30 April 2013

Buli lagi ?

  5 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat rakan-rakan pengunjung mudah-mudahan kita semua diberkati dan dirahmati ALLAH.

Kes buli disekolah memang tidak dapat dinafikan kewujudannya sejak sekian lama tak kira samada sekolah berasrama atau tidak. Masing-masing nak jadi macam Lan Todak kot.

Kalau satu masa dulu kita hanya mendengar kes-kes buli antara pelajar di melalui media tapi sekarang ni ianya boleh ditonton secara lansung melalui rakaman yang dibuat oleh pembuli itu sendiri.



Terasa seperti sekarang ni bagaikan satu sindrom pulak. Sindrom untuk membuktikan kesamsengan dikalangan pelajar dan anak-anak kita. Betapa bangganya mereka menunjukkan 'kehebatan' mereka menguasai pelajar lain yang lemah.

Sebelum ni ketika era telefon bimbit berkamera dan mampu merakam video baru menular, sindrom merakam aksi melakukan seks menjadi budaya remaja ketika itu tapi sekarang ni sindrom merakam aksi membuli pula makin menjadi-jadi.

Mungkin itu juga antara kebaikan yang ada bila membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah. Andai dulu ada pelajar kita yang dibuli selagi mangsa buli tidak membuat laporan polis, selama itulah pembuli boleh berleluasa.

Sekarang ni disebabkan kebijaksanaan para pembuli yang baru nak belajar jadi samseng, merakam aksi membuli dengan harapan untuk menunjukkan betapa samsengnya mereka, mudah sikit pihak polis nak buat siasatan.

Malah kalau kes buli itu hendak dibawa ke mahkamah pun sangat mudah disebabkan bahan bukti yang cukup jelas. Cepat sikit adik-adik samseng tu merasa duduk dalam pusat pemulihan akhlak. 

Kalau nak jadi samseng sangat pun, biarlah kena pada tempatnya. Dari membazirkan sifat kesamsengan tu membuli orang yang lemah, lebih baik digunakan ke arah yang lebih bermanfaat.

Jadi pembanteras jenayah ke, daftar diri jadi komando ke, bantu orang-orang yang lemah ke atau kalau nak rasa macam hebat sikit boleh la memohon jadi pengawal peribadi. 

Mungkin ini anak kita yang dibuli. Atau mungkin anak kita yang membuli. Andai begini yang berlaku, pada siapakah harus ditujukan puncanya ?




29 April 2013

Siapa yang harus dipilih ?

  13 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat rakan-rakan pengunjung yang dihormati mudah-mudahan kita semua berada dalam keberkatan dan keredhoan ALLAH.

Semakin hampir dengan tarikh membuang undi semakin panas pentas-pentas kempen. Dua parti utama saling berbalas serangan dan berbagai macam jenis perang saraf yang ada.


Waktu begini baru la macam-macam perkara yang kita tak tahu pun boleh tahu. Kain disingkap, zip seluar dibuka, baju diselak hinggakan kalau boleh kisah dalam kelambu pun boleh menjadi agenda utama.

Lebih menakutkan bila keluar bermacam fatwa yang sikit sebanyak boleh mempengaruhi pemikiran orang-orang awam. Semuanya hanya kerana perebutan kuasa.

Kadang-kadang rasa macam menjengkelkan jugak. Sampaikan minda kanak-kanak pun terhasut sama. Memang la kanak-kanak tu perlu tahu juga kerana mereka la generasi yang akan menyambung perjuangan negara, tapi andai tidak diperjelaskan situasinya, boleh rosak minda anak-anak ni.

Baru-baru ni ada anak murid aku yang bersembang politik. Terkejut jugak aku mendengarnya. Seingat aku, waktu aku berusia 10 tahun dulu lansung tak peduli dengan politik ni dan tak ambil tahu pun.

Murid A bertanya pada aku, "Betul ke kalau kita undi Pas boleh masuk syurga ?".

Murid B bertanya pada aku, "Betul ke kalau kita undi BN nanti kita jadi kafir ?".

Murid C bertanya pada aku, "Betul ke kalau kita undi PKR belajar tak payah bayar yuran ?".

Murid D bertanya pada aku, "Cikgu pilih hijau ke biru ?".

Minda anak-anak ni kita kena faham betul-betul. Pemikiran diorang ni lurus dan masih mencari-cari. Silap penerangan, itu la yang diorang akan pegang dari apa yang diorang dengar.

Pada aku, untuk memilih calon yang perlu mendapat undian bukannya susah. Ibarat memilih ketua kelas. Kriteria utama mestilah seorang yang jujur dalam menjalankan tugas. Kemudian mampu melaksanakan tugasnya tanpa ada unsur pengaruh dari mana-mana pihak. Seterusnya boleh melaksanakan tanggungjawab sepanjang masa.


Calon A bukanlah dari parti yang kita sokong. Tapi calon A ni sangat berdedikasi menjalankan tugasnya samada sebagai wakil rakyat ataupun ahli parlimen kawasan. Sepanjang penggal, calon A sentiasa dilihat menjalankan tugasnya berusaha menyelesaikan permasalahan rakyat yang diwakilinya walaupun kalah dalam pilihanraya malah berusaha menyampaikan masalah rakyat untuk ditangani oleh calon yang menang dikawasannya.

Calon B pula adalah dari parti yang kita sokong. Kebetulan pula memenangi pilihanraya dan dilantik menjadi wakil rakyat dikawasannya. Ketika hari berkempen, kelibatnya dilihat berada dimana-mana hingga ke ceruk kampung. Apa sahaja kesusahan rakyat, pasti dicatatkannya.

Namun tidak lama kemudian, begitu sukar bagi rakyat untuk bertemu dengannya. Suara rakyat pun seperti tidak diendahkan lansung. Bukan hanya pada rakyat yang tidak menyokongnya, malah penyokongnya sendiri pun seakan tidak diambil peduli.

Jadi sebagai pemilih, bijak-bijak la memilih. Jangan kerana kita menjadi ahli seumur hidup parti sekian-sekian, kita meneruskan sokongan kepada calon yang tidak boleh diharap bila mendapat jawatan atas alasan menyokong parti dan asalkan parti menang sudahlah.


Jangan lupa, kita bebas untuk memilih. Cuma jangan sampai tersalah pilih, kemudiannya kita sendiri yang terbiar sedangkan kita memilih agar nasib kita sebagai rakyat yang hanya memiliki suara ini terbela.

"Habis tu cikgu pilih mana, hijau ke biru ?", soal murid D lagi. 

"Undi saya rahsia". Aku memberikan jawapan yang muktamad.








28 April 2013

Majlis Ikhtifal SRAR Ipoh Zon 4

  Tiada Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat rakan-rakan pengunung mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati ALLAH.

Alhamdulillah berakhir sudah Majlis Ikhtifal sekolah-sekolah agama rakyat Ipoh peringkat Zon 4 pada hari ini. Adat bertanding pasti ada yang menang dan pasti ada yang kalah. Namun kekalahan bukanlah bererti kita tewas dalam perjuangan.


Sembilan acara telah dipertandingkan. Antaranya tilawah Al-Quran, hafazan Al-Quran, bercerita dari kisah Al-Quran, syarahan bahasa arab, syarahan bahasa melayu, nasyid, khutbah, hiwar (perbualan bahasa arab) dan penulisan seni khat.

Dari sembilan acara yang dipertandingkan, sekolah tempat aku mengajar berjaya membolot enam tempat pertama. Antaranya bagi pertandingan hafazan Al-Quran bahagian lelaki dan perempuan, syarahan bahasa arab bahagian lelaki dan perempuan, syarahan bahasa melayu dan hiwar.

Selaku guru pembimbing, ada jugak rasa bangga apabila anak-anak murid yang dilatih berjaya dalam pertandingan yang diadakan. Tambah pulak melihatkan ibubapa yang datang memberikan sokongan buat anak-anak mereka yang menyertai pertandingan kelihatan ceria dan bangga dengan pencapaian anak-anak mereka sedikit sebanyak membuatkan kami para guru turut sama berbesar hati dan hilang segala penat lelah melatih mereka untuk mencapai tahap sebegini.


Bagi wakil-wakil sekolah yang tidak berjaya, jangan putus asa. Apa yang penting kita sudah berusaha yang terbaik walaupun terpaksa berlatih mencuri-curi masa waktu belajar dan masa yang suntuk.

Aku sedikit terkilan kerana tidak dapat untuk berada dalam dewan pertandingan untuk memberikan sokongan moral buat anak-anak latih aku tu sebab aku terpaksa menjadi pengerusi majlis bagi pertandingan nasyid. 

Tapi walaupun begitu, sempat juga aku 'lari-lari' untuk melihat mereka memberikan persembahan. Lepas ni andai ada rezeki, buat johan pertandingan mungkin akan bertanding diperingkat daerah pula. Apa pun mulai minggu hadapan, pertarungan untuk menghadapi peperiksaan pertengahan tahun pulak perlu diutamakan.


Sekali lagi tahniah buat wakil-wakil Sekolah Rendah Agama Rakyat Sg. Rokam yang berjaya. Dan dengan kejayaan itu jugak menjadikan Sekolah Rendah Agama Rakyat Sg. Rokam sebagai johan keseluruhan Majlis Ikhtifal SRAR Ipoh Zon 4 untuk kali kedua.












26 April 2013

Displin pelajar berpunca dari guru bermasalah ?

  6 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada rakan-rakan pengunjung yang dihormati mudah-mudahan kita berada dalam rahmat dan berkat ALLAH dalam apa juga yang kita kerjakan.

Setelah hampir satu tahun berada dalam bidang pendidikan ni memang ada banyak manis dan pahit yang telah aku lalui. Terutama sekali bila melihat anak didik kita mengorak kejayaan.


Tak dilupakan juga anak-anak didik yang sedikit bermasalah. Namun tidaklah sesekali mereka dilupakan begitu sahaja. Sebagai insan yang dipertanggungjawabkan untuk mendidik, sikap lepas tangan tu bukanlah satu sikap yang perlu ada dalam jiwa seorang pendidik.

Baru-baru ni agak kecoh dalam komuniti perguruan dan pendidik, bilamana Dr. Rubiah K Hamzah mengeluarkan kenyataan dalam sebuah akhbar tempatan berkenaan masalah displin pelajar.

Rata-rata komuniti guru sangat tidak bersetuju dengan kenyataan yang diberikan malah ianya sangat mengguris perasaan. Apakah benar jika seorang pelajar itu bermasalah sebenarnya pendidik itu yang bermasalah ?

Dari satu sudut, mungkin boleh kita katakan begitu. Namun pada aku, sudutnya terlalu kecil. Kita semua pernah menjadi pelajar suatu masa dahulu malah mungkin masih ada yang bergelar pelajar.

Pernahkah kita (andainya nakal) dibiarkan sahaja tanpa perhatian oleh guru atau pendidik ketika kita di sekolah ? Atau sebagai ibubapa yang mempunyai anak di sekolah, apakah kita tidak pernah menerima laporan andainya anak kita bermasalah di sekolah ? 


Aku pasti tidak ada seorang guru atau pendidik pun yang mahu melihat anak-anak didik mereka gagal dalam hidup biar bermasalah macam mana pun anak didik mereka tu.

Kecuali sekolah berpertasi tinggi, terutamanya sekolah ambilan khas. Di situ mungkin pelajarnya sangat berdisplin tinggi. Manakan tidak, untuk mendaftar masuk pun sudah perlu tapisan yang amat terperinci.

Namun belum mungkin tiada lansung pelajar yang bermasalah displin. Hatta di pusat pengajian tinggi sekalipun masalah displin ni tidak pernah sunyi. Dan jangan hanya memandang situasi di alam pembelajaran, tengok sama walau di mana sekalipun.

Di tempat kerja, di pejabat kerajaan, di kilang-kilang, di sektor swasta, di jalanraya, di rumah, di masjid, di ceruk mana pun dunia ni, cuba carikan satu tempat atau satu kawasan yang tiada masalah displin. 

Masalah displin ni bukan disebabkan oleh sesiapa. Punca utamanya adalah dari dalam diri individu tu sendiri. Memang benar, ianya bermula dari peringkat ibubapa yang mendidik anak-anak supaya mendisplinkan diri. 


Kemudian bila memasuki alam pembelajaran di sekolah, maka pendidik dan guru pula bertindak sebagai memberikan panduan agar generasi ini tidak tersalah landasan.

Jadi untuk menyalahkan dan mengatakan pendidik itu bermasalah jika pelajar bermasalah, itu adalah satu kenyataan yang sangat menghina yang keluar dari mulut seorang yang bergelar Doktor Pendidikan dan Pakar Motivasi Keluarga.

Walaupun memang ada simpulan bahasa "Guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari", jangan kita lupa kata orang lama, "dalam setandan pisang, tidak semuanya elok belaka".

Mengkritik atau menyalahkan atau menuding jari menunjukkan kesalahan orang lain ni memang menyeronokkan dan mudah. Tapi jangan sampai terlupa, jangan sampai terleka, kita ini walau setinggi mana pun ilmu atau darjat yang kita miliki, itu bukan menunjukkan kita telah sempurna.

Berikan pendapat dan pandangan anda semua sebagai seorang pendidik, ilmuan, ibubapa yang mempunyai anak di sekolah atau sebagai seorang pelajar itu sendiri. 










