20 August 2012

Duit raya

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari isnin buat semua rakan rakan pengunjung yang dikasihi mudah mudahan kita semua berada dalam rahmat dan keberkatan dari Allah.

Alhamdulillah hari ni kita dan masuk 2 Syawal. Masih lagi dalam mood gembira meraikan hari raya dengan kunjung berkunjung ke rumah saudara mara dan sahabat handai. 


Buat anak-anak pulak pastinya masih lagi teruja dengan memperolehi pemberian duit raya dari setiap rumah yang dikunjungi. Mungkin paling minimum diperolehi pun RM1. 

Cerita pasal duit raya ni, memang waktu zaman kanak-kanak la yang paling seronok untuk dikenangkan kembali. Seingat aku masa awal tahun 80-an dulu bila dapat duit raya dari sebuah rumah walaupun hanya 50 sen pun terasa banyak jumlahnya.

Pastinya dari awal pagi selepas selesai solat sunat hari raya, berkumpul dengan kawan-kawan merancang untuk melakukan perjalanan raya (yang sebenarnya rancangan mengumpul duit raya) dari rumah ke rumah.

Terutama sekali bila berada di kampung, walaupun tak pernah sekali pun menjejak kaki ke rumah yang dikunjungi tu kecuali di hari raya namun semangat berziarah tu (dan mengumpul duit raya) tetap terserlah.

Waktu tu biasanya akan ditemuduga juga la oleh tuan rumah bertanyakan empunya diri ni anak kepada siapa (andai tidak begitu dikenali). Dan itu jugak la peluang untuk mengetahui sesiapa pun.


Lima rumah terawal dalam kunjungan mungkin akan disantap juadah berat seperti ketupat dan lemang. Masuk je rumah seterusnya, hanya kuih yang diminati ataupun juadah yang jarang ditemui je bakal disentuh. Seterusnya hanya menanti tuan rumah menghulurkan sampul duit raya.

Terkadang tu hanya meneguk air minuman untuk membasahkan tekak selepas penat berkayuh basikal. Bila tuan rumah mula menghulurkan sampul duit raya, pantas je nak menuju ke rumah seterusnya.

Biasanya menjelang lewat petang baru akan pulang ke rumah dengan poket yang tebal dan perut yang kekenyangan. Kalau di hari raya pertama segak dengan baju melayu, hari kedua pastinya melaram dengan baju dan seluar baru.



6 comments: