20 March 2013

17 March 2013

Lukisan dinding

  10 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua rakan rakan mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati ALLAH.

Sebelum cuti sekolah penggal pertama bermula minggu depan, aku agak sibuk sikit menyediakan kertas soalan ujian untuk anak-anak murid kelas aku tu. 

Jenuh nak menaip tulisan jawi

Walaupun tak termaktub dalam kalendar sekolah, aku harap dengan ujian yang aku jalankan ni memudahkan sesi pembelajaran sebelum menghadapi peperiksaan pertengahan tahun kelak.

Anak-anak dah teruja nak balik ke kampung nenek mereka di Sabah. Kami akan menghabiskan cuti sekolah satu minggu ni di Sabah. Ada nak kirim apa-apa ke ? 

Cakap pasal anak-anak ni, sebagai sebuah keluarga yang cukup korumnya pasti tak dapat lari dari menghadapi berbagai karenah anak-anak. Dan berbagai cara dan kaedah juga bagi ibubapa untuk melayan setiap karenah anak-anak mereka.

Rumah bersepah, riuh rendah dan sebagainya tu pasti sukar untuk dielakkan bila di rumah ada anak-anak ni. Perkembangan minda anak-anak ni perlu la kita sebagai ibubapa fahami dengan mendalam.

Contohnya macam anak sulung aku yang baru berusia 5 tahun tu. Ada saja imaginasi yang dikeluarkan melalui alat-alat permainan dia tu. Tambah pulak sejak adik dia yang berusia 10 bulan tu dah pandai juga nak bermain sama, lagi ligat la jadinya.

Pelukis kreatif

Memang penat nak mengemas rumah sentiasa, tapi ada kalanya sebagai ibubapa kita perlulah melatih anak-anak agar ada sikap bertanggungjawab dengan apa yang telah mereka lakukan. 

Daripada kita berleter memarahi perbuatan mereka menyepahkan barang, adalah lebih baik kita ajak mereka mengemaskannya bersama sambil menerangkan kenapa perlunya mengemaskan kembali barang yang mereka sepahkan tu.

Satu lagi bab dinding. Kalau rumah aku ni memang agak penuh dengan hasil kerja tangan anak aku. Alhamdulillah tuan rumah tempat kami menyewa ni sangat memahami dan terbuka fikirannya. 

Cuma sebagai jaminan menghormati kebaikan tuan rumah sewa kami ni aku menjanjikan akan memastikan keadaan rumah tidak akan ditinggalkan dengan segala masalah kepada tuan rumah.

Mungkin ada yang berfikir, kenapa dan mengapa aku tidak memarahi atau menghalang perbuatan anak aku melakar dinding rumah dan sebagainya tu. 

Gambar papa, mama dan kakak.
Bila ditanya mana adiknya ?
Jawabnya adik sedang tidur dalam bilik.
Itu adalah hasil kerja tangan anak aku yang dia banggakan. Agar sentiasa dapat untuk dilihat. Dan boleh pula ditunjukkan kepada sesiapa saja tetamu yang datang ke rumah.

Lagipun bukan boleh runtuh dinding rumah dibuatnya. Dan yang pastinya boleh la tukar cat warna lain pulak. Berapa sangat la harga cat dinding berbanding dengan daya kreativiti seorang anak.

Okay, kalau tak setuju tak mengapa. Anak kita acuan kita. Kalau baca buku panduan yang penuh dengan teori tu memang nampak memberansangkan. Tapi realitinya nak tak nak kita kena pinda juga panduan yang ada tu untuk diterapkan dalam kehidupan.





13 March 2013

12 March 2013

Diserang pengganas Anonymous

  6 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua rakan rakan yang dihormati mudah mudahan kita semua berada dalam limpahan rahmat dan apa juga yang kita lakukan diberkati oleh ALLAH.

