30 January 2013

27 January 2013

Air dicincang takkan putus

  5 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua rakan-rakan pengunjung yang dihormati mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati ALLAH.

Masa yang berlalu pantas terkadang bagaikan tak terasa. Hampir sebulan sudah kita berada dalam tahun 2013. Pejam celik pejam celik tak sedar nanti dah nak penghujung tahun pulak.

Anak-anak pun semakin hari semakin membesar. Si kakak ada kalanya jadi terlalu degil. Ada masa pulak patuh mengikut kata. Si adik pulak semakin banyak karenahnya. 



Antara karakter yang ada pada kakak yang sedikit merisaukan ialah cepat marah. Terutama bila bermain dengan adik. Tu tak termasuk lagi berebut mama diorang bila nak tidur.

Kami suami isteri cuba juga nak mengimbangkan layanan terhadap dua-dua anak ni tapi macam mana buat pun jadi macam terlebih pada adik pula bila berlaku 'pertelingkahan' antara keduanya.

Adakah kakak cemburu dengan adik ? Adakah kakak rasa tersisih ? Sukar juga nak menduga sebenarnya bila berhadapan dengan anak-anak ni.

Adik pulak sekarang ni semakin pandai nak bermain. Dah semestinya asyik nak mengikut kakak. Dimana ada kakak disitulah ada adik. Bila waktu aman damai tu memang mesra je bermain bersama, tapi bila adik mula 'mengganggu' permainan kakak mula la perang bersaudara tu.



Bila dah dimarahi oleh kakak, merangkak la adik mencari papa atau mama sambil mulutnya bising 'mengadu' kejadian yang berlaku. Ada masanya kakak bagaikan cuba untuk mempertahankan diri dengan melaporkan apa yang terjadi.

Tapi bak kata pepatah, "air dicincang takkan putus". Kakak walaupun terkadang sangat garang dengan adik, terkadang bertindak kasar dengan adik tapi sangat penyayang dengan adik.

Bila adik memanjat pasti kakak akan menjerit memanggil papa atau mama terkadang sampai menangis sebab risau adik terjatuh. Bila kadang-kadang papa 'marah' adik, kakak pasti akan bergenang air mata melihat adik 'dimarahi' papa.

Ni baru dua orang. Masa baru seorang waktu nak masuk yang kedua, boleh la kita berangan nak buat begitu begini konon hasil dari pengalaman yang seorang tu. Tapi bila dah masuk yang kedua, belum tentu lagi pengalaman pertama dulu tu berguna 100%.

Masa ni baru la kita sedar betapa hebatnya mak ayah kita yang membesarkan kita yang ramai adik beradik tu. Sudah la berbagai ragam dan karenah yang kita adik beradik serlahkan pada mak ayah kita, dah beranak sendiri pegi pulak bagi mak ayah kita layan anak-anak kita. 




24 January 2013

Elakkan Kemalangan

  12 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua rakan rakan pengunjung yang dihormati mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati ALLAH.

Sejak dulu hingga sekarang kita selalu menggunakan ayat "malang tidak berbau' apabila berlaku sesuatu bencana terutamanya kemalangan di jalanraya.

Kalau dalam entri INI, rakan rakan memberikan respon bahawa antara punca utama berlakunya kemalangan itu adalah kerana sikap manusia itu sendiri. Memang susah nak dinafikan bahawa kerosakan itu kebanyakannya berpunca dari tangan kita jugak.

Untuk perkongsian hari ni, apa kata kita fikirkan bersama antara langkah-langkah untuk mengelakkan kemalangan agar boleh menjadi peringatan kita bersama.

Memandu dalam keadaan sihat

Cuba bayangkan kalau kita sedang demam, sakit perut, senggugut dan sebagainya tu kemudian memandu kenderaan. Kalau jarak perjalanan tu singkat mungkin kita masih boleh fokus pada pemanduan. Tapi kalau terpaksa memandu jauh dan mengambil masa, tersangkut pula dalam kesesakan lalu lintas, macam-macam perkara yang boleh terjadi bila hilang fokus.



Begitu juga bila kita merancang untuk melakukan satu perjalanan yang jauh. Walaupun kita tak demam dan sebagainya, andai kita disahkan penghidap penyakit darah tinggi, lemah jantung, epilepsi atau apa-apa penyakit yang memerlukan pengambilan ubatan secara berkala maka seeloknya elakkan dari memandu.

Perlu rehat yang mencukupi

Antara punca berlakunya kemalangan ialah apabila terlelap ketika memandu. Walaupun kita hanya terlelap 5 saat sudah cukup untuk meletakkan kita dalam keadaan yang sangat merbahaya. 

Ada yang memberikan alasan tidak perlu membuang masa berehat di perhentian yang disediakan kerana biar cepat sampai walaupun terpaksa menahan kelesuan sedikit.



Kalau bernasib baik, memang benar akan cepat sampai ke destinasi. Kalau kurang bernasib baik, cepat juga sampai ke wad kecemasan kerana menaiki ambulan dan andai lansung tak bernasib baik, cepat pula sampai ajalnya.

Kenali kenderaan anda

Ramai yang tak ambil kesah tentang 'berkenalan' dengan kenderaan yang kita pandu atas alasan sudah biasa memandu kenderaan tersebut. Tapi kita mungkin terlupa dengan keupayaan semasa kenderaan yang kita pandu tu. 

Mungkin benar kita baru menukar tayar tapi agaknya kita terlupa untuk memeriksa keadaan brek. Mungkin betul kita sudah memasang aksesori terkini dalam kenderaan kita tapi kita terlupa nak menukar mentol lampu yang terbakar.

Fahami keupayaan kenderaan anda

Bayangkan kalau kereta yang kecil tapi dilenjan seperti kereta lumba F1. Jangan sanggup keluar modal banyak untuk tukar enjin supaya boleh lebih laju tapi terlupa untuk menukar ciri-ciri keselamatan yang lain.



Eh, kalau nak keluarkan duit untuk tukar keseluruhan lebih baik beli saja kereta yang sebenar

Ada sebab kenapa dan mengapa pengeluar kereta membina dan meletakkan piawaian pada setiap produk yang dikeluarkan tu. Bayangkan kereta lumba F1 dipasang dengan enjin kancil 660.

bersambung ...




23 January 2013

21 January 2013

Pendapatan dari blog

  16 Komen    
label: 
Perkara pertama yang selalu korang pikir masa memula nak berblog ape benda ? Apa tujuan korang menyertai komuniti blogger ni ? Kenapa korang berblog ?

Semua orang ada alasan sendiri ye tak ? Ada yang saje suka suka. Ada yang syiok sendiri. Ada yang betul betul memanfaatkan perkhidmatan blog ni. Ada yang sampah. Ada yang sekali masuk dah tak nak masuk lagi lain kali sampai bila-bila.


Ada yang aku kekadang singgah, cam saiko pun ada gak. Hehehe..memang la blog masing masing punya suka hati la nak tonggeng ke, nak telentang ke, nak cakap ape ke, nak buat ape ke tak de sape yang nak larang. Koman koman pun pelawat buat aduan blog korang tu 'mengancam'.

Lain orang lain padang. Err..betul ke tak kata bedalan aku ni ? Banyaknya laman-laman blog sekarang ni sampaikan budak sekolah pun boleh memiliki satu laman sendiri.

Paling tak tahan tu bila bahasa yang digunakan tu teramatlah canggihnya. Sampaikan menyukarkan pakcik makcik blogger nak mengeja perkataannya. Tu belum lagi dengan warna latar yang boleh menyebabkan katarak.