25 April 2013

Gwiyomi tercomel di dunia

  8 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua rakan pengunjung mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati ALLAH dalam apa juga amal ibadah yang kita lakukan.

Aku akui aku jugak salah seorang peminat rancangan TV Korea Selatan. Tapi aku tak la layan drama Korea sangat, cuma lebih terlayan rancangan Running Man, Star King, Strong Heart, 2 Days 1 Night, Hello Conselor, Happy Togather dan yang terbaru Cool Kiz On The Block. (Haruskah untuk aku menyenaraikan kesemuanya ?)



Dan memang tak dinafikan, gelombang Korea ni menular sampai ke ceruk kampung di negara Malaysia kita ni. Apa saja yang nampak 'kiut', semua nak tiru. 

Kalau sebelum ni kecoh dengan PSY Gangnam Style, baru-baru ni pulak ramainya yang terkena demam Gwiyomi. Aku faham, memang la gwiyomi atau kwiyomi tu maksudnya perlakuan yang kiut. 

Dan kalau nak melakukan perlakuan tu mestilah perlu dilakukan sekiut mungkin. Tapi bila dilakukan oleh orang lain nampak tergedik lak. (Jangan marah kalau terasa)

Mula la masing-masing sibuk mengkiutkan diri, mencontohi perlakuan kiut artis Korea tu. Aku ingatkan kaum perempuan je yang berusaha mengkiutkan diri ntah nak tunjuk kat siapa tu, rupa-rupanya kaum lelaki yang gagah perkasa pun sanggup melucutkan keperkasaan diri untuk menjadi kiut.

Aku cuba jugak untuk menyelami jiwa dan perasaan mereka yang berusaha untuk kelihatan kiut tu, tapi aku tak mampu nak tengok satu-satu. Tak menghiburkan lansung berbeza dari pencipta asal perlakuan kiut tersebut.

Namun, ada satu dan satu-satunya gwiyomi yang paling membuatkan aku sangat terhibur. Bobo Bubu pun tak boleh nak lawan gwiyomi ni. Pastinya kalau korang semua tengok pun mesti takkan duduk diam.

Kalau tak percaya, meh sini kita layan sama-sama gwiyomi yang paling comel di dunia. Kepada wanita-wanita diluar sana, hentikan kegiatan anda semua untuk kelihatan kiut dengan gwiyomi. Jom kita layan yang terbaik punya.









24 April 2013

21 April 2013

Bidan Kampung vs Pakar Sakit Puan

  12 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat rakan pengunjung semua mudah-mudahan apa juga yang kita lakukan mendapat rahmat dan keberkatan dari ALLAH.

Baru-baru ni isteri mengadu rasa mual setiap pagi. Adakah itu tanda-tanda rezeki akan bertambah ? Andai benar, syukur alhamdulillah. Cuma ada sedikit kerisauan memandangkan isteri baru melalui proses kelahiran melalui pembedahan kali kedua lebih kurang satu tahun yang lalu.



Waktu menerima kelahiran anak kedua, juga melalui proses pembedahan tu, kami telah diberitahu oleh doktor untuk menjarakkan anak dan andai anak ketiga juga dilahirkan melalui proses pembedahan maka hanya setakat itu sahajalah zuriat yang boleh dibenarkan.

Aku bukan doktor pakar untuk membincangkan perkara sebegini. Tapi perkara macam ni ada kalanya bermain juga dalam minda. Begitu berbezanya suatu masa dahulu dengan era sekarang.

Mungkin benar, suatu masa dahulu di zaman mak-mak kita, opah nenek kita kepakaran perubatan dalam bidang sakit puan ni sangat terhad bilangannya. Kebanyakannya bergantung pada kepakaran bidan-bidan kampung untuk menguruskan setiap perihal dari awal mengandung hinggalah setelah tamat masa berpantang selepas melahirkan.

Jarang juga kita mendengar berlaku kes-kes kegagalan atau mungkin tidak diceritakan. Tapi kalau kita perhatikan pada kadar kelahiran zaman mak-mak kita, opah nenek kita, memang menakjubkan.

Rata-rata bilangan anak yang dilahirkan zaman suatu masa dahulu paling kurang pun mungkin lima orang. Malah ada yang mencapai belasan orang anak. Adakah faktor berkahwin diawal usia menjadi penyebabnya ?

Berbanding zaman kita sekarang ni, berkahwin lewat usia, sibuk dengan kerjaya, gaya hidup yang berlainan dan terikat dengan kepakaran perubatan yang semakin hari semakin nak cepat je.

Tapi adakah terdapat perbezaan atau jurang yang sangat luas antara proses kelahiran zaman suatu masa dahulu dengan zaman sekarang ? 

Adakah sakit yang terpaksa ditanggung oleh ibu yang bakal melahirkan tu tidak sama antara suatu masa dahulu dengan zaman sekarang ? 

Bagi orang kebanyakan macam aku yang kurang arif dengan kepakaran kedoktoran ni, tiada apa yang dapat difikirkan apabila menjelang proses kelahiran anak ni selain dari mahukan si ibu dan anak dalam kandungan selamat.

Maka apabila diberikan kata putus untuk tidak menunggu lebih lama dan mencadangkan proses pembedahan sebagai jalan terakhir, lebih-lebih lagi 'dimomokkan' dengan risiko kehilangan nyawa, siapa yang tak sanggup.



Cuma itulah, aku pun keliru sebenarnya. Adakah bidan zaman dahulu yang terlebih pakar atau pakar zaman sekarang ni terlebih terikat dengan polisi ? 

Teringat ketika kelahiran anak kedua, setelah mengikut kiraan mereka bukaan pintu serviks terhenti lebih dua jam maka proses pembedahan terpaksa dilakukan.

Bila ditanya apakah tidak boleh menunggu lagi, jawapnya andai berlaku sesuatu (bayi lemas / parut pembedahan terdahulu koyak) maka mereka tidak akan bertanggungjawab.

Memang aku ada membaca tentang risiko-risiko tentang tu semua. Cuma aku tetap keliru, kenapa mereka memilih untuk merisikokan ibu-ibu yang melahirkan anak tu dengan memilih pembedahan sebagai jalan penyelesaian.

Dalam aku tertanya-tanya, keliru, dipenuhi persoalan, terlintas satu jawapan nakal dalam minda. Kalau lahir secara biasa cuma perlu bayar RM10, tapi kalau guna kaedah pembedahan, umat kelas ketiga macam aku ni kena bayar RM100. Kan ada untung kat situ.

Kepada para doktor, petugas dewan bersalin, wad bersalin, mak-mak bidan dan sesiapa sahaja yang berkaitan, ini cuma luahan minda aku. Kalau ada yang boleh menjelaskan dengan lebih terperinci, itu lebih dialu-alukan.

Apa pun andai sudah termaktub rezeki untuk kami hanya tiga, alhamdulillah. Setiap yang berlaku segalanya ada hikmah yang tersirat, betul tak ? 


p/s : Kena kaunseling dengan doktor pasal risiko cesarean ni boleh tahan lagi, tapi kena marah ngan mak mertua sebab biarkan doktor lakukan cesarean tu yang tak boleh tahan.






18 April 2013

Dimana letaknya bahagia ?

  11 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat rakan pengunjung yang dihormati mudah-mudahan kita semua berada dalam rahmat dan keberkatan dari ALLAH dalam apa juga yang kita lakukan.


Secara umumnya bila kita disoal tentang bahagia, mesti ada berbagai jawapan yang akan kita dengar dan perolehi. Ada yang kata sihat tubuh badan itu bahagia. Ada juga yang kata banyak harta itu bahagia. Ada yang kata aman damai tu bahagia.

Dan kalau kita tak bertanya pun, terkadang bila kita melihat pada sisi orang lain pasti ada juga terlintas dalam fikiran membayangkan betapa bahagianya hidup orang itu walau macam mana pun kita andaikannya.

Ada kala kita seakan terlupa. Setiap individu, setiap makhluk telah dijanjikan oleh ALLAH bahagiannya masing-masing. Ada yang dikurniakan rezeki yang melimpah ruah. Ada yang diberikan kesihatan tubuh badan. Ada juga yang dikurniakan keluarga yang besar.

Pada persepsi orang lain, mungkin ramai yang cemburu dengan apa yang tidak dapat dimilikinya seperti orang yang lain itu. Hingga terkadang membuatkan kita terlupa, apa yang dilihat itulah yang tersurat.

Sering kita melihat pada orang yang berharta itu kelihatan bahagia. Mungkin benar bahagia kerana mereka mampu untuk memiliki apa sahaja yang diimpikan. 

Namun adakalanya kita tak sedar, betapa mereka kekurangan waktu untuk diluangkan bersama keluarga, terkadang terpaksa menghadapi ujian penyakit yang jarang dihidapi oleh orang yang kurang berada. Kalau begitu, dimanakah letaknya kebahagiaan tu ?