Baru lebih kurang seminggu 'meninggalkan' dunia blogging atas sebab sebab tertentu terasa seperti dah lama sangat. Terkadang agak sukar juga untuk mencari masa yang sesuai yang boleh digunakan untuk bersosial di laman maya ni.


Pembahagian masa antara komitmen terhadap kerja, keluarga dan kehidupan harian kadang kadang tu kurang mengizinkan untuk berteleku dihadapan komputer bagi berkongsi pemikiran di alam maya.

Dalam masa 'meninggalkan' dunia blogging ni, bukanlah maksudnya terus melupakan. Sempat juga mencuri sekelumit masa berkunjung ke blog rakan rakan lain sekadar membaca perkongsian yang digarapkan.

Dan dalam masa yang sama juga, blog sendiri pastinya tidak dibiarkan. Kebetulan pula sejak kebelakangan ni kelihatan serangan komen dari Anonymous menjadi jadi.


Dari pemerhatian dan pencerapan yang dilakukan, Anonymous ni banyak menyerang dengan meletakkan komen komen spam pada entri entri lama yang mana kebanyakan kita sebagai pemilik entri pun terkadang sering mengabaikan entri yang lama.

Sebagai pengguna perkhidmatan blogspot, walaupun terdapat kawalan komen spam disediakan namun tidak semuanya terkawal secara otomatik. Terdapat pilihan kawalan komen bagi pengguna perkhidmatan blogspot samada boleh dipaparkan terus atau perlukan tapisan dari pemilik blog.

Disebabkan aku tak berapa rajin dan merasakan pengomen ada hak untuk dipaparkan komen mereka, maka aku memilih untuk membiarkan komen dari rakan rakan pengunjung dipaparkan terus.


Dan aku juga membiarkan sesiapa sahaja boleh memberikan maklum balas terhadap entri yang aku kongsikan melalui komen termasuklah individu yang menggunakan identiti Anonymous.

Kerana itu maka aku terpaksa la berhadapan dengan 'ancaman' komen komen spam dari Anonymous. Mujur juga ada bahagian untuk memeriksa setiap komen dari kesemua entri yang ditulis. 

Dari situ apa sahaja komen dari Anonymous yang penuh dengan komen spam mudah untuk dibuang dari sistem. Namun bagaikan satu jangkitan, ianya bagaikan tiada berkesudahan hingga terpaksa setiap hari memeriksa ruangan komen untuk membuang komen komen spam dari Anonymous.

Penyudahnya aku terpaksa pula menukar sedikit talaan dari sistem komen blogspot. Apa yang aku lakukan adalah menukar kategori bagi pengomen dari sesiapa sahaja kepada pengguna berdaftar.


Nampaknya apabila aku menukar kategori pengomen kepada pengguna berdaftar, masalah komen dari Anonymous sudah tidak lagi menyemakkan kotak komen blog. 

Cuma nak tengok dulu sehari dua ni mana la tau kemungkinan 'terlepas' jugak Anonymous setelah diubah sedikit kawalan komen. 

Andai berkesempatan, boleh la berkomen di blog rakan rakan pulak. Sejak anak dah pandai berjalan ni, memang nak kena perhatikan selalu dan tak boleh leka. 




04 March 2013

Tanggungjawab suami

  14 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua rakan rakan pengunjung yang dihormati mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati ALLAH.

Macam yang kita semua tahu, saat dimana seorang lelaki disahkan menjadi seorang suami kepada seorang wanita maka beralihlah tanggungan tanggungjawab bapa kepada wanita tu ke bahu lelaki yang bergelar suami tu tadi.

Kalau sebelum bergelar isteri, segala tanggungjawab dalam menjaga dan mendidik perempuan ni tertanggung ke atas bapanya je. Bila dah bersuami maka suaminya la yang wajib menanggung segalanya termasuk la dosa isteri dia sendiri. 

Apa antara tanggungjawab seorang suami ni yang perlu kita tau ? Untuk menyegarkan balik ingatan dan sebagai bekalan buat bakal bakal suami, jom kita tengok sama sama tentang tanggungjawab seorang yang bergelar suami.


Sebagai seorang suami, maka wajib baginya untuk memberikan nafkah kepada isteri dan anak anak dari segi pendidikan, pengisian rohani, pakaian, tempat tinggal dan makanan mengikut kemampuan sendiri. 

Bila dah bergelar suami ni kita kena la ingat bahawa kita sebenarnya dah masuk ke alam yang baru. Bukan lagi duduk dalam alam macam zaman bujang bujang. Takde sesi mengeteh sampai larut malam. Takde sesi melepak berkumpul tanpa matlamat.


Agak kalau gian sangat nak pekena teh tarik mamak ngan kawan kawan, ajak sekali isteri dan anak anak bersama sama. Jangan minum sorang je. Kesian anak isteri kat rumah minum teh 'o' je. 

Bila dah bergelar suami, wajib jugak untuk suami ni memberikan nafkah batin kepada isteri termasuk la menggauli isteri dengan baik. Jangan pulak ingat nafkah batin tu semata mata hubungan kelamin je. Nafkah batin untuk isteri tu termasuk la pengisian rohaniahnya. 

Wajib bagi suami untuk mengajarkan kepada isteri tentang solat yang betul, bacaan dalam solat dan segala hukum syariat asas kepada isterinya. Ni pun antara pemberian nafkah batin yang wajib jugak. 

Kalau suami tu tak tau, pegi belajar sebab kalau dibiarkan nanti takut akan melahirkan anak anak generasi yang islamnya hanya pada kad pengenalan je. 


Bila dah beristeri, insyaAllah akan diberikan pulak rezeki dalam bentuk anak anak. Seronok sebenarnya bila ada anak anak ni. Tapi kena ingat la, bila dah bergelar ayah ni kena la menyara anak anak tu. Bukan setakat sara makan, pakaian dan tempat tinggal malah pendidikan untuk anak pun wajib ditanggung. 

Dan pastinya seorang suami tu jugak wajib melindungi isteri dan anak anaknya dari aspek kesihatan dan keselamatan. Tak boleh mendedahkan anak isteri kepada perkara yang membahayakan misalnya andai kata si suami seorang perokok, berusahalah agar tidak merokok dihadapan anak isteri supaya mereka tidak berisiko menghadapi penyakit akibat asap rokok tu. Kalau boleh berenti tu, berenti je la. 


Selain dari menjaga kesihatan dan keselamatan anak isteri, seorang suami jugak wajib melindungi maruah keluarga dan harta benda. Keluarga tu bukan setakat keluarga yang dibina tu tapi termasuk la seluruh ahli keluarga mertua dan yang seketurunan dengannya. 

Suami jugak wajib sentiasa membimbing isteri dan mendidik akhlak anak anak dan memastikan mereka mendapat pendidikan islam yang sempurna. Tu sebab sebolehnya sebelum bercadang nak menjadi seorang suami ni kena la mempersiapkan diri dulu dengan asas asas ilmu agama sebab tu menjadi salah satu kewajipan yang wajib ditanggung oleh suami kelak.


Suami jugak hendaklah sentiasa mengamalkan pergaulan yang baik dengan isteri, anak anak dan orang lain. Suami juga perlulah menjadi sorang yang boleh dijadikan penasihat dalam menyelesaikan masalah isteri, anak anak dan jiran tetangga. Sebolehnya sebagai seorang suami, seseorang tu haruslah mempunyai sifat bertolak ansur, pengasih, penyabar, pemaaf dan bertimbang rasa. 

InsyaAllah kalau boleh menjaga semua tanggungjawab yang tertanggung tu, hidup berkeluarga pun menjadi aman damai, penuh kasih sayang dan tenang. Apa yang penting, agama jangan dibelakangkan. 



Gambar : Ehsan Google Image