadang sukar untuk difahami. Bila dah bergelar suami dan bakal pulak menjadi seorang ayah tu, lebih lebihkan la masa terluang yang ada tu untuk bersama keluarga. 

Bila mana kehamilan melepasi trimester kedua tu, biasanya doktor sudah dapat untuk mengenal pasti andai anak yang berada dalam kandungan mempunyai masalah atau tidak. Andai ditakdirkan kita menerima berita kurang enak, banyakkan bersabar dan jangan terus berputus asa.

Begitu juga kiranya saat kelahiran bukanlah satu berita yang menggembirakan, janganlah kita menyalahkan takdir. Segalanya adalah dari qudrat Allah, sebagai ujian buat kita sebagai hamba-Nya. 

Jika sebaliknya pulak, jangan lupa untuk memanjatkan kesyukuran kepada Allah. Tunaikan amanah sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab. Banyakkan bertanya dan membaca untuk memantapkan ilmu keibubapaan ni. 



04 July 2012

02 July 2012

Juara UEFA-EURO 2012 milik lelaki kacak - Sepanyol

Hari ni bukan wordless wednesday bukan juga wordless monday, tapi cakap banyak pun tak best jugak. Kalau tak percaya jugak, tanya je kat Vicente del Bosque ni.


Parti pembangkang Bukan penyokong Sepanyol cakap permainan pasukan Sepanyol sangat membosankan. Main macam ala ala permainan yang dimainkan oleh budak melalui PS3, takde skill individu yang boleh nak ditunjukkan sangat.

Namun pada minit ke 14 selepas sepak mula, Sepanyol berjaya membuat Itali tersesak nafas selepas Silva berjaya menjaringkan gol pertama buat pasukan Sepanyol. Sepanyol 1 - 0 Itali.

Gol pertama disumbat oleh David Silva pada minit ke 14 

Mungkin selepas David Silva berjaya menjaringkan gol pertama Sepanyol, ada beberapa penyokong Itali yang tak berapa nak tegar sudah mula bersedia untuk berpaling tadah. 


Terlalu banyak konspirasi spekulasi yang dikeluarkan sebelum sepak mula. Ada yang begitu yakin dengan permainan Sepanyol yang membosankan pasti membawa kepada permainan berlarutan hingga ke penalti setelah masa tambahan berakhir.

Gol kedua Sepanyol oleh Jordi Alba pada minit ke 41
Jessica Alba Jordi Alba nampaknya menafikan segala spekulasi yang dilontarkan kepada pasukan Sepanyol. Pada minit yang ke 41 selepas menerima hantaran cantik dari Xavi Hernandez yang mengambil sepakan percuma, Jordi Alba tidak mensia siakan peluang yang ada menewaskan Gianluigi Buffon. Sepanyol 2 - 0 Itali.

Mungkin itu masih belum cukup untuk menambah derita penyokong Itali seperti saudara hafizmohd yang bersama sama menyertai kontest anjuran denaihati - EURO 2012 Juara pilihan Lelaki Kacak, kali ni pada minit ke 84 pulak Fernando Torres menjaringkan gol ketiga Sepanyol membuatkan Itali semakin lemah tenaga batin. Sepanyol 3 - 0 Itali.

Torres menjaringkan gol ke 3 Sepanyol pada minit ke 84
Pasukan Itali nampaknya seperti semakin tertekan. Sementara tu pulak, pasukan Sepanyol semakin mempertajamkan setiap serangan ke arah Buffon. Mungkin juga jampi serapah yang ditayangkan ketika siaran buletin utama jam 8 di TV3 malam tadi menjadi.

Apakah tersalah ramuan pasta ? Dalam meniti minit minit terakhir permainan suasana di kawasan pemain Itali semakin rancak. Iker Casillas kelihatan amat tenang tanpa sebarang cabaran dari pemain Itali.

Agaknya dengan tenaga yang masih banyak kerana baru dimasukkan setelah memanaskan bangku pemain simpanan, gandingan Torres dan Juan Mata membuatkan pasukan dan penyokong Itali semakin hampa.

Juan Mata menjaringkan gol ke-4 Sepanyol pada minit ke 88
Hasil umpanan Torres terhadap Buffon yang menyebabkan penjaga gol Itali tu keluar dari kawasan larangan jagaannya memudahkan Torres menolak bola kepada Juan Mata untuk menyempurnakan gol ke empat Sepanyol pada minit ke 88 sekaligus melenyapkan harapan Itali untuk menjadi juara EURO 2012. Sepanyol 4 - 0 Itali.

Dengan itu berakhirlah sudah episod berjaga malam untuk persediaan menghadapi bulan Ramadhan tahun ni. Mudah mudahan kesanggupan kita bersengkang mata demi EURO 2012 ni tak kita sia siakan di bulan Ramadhan nanti.