Selalu juga kita melihat pada orang yang sihat tubuh badannya. Jarang sekali menjejakkan kaki ke klinik atau hospital bagi mendapatkan rawatan. Bahagianya hidup tanpa penyakit.

Namun adakalanya kita tak sedar, betapa mereka terpaksa berusaha untuk menyediakan bahan makanan terbaik mahal sehingga terpaksa berusaha untuk membelanjakan rezeki yang ada bagi mendapatkan makanan sampingan atau kelas kesihatan terbaik untuk berada dalam keadaan sihat sebegitu. Kalau begitu, dimanakah letaknya kebahagiaan tu ?

Ada juga kita melihat pada orang kebanyakan. Ramai anak-anaknya. Hilai ketawa sering mengisi kesunyian di dalam rumah. Walau tidak berharta, kelihatan sangat bahagia.

Namun adakalanya kita tak sedar, betapa beratnya beban yang dipikul demi melansungkan kehidupan diri dan anak-anaknya. Membanting tenaga dan tulang empat kerat demi beroleh rezeki untuk menjamin kehidupan bersama. Kalau begitu, dimanakah letaknya kebahagiaan tu ?


Renung kembali dalam diri kita sendiri. Sentiasa ingat, setiap makhluk telah dijanjikan bahagiannya sendiri. Bersyukur dengan setiap pemberian yang dikurniakan. 

Bila melihat orang lain lebih berharta dari kita, bersyukurlah kerana kita memiliki masa yang lebih untuk bersama keluarga. Bila melihat orang lain lebih sihat dari kita, bersyukurlah kerana kita walaupun makan bersederhana masih juga lagi bernyawa.

Insafi diri. Bukakan pintu hati. Dekatkan diri kepada Ilahi. Ingat, jangan leka mengejar dunia kerana nanti akhirat jauh dari kita. Apapun definasinya, dalam sibuk mencari bahagia di dunia, jangan lupa membina kebahagiaan di akhirat sana. 

Mudah-mudahan ada manfaat untuk semua. Kongsikan pendapat dan pandangan kita bersama. Mana tau ada tersalah tersilap dalam berbicara, moga jadi pengisian yang berguna.




16 April 2013

Tahun Satu

  6 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua rakan pengunjung mudah-mudahan kita semua diberkati dan dirahmati ALLAH dalam apa juga yang kita lakukan.

Baru-baru ni salah seorang rakan sejawatan di sekolah terpaksa memohon cuti kerana menjaga suaminya yang berada di wad ICU setelah melalui satu siri pembedahan membuang ketumbuhan di sebuah hospital di Ipoh.

Untuk itu, aku diminta oleh pengetua untuk menggantikan beliau mengajar di sebelah pagi. Memang tak jadi masalah pun sebab aku hanya mengajar di sebelah petang.


Berpusing bijik mata nak membacanya :P

Dan aku menggantikan rakan aku itu untuk menguruskan murid tahun satu. Mesti kalau kita dengar tahun satu tu rasa macam tersangat la mudah. Matapelajaran pun bermula dari yang asas. Lagipun budak-budak umur 7 tahun, senang kacang je tu.

Oh tidak ! Aku lebih rela mengajar kelas dewasa dari mengajar tahun satu sebenarnya. Macam mimpi ngeri je nak layan kelas tahun satu ni. 40 murid dengan berbagai karenah tersendiri.

Macam-macam 'siaran' ada. 

Jangan bandingkan aku dengan guru-guru lepasan Institusi Perguruan atau guru-guru lebih senior sebab aku bermula mengajar secara formal di dalam kelas ni belum genap setahun pun. 

Memang selalu jugak aku membaca cara-cara untuk menghadapi anak-anak murid secara teorinya. Malah pernah juga mengikuti beberapa siri kursus P&P yang dianjurkan. Tapi dalam dunia realiti, bukan semudah yang kita bayangkan.

Aku tak pasti bagaimana didikan zaman sekarang ni dari ibubapa apabila menghantar anak-anak ke sekolah. Seingat aku, masa zaman aku dulu hampir setiap hari bila nak melangkah kaki ke sekolah, pasti akan menerima 'ugutan' dari mak atau abah aku supaya aku tidak bermain dalam kelas, dengar cakap cikgu dan belajar bersungguh-sungguh.

Andai ada laporan dari cikgu yang mengatakan aku bermain, degil atau tak belajar, memang tak senang duduk kalau kat rumah. Bila di sekolah, terpaksa pendamkan perasaan kenakalan dan keinginan untuk bermain dengan rakan sekelas. 