Dan lagi tragis bila nak tunjuk laman dia tu tersangat popular, gunakan saja khidmat salin dan tampal. Lepas tu dah tentu orang berpusu-pusu singgah kena pulak bila bab gosip artis.

Lebih menyedihkan tu ada pulak yang menjadikan aktiviti sebegitu sebagai salah satu punca rezeki. Sudah la menyalin tampal, tak kira apa pengisiannya asalkan ada untung.

Ini hanya peringatan untuk diri sendiri dan mungkin boleh ingat mengingatkan kembali kita semua. Maklum saja la dengan blogging pun mampu menjana pendapatan. 

Apa yang penting biarlah pendapatan kita tu diperolehi dari hasil yang bersih. Sebab bila ada yang kotor-kotor tu jadi darah daging, habuannya di neraka sana tu.




17 January 2013

Melatih anak berdikari

  16 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua rakan-rakan pengunjung yang dihormati mudah-mudahan kita semua diberkati dan dirahmati ALLAH.

Semalam entah mengapa tak dapat nak akses draft [dot] blogger. Nak kata talian tak lancar, laman lain tiada masalah pulak bila dibuka. Kesudahannya niat nak mengemaskini entri semalam terus terbantut.

Bagi individu yang bergelar ibu bapa, pastinya suasana membesarkan anak-anak menjadi satu pengalaman yang tidak dapat dijual beli atau ditukar ganti. 


Menjadi saksi bagi setiap perkembangan anak bermula dari dalam kandungan lagi hinggalah membesar dewasa. Pada peringkat awal, pastinya melatih anak untuk berdikari merupakan salah satu cabaran yang perlu dihadapi oleh setiap ibu bapa.

Kami mungkin memulakan sesi latihan untuk anak yang sulung belajar berdikari agak lewat. Bermula dari usianya mencecah dua tahun dan pandai menyebut beberapa patah perkataan, kami ajarkannya untuk memberitahu kehendaknya seperti hendak makan, minum, tidur dan sebagainya.

Sewaktu usianya tiga tahun ketika kami hendak membiasakannya tidak memakai lampin pakai buang, kami ajarkan beberapa perkataan untuk dia mudah memberitahu samada hendak membuang air kecil atau besar selain membiasakan dia menggunakan tandas untuk melepaskan hajat.

Untuk rekod, anak sulung kami tidak pernah terbuang air ketika tidur siang mahupun malam kecuali sekali dua sewaktu dia tidak sihat. Memang pada awal sesi latihan tanpa lampin pakai buang tu, terdapat kerisauan dalam fikiran kami namun alhamdulillah prestasinya sangat membanggakan.


Malah kami juga membiasakan anak untuk melakukan sesuatu perkara dengan memberikan galakan dan kata-kata pujian apabila dia berjaya melakukan sesuatu seperti mengemas kembali alat permainannya, buku dan sebagainya.

Jangan terlalu menyekat perlakuan anak apabila mereka mula belajar untuk berimaginasi, menjelajah perkara baru dan mempamerkan bakat kreativiti mereka. Kita sebagai ibu bapa harus memantau dan membimbing supaya mereka dapat belajar sedikit demi sedikit.

Jangan terus marah bila anak melakukan kesilapan. Terangkan kepada mereka kenapa dan mengapa kita melarang mereka melakukan kesilapan tersebut. Dari situ insyaALLAH perlahan-lahan mereka boleh menjadi individu yang berdikari.




15 January 2013

Dilema merotan

  22 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua rakan-rakan pengunjung yang dihormati mudah mudahan ALLAH memberkati dan merahmati setiap apa jua yang kita lakukan.

Kali ni nak berkongsi tentang rotan. Bukan kerusi rotan ataupun bakul rotan tapi pasal merotan. Dalam kelas aku mengajar tu ada dua saiz rotannya. Satu bersaiz jari kelingking aku dan satu lagi bersaiz jari kelingking anak aku.


Waktu zaman aku sebagai pelajar dulu memang aku akui aku antara pelajar yang agak nakal juga di sekolah. Nakal dari segi karenah tapi pelajaran tetap diutamakan.

Seingat aku sepanjang kenakalan di sekolah dulu tu macam-macam pernah aku rasa. Rotan bulu ayam, pembaris panjang sedepa, rotan saiz halus, batang penyapu malah pemadam papan hitam pun pernah bertempek kat muka aku ni.

Tu semua disebabkan kesalahan-kesalahan seperti bermain dalam kelas waktu cikgu belum masuk, bising dalam kelas waktu cikgu belum masuk, main berlari-lari waktu pelajar lain bergotong royong mencabut rumput kemuncup di padang dan tidur dalam kelas.

Dan sekarang ni pulak aku menerima hukum karma (?) malah lebih teruk lagi. Anak murid yang tak siapkan kerja bila diarahkan, bising dalam kelas, bermain dalam kelas dan tidur sewaktu aku mengajar.

Tahun 2013 ni berkurangan sikit anak murid aku. Hanya 35 orang yang tersenarai. Dan 35 orang itu berasal dari 70 bahagian DNA, maksudnya tidak ada kembar seibu sebapa dalam kelas aku tu dan bermakna aku terpaksa berhadapan dengan 35 karenah yang berlainan lima hari seminggu.

Mungkin masih awal untuk aku fahami setiap karenah anak-anak murid aku tu. Sedangkan anak aku sendiri pun aku setiap hari meneliti dan cuba memahami karenahnya.


Bila berhadapan dengan anak-anak murid yang agak nakal dan kurang mendengar kata ni memang terkadang rasa macam nak hilang sabar. Tapi memikirkan bahawa mereka perlu dididik, campak jauh-jauh je la perasaan amarah tu.

Cuma kadang-kadang bila sampai tahap melampaui batasan tu aku lepaskan jugak la. Dan tidak aku biarkan berakhir disitu, aku pastikan mereka mengerti mengapa dan kenapa aku mengambil tindakan sebegitu.

Masalahnya bila hari ni aku merotan, esoknya seakan lupa pulak tentang kejadian semalam. Terfikir juga samada ada kesilapan dalam kaedah yang aku laksanakan, atau anak-anak murid aku tu ada ilmu kebal ?

Tak hingin aku nak merotan anak-anak orang setiap hari sedangkan anak aku sendiri pun aku tak pernah libas dengan rotan. Dan permasalahan rotan ni jugak antara perdebatan terhangat dalam kursus P&P. 

Tanpa kaedah merotan, bererti seorang guru perlu bijak menyelami karenah anak muridnya walaupun anak muridnya itu berada dalam kelas pendidikan khas.

Dengan kaedah merotan, bererti seorang guru itu cuba untuk mendisplinkan anak-anak muridnya secara ancaman (?) atau kekerasan (?). Dan silap haribulan boleh naik mahkamah dibuatnya.

Dan aku masih berfikir dan memikirkannya. Kewajaran untuk melaksanakan tindakan merotan pada murid-murid yang kurang mendengar kata. Perkongsian ini takkan berakhir di sini saja. 

Mungkin rakan-rakan pembaca ada pandangan dan pendapat mungkin juga pengalaman untuk dikongsikan sebagai menjadi panduan bersama. 



13 January 2013

Buat macam kakak

  12 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat rakan rakan pengunjung mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati ALLAH.

Alhamdulillah selepas diserang batuk dan selsema pada minggu lepas, sekarang ni anak anak aku dah sihat kembali seperti biasa. Mujur juga tidak demam walaupun hingus meleleh-leleh di hidung.


Dan entah kenapa bila walaupun hingus meleleh di hidung anak-anak kecil tu, tetap nampak comel. Tapi cuba bayangkan kalau yang hingus meleleh tu pada orang dewasa. Err..gelinya.

Anak sulung aku sekarang ni sedikit sensitif bila melibatkan adik dia tu. Ada nampak ciri-ciri cemburu bila kami terberikan perhatian lebih sikit pada adik dia.

Namun bukan anak sulung aku je yang pandai nak cemburu, si adik pun boleh tahan jugak cemburunya bila kakak nak bermanja-manja dengan mama dia. Pasti waktu tu jugak si adik akan mencelah macam tak bagi kakak nak bermanja dengan isteri aku tu.

Antara perkara yang dapat aku perhatikan pada anak anak ni bila waktu bermain. Ada masa dan ketika keduanya boleh nak bermain bersama dan ada masa lain dah macam tak boleh nak berkongsi.

Si kakak pastinya bagaikan idola untuk si adik. Dari belajar cara turun dari katil, menggunakan botol susu hinggalah memanjat pintu jeriji semuanya si kakak yang ajarkan.


Si adik pulak mesti la seronok bila dapat belajar sesuatu yang baru. Semuanya mengikut apa yang kakak lakukan. "Buat macam kakak". Tu la ayat yang digunakan bila nak mengajar si adik.

Walaupun macam tu, pemantauan dari aku dan isteri masih tidak diabaikan. Dan alhamdulillah jugak sebab si kakak juga seakan bertanggungjawab tidak membiarkan si adik melakukan sesuatu yang membahayakan.

Tu baru kisah boleh berkerjasama antara dua adik beradik. Belum lagi bab tak boleh duduk berdekatan. Kalau nak tau kisahnya, nanti akan datang aku kongsikan.




12 January 2013

Bakor Yeop Bakor !!

  11 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua rakan rakan pengunjung yang dihormati mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati ALLAH. 

Semalam agak gempar di negeri Perak ni apabila ada rakyatnya mengamuk hingga berlakunya insiden melibatkan kenderaan pacuan empat roda milik JPJ di mana ianya diterbalikkan dan dibakar cuma nasib baik tak rentung je.


Aku tak berada ditempat kejadian. Cuma mendengar dan membaca perkhabaran dari pihak pihak lain. Ada yang berkisahkan kemarahannya akibat melibatkan kehilangan nyawa. 

Ada juga kisahnya kerana perlaksanaan tugasan yang melulu hingga mengakibatkan rentetan malapetaka. Hanya yang berada ditempat kejadian je yang boleh menceritakan kisah sebenarnya.

Selagi saksi utama atau mangsa kejadian tidak membuat kenyataan, memang berbagai cerita yang kita boleh dengar. Tuduh menuduh antara satu sama lain tu dah memang menjadi ramuan utama bila tak tahu pangkal punca.

Cuma selepas aku menonton rakaman dari orang awam yang berada ditempat kejadian tu malam tadi, beberapa perkara yang aku terfikir. Antaranya keadaan kenderaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut.

Sikap orang awam yang bertindak ganas walaupun berada pada pihak yang benar. Rentetan peristiwa yang membawa kepada kejadian ganas tersebut dan pastinya punca sebenar kejadian yang berlaku.

Dulu tu proton waja. Sekarang ni sudah toyota fortuner. Mungkin akan datang trak bomba pun boleh diterbalikkan jugak dan boleh jadi kereta kebal atau pesawat pengangkut pun terbalik dibuatnya.


p/s : itu le, banyak benor nengok pilem hantu kak limah. asyik nak bakor je kejenye..





07 January 2013

Peka dan belajarlah memahami

  16 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat rakan rakan semua mudah mudahan kita diberkati dan dirahmati ALLAH. Dua hari bercuti hujung minggu agak penuh dengan aktiviti. 

Dimulakan dengan anak sulung terkena batuk dan selsema, kemudian diikuti (berjangkit la tu) pulak oleh adiknya dan seterusnya terkenan pulak oleh mama mereka. 


Nampak sangat antibodi aku ni sungguh berkuasa. Hehehe..Alhamdulillah walaupun ada tiga orang 'pesakit' dalam rumah, aku dipelihara untuk memelihara. 

Sebagai suami bila isteri demam, bagi aku tak jadi masalah lansung untuk melakukan segala tugasan rumah. Basuh pakaian, pegi jemur pulak, memasak, mengemas, jaga anak-anak, kecuali bila anak aku nak menyusu je aku paling kalah.

Bila anak-anak jatuh sakit, memang sangat sangat merisaukan. Macam anak sulung kami tu tak mengapa la juga sebab dia dah boleh bercakap bagitau sakit di mana dan sebagainya.

Tapi bila yang kecil jatuh sakit, pandangan mata dia tu yang buat luluh hati. Apa yang dia tahu hanya menangis bila rasa tak selesa. Tu sebab sebagai ibubapa, kita kena peka dan cuba belajar untuk memahami setiap tingkah laku anak-anak kita.

Jangan sebab anak kita tu menangis tak henti-henti, kita pulak yang bagi 'berhenti' selama-lamanya. Memang tak dinafikan pasti sedikit sebanyak tekanan dalam membesarkan anak mesti ada. 

Sebab tu la ALLAH kurniakan kita ni dengan akal fikiran. Supaya kita sentiasa berfikir akan segala hikmah setiap kejadian tu. Bila tak berfikir, tu la yang keluar kisah kisah yang menyayat hati masyarakat yang tak sepatutnya berlaku.

Dan jangan kita lupa, setiap detik hidup kita adalah ujian dari ALLAH. Samada kebaikan atau keburukan yang kita tempuhi, ianya tidak lain hanyalah peringatan dari ALLAH.


04 January 2013

Practice make perfect

  5 Komen    
label: 
Hari pertama aku memulakan sesi pembelajaran semalam sangat menyeronokkan. Seronok melihatkan gelagat anak-anak murid baru aku tu terkesima bila aku sudah mula memberikan kerja latihan. 

Hanya satu matapelajaran yang aku mulakan semalam berserta kerja latihan. Dari 32 pelajar yang ada, cuma 6 orang yang gagal untuk menurut arahan menyiapkan kerja sebelum sesi persekolahan berakhir petang semalam.

Memang sedikit mencabar juga bila nak berhadapan dengan berbagai karenah dari lebih 30 pelajar berusia 10 tahun tu. Sedangkan di rumah untuk melayan karenah dua orang anak pun terkadang tak terlayan dibuatnya.


Dari 'ujian' awal yang aku lakukan semalam, sedikit sebanyak aku boleh mengetahui karekter dan keupayaan setiap pelajar dalam kelas aku tu walaupun aku belum dapat nak mengingati setiap nama mereka.

Sudah dapat dikesan siapa yang mampu berdikari, siapa yang bersungguh, siapa yang mengikut, siapa yang kaki tiru, siapa yang malu bertanya, siapa yang kaki main, siapa yang degil, siapa yang malas dan sebagainya.

Hari ni aku akan teruskan lagi dengan kerja-kerja latihan. Orang kata, "practice make perfect". Untuk kelas tahun 4 sesi 2013 ni, aku harap akan ada kenaikan peratus kecemerlangan dalam setiap ujian peperiksaan. 

Dan untuk itu, aku juga perlu melebihkan kerja menyiapkan nota-nota dan berbagai soalan dari semua matapelajaran. Sibuk ke nanti ? Sikit-sikit mungkin.





02 January 2013

Minggu pertama persekolahan

  14 Komen    
label: 
Semalam belum cukup sibuk menguruskan pendaftaran murid-murid baru dan lama lalu bersambung hingga ke hari ini. Memandangkan sekolah aku mengajar ni tiada kerani, maka kami guru-guru yang menguruskan segalanya.

Bermula dari menulis pendaftaran pelajar, mengutip bayaran dan sebagainya. Ingatkan tadi sempat jugak la untuk aku memulakan sesi kelas, tapi disebabkan kebanyakan ibubapa berpusu-pusu datang mendaftar dan menjelaskan pembayaran hari ni maka terpaksa la aku tangguh.


Paling tak minat bila bab mengumpul kutipan bayaran pendaftaran. Kutip tu seronok la tapi nak mengira jumlah keseluruhan kutipan tu yang sangat memenatkan. 

Kalau semuanya membayar dengan jumlah bayaran yang sama tu mungkin mudah kerja jugak la. Tapi bila pembayarannya tak sekata, berpinar juga mata waktu nak mengira. 

Dan mungkin jugak sebab kurang sistematik pengurusannya maka begitulah akibatnya. Ini adalah pengalaman pertama aku menguruskan pendaftaran murid-murid di sekolah. Maka untuk itu pasti akan ada khilafnya.

Esok dah boleh mula 'berkenalan' dengan anak-anak murid yang baru. Teringat pulak zaman bersekolah dulu. Minggu awal persekolahan selalunya sibuk dengan menetapkan tempat duduk dalam kelas, mengatur tugasan harian, melantik ketua kelas dan sebagainya.





01 January 2013

Kembali ke sekolah 2013

  12 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan buat semua rakan rakan pengunjung yang dihormati mudah mudahan kita semua beroleh keberkatan dan rahmat dari ALLAH diawal tahun baru 2013 ni.

Selamat tahun baru untuk semua. Walaupun hanya berada di rumah je malam tadi sewaktu umat manusia lain berghairahan menghitung detik 1 Januari, kemeriahannya tetap terasa cukup dengan mendengar dentuman mercun tepat jam 12 tengah malam tadi.

Bermula 1 Januari 2013 ni jugak rutin harian aku sudah berubah atau dalam erti kata lain kembali kepada kebiasaan. Masa cuti sekolah hari tu boleh jugak nak berhibernasi lebih sikit. Tapi mulai hari ni kena la buat penalaan semula dengan mod kerja.


Pagi tadi terasa asing pulak. Diwaktu orang lain kebanyakannya bersantai cuti awal tahun baru, aku pulak sudah bersegak segak untuk keluar menjalankan amanah dan tanggungjawab.

Dari jam 8 pagi hinggalah mencecah jam 12 tengahari, aku dan rakan rakan sekerja sedikit sibuk menguruskan pendaftaran pelajar. Itu pun belum cukup sibuk sebab boleh dikatakan hanya 30% ibubapa yang datang menguruskan pendaftaran anak anak mereka.

Selebihnya akan bersambung esok. Dan untuk minggu ni berkemungkinan aku belum dapat untuk memulakan sesi pembelajaran. Mengikut perancangannya, dalam minggu ni hanya untuk sedikit sesi penerangan kelas, pembahagian kumpulan dalam kelas dan pemantauan prestasi pelajar bagi memudahkan sesi bimbingan.

Anak sulung aku yang tak berapa nak sihat akibat demam tu alhamdulillah ada sedikit perubahan. Demamnya sudah berkurangan cuma tinggal selsema dan batuk batuk sikit. Berpantang ais la jawabnya.


Cuma yang tak berapa nak best tu bila si kakak terjaga di tengah malam sambil batuk batuk, pasti si adik terganggu tidurnya. Si adik pulak bila sudah terbangun walau di tengah malam, pasti mencari cari kakaknya untuk diajak bermain.

Balik dari sekolah tadi, si adik tak lepas lepas matanya dari memandang kat aku. Hairan agaknya sebab nampak papanya segak entah dari mana datangnya kerana selama sebulan lebih yang lepas tak pernah nampak papanya sesegak seperti hari ni. 

Esok pagi akan bersambung lagi sesi pendaftaran di sekolah dan sebelah petang pula dah mula masuk ke kelas kembali. Kelas yang lama, guru yang lama cuma pelajarnya yang bertukar.