Murid perempuan kurang 'bunyi' sikit walaupun tak reti nak duduk diam.
Tapi kalau leka sikit, dia punya bunyi...tuuudiaaa

Bila cikgu takde dalam kelas, waktu tu baru la berani nak bangun dari kerusi buat kecoh dalam kelas. Kalau tidak pun terpaksa la menanti waktu rehat atau selepas habis waktu pelajaran. 

Tapi tu masa zaman aku la. Memang tak boleh nak samakan dengan zaman sekarang yang serba serbi mencabar. 

Pernah juga aku bertanyakan pada beberapa murid yang kurang menunjukkan minat untuk belajar ketika di dalam kelas. Kebanyakan mereka akan memberikan jawapan yang hampir sama. Dipaksa oleh ibu bapa untuk ke sekolah.

Bila dalam keadaan macam tu, segala beban terasa terus diletakkan di bahu guru yang mengajar. Dan kebiasaannya, anak-anak yang dipaksa ke sekolah ni la yang sedikit mencabar untuk ditangani. 

Aku suka murid macam ni. Tak jalan sana sini, duduk diam je.
Hehehe..dia ni tak sihat sebenarnya, siap mintak izin nak tidur.

Masalah tak sampai ke sekolah walaupun ibu bapa fikir anak mereka pergi ke sekolah. Masalah tidak memberi tumpuan ketika dalam sesi pembelajaran. Dan berbagai lagi masalah lain yang timbul hanya kerana dipaksa ke sekolah.

Aku tidak pernah menganggap anak-anak murid yang bermasalah tu tidak pandai walaupun keputusan ujian bulanan adakalanya lansung tidak memberansangkan malah ada yang lansung tak ambil kesah untuk diberikan markah 0.

Cuma disitu aku melihat perlunya ada keseimbangan didikan pada anak-anak sebegini samada dari rumah mahupun di sekolah. Ibu bapa walau sesibuk mana pun kehidupan dewasa mereka, perlu juga mendalami setiap jiwa anak-anak mereka. 

Dan sebagai ibu bapa, kita tidak boleh mengharapkan anak-anak kita sendiri akan mengikut jejak langkah kita sepertimana yang kita lalui pada usia mereka. Namun dengan bimbingan dan didikan bermula dari rumah, sesuai dengan keadaan perkembangan zaman pasti apa yang kita harapkan mungkin boleh jadi kenyataan.

Apa pun, untuk sebulan ni aku kena kuatkan mental untuk menghadapi 40 karenah dalam kelas tahun satu tu. Setakat ni baru satu kaedah aku boleh praktikkan untuk menjadikan kelas aman damai. Bagi kerja menulis banyak sikit, tenang je dalam kelas. Hehehe..




15 April 2013

Desa Cattle Farm, Mesilau Kundasang

  8 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada rakan pengunjuung mudah-mudahan kita semua dirahmati dan diberkati ALLAH dalam apa juga yang kita lakukan.

Sewaktu balik ke Sabah pada cuti sekolah yang lepas, sempat jugak kami sekeluarga melawat beberapa tempat menarik yang terletak tak jauh dari Ranau.

Dengan latar belakang Gunung Kinabalu,
kalau cakap kat New Zealand pun mungkin ada yang percaya

Antaranya kami mengadakan lawatan singkat ke Desa Cattle yang terletak di Mesilau, Kundasang. Perjalanan dari Pekan Ranau hanya mengambil masa kurang 30 minit untuk sampai ke destinasi.

Terletak di kaki Gunung Kinabalu melalui pekan Kundasang yang terkenal dengan jualan sayur-sayuran segar. Menyusuri jalan 'roller coaster' dengan suasana dingin angin gunung pastinya menyeronokkan.

Jalan yang berbatu. Nampak awan dah turun tu ?
Waktu ni baru jam 12 tengahari tau.

Sewaktu kami menuju ke Desa Cattle Farm ni, jalan masih belum diturap sepenuhnya. Jadi jangan terkejut kalau terpaksa melalui jalan yang agak kasar tu. Harap-harap di masa akan datang, jalannya dapat diturap sempurna bagi memudahkan pengunjung.

Kami sampai lebih kurang jam 12 tengahari, tapi dingin hembusan angin dari gunung Kinabalu membuatkan kita terlupa dengan suasana tengahari tu sendiri. Bayaran masuk sebanyak RM4 bagi seorang dewasa dan RM3 bagi kanak-kanak atas usia 6 tahun dikenakan bagi setiap pengunjung.

Kawanan lembu yang sedang meragut dan melepak.

Kalau kebiasaannya kat kampung kita jumpa lembu biasa je, tapi kat sini lembunya diimport dari New Zealand dari baka Holstein-Friesian cows yang berwarna hitam putih tu. 

Di sini kita boleh melihat bagaimana pemerahan susu lembu dijalankan, kemudian bagaimana susu segar tu diproses seterusnya menyaksikan sendiri proses pembungkusan susu tersebut. Tapi bukan sepanjang masa tau. Ada masa dan waktu tertentu je. 

Pertama kali seumur hidup memegang kambing.

Selain tu jugak, kita boleh 'berkenalan' dengan anak-anak lembu dan kambing di kawasan kandang secara dekat. Bagi ibu bapa yang nak memperkenalkan lembu dan kambing kepada anak-anak memang sesuai sangat la. 

Sangat rakus menyusu. Tak sampai seminit habis sebotol.

Kita boleh jugak nak merasai pengalaman menyusukan atau menyuap rumput kepada anak-anak lembu dan kambing yang ada kat situ. Sedikit bayaran akan dikenakan bagi yang ingin merasai pengalaman tersebut. 

Kalau nak tahu, Desa Cattle Farm ni pernah juga dijadikan lokasi penggambaran bagi filem, drama dan klip video samada dari syarikat produksi rakaman tempatan mahupun luar negara. Kalau tak percaya, jom layan sikit muzik video dari kumpulan Estranged ni.













13 April 2013

Home Alone

  1 komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat rakan pengunjung mudah-mudahan kita semua dirahmati dan diberkati ALLAH dalam apa juga urusan yang kita lakukan.


Hampir dua minggu sudah aku keseorangan. Tanpa isteri tercinta disisi, tanpa gelak tawa dan keletah anak-anak di depan mata. Kalau sebelum ni rumah aku antara yang terbising dengan suara anak-anak kat kejiranan, sekarang ni senyap sunyi pulak.

Selepas bercuti pulang ke kampung di Ranau Sabah pada cuti sekolah yang lepas, hanya aku seorang je yang balik ke Ipoh. Isteri dan anak-anak tinggal sementara disana memandangkan isteri aku berhajat untuk menjaga bapa mertua aku yang kini terlantar diserang stroke sejak tahun lepas.

Hidup tanpa isteri dan anak-anak ni memang terasa sedikit kekosongan. Aku pulak bukan jenis yang gemar keluar rumah. Selain dari mencari barang keperluan, pergi mengajar atau menyelesaikan beberapa urusan di luar, jangan harap la aku nak keluar rumah.

Mujur juga sekarang ni aku 'disibukkan' dengan melatih anak murid aku untuk majlis ikhtifal sekolah-sekolah KAFA. Serba sedikit dapat juga aku melajukan waktu yang terasa sangat perlahan.

Bila duduk di rumah keseorangan macam ni, lesu jugak dibuatnya. Nak melayan astro, asyik rancangan yang sama je diulangnya. Tapi ada juga baiknya. Sebab takde 'gangguan' dari anak-anak, mudah sikit untuk aku buat kerja-kerja mengemas rumah.

Lagipun aku dah janji pada isteri aku, bila mereka balik semua ke Ipoh nanti rumah pastinya akan kemas dan bersih. Kesian jugak kalau isteri aku balik nanti rumah pulak dalam keadaan bersepah, lepas keletihan menempuh perjalanan panjang dari Sabah ke Perak tambah pulak dengan suasana rumah yang macam kena ribut mau bertambah letih jadinya.

Dan bila tinggal keseorangan ni jugak membuatkan aku jarang ke dapur. Nak memasak untuk makan sendiri ? Hanya menu yang paling ringkas je jadi pilihan. Itu pun tengok tahap kerajinan, kalau tidak makan roti je. Nampak gaya, ada peluang untuk turunkan berat badan kalau macam ni.




04 April 2013

Sedap sangat ke ?

  10 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua rakan-rakan pengunjung yang dihormati mudah-mudahan kita semua diberkati dan dirahmati ALLAH.

Parlimen sudah dibubarkan. Sana sini sudah semakin rancak memperkatakan tentang mengundi. Dimana saja penuh dengan kibaran bendera parti politik. Tak lama lagi bakal penuh dengan poster-poster dan kain rentang pulak.

Minggu lalu sempena cuti persekolahan, aku dan keluarga pulang bercuti ke Sabah. Hingga ke penghujung cuti sekolah, banyak jugak perancangan yang tak dapat nak dilaksanakan.

Sayap ayam di Pasar Pelipin @Kota Kinabalu

Antara perancangan yang berjaya disempurnakan ialah menikmati sayap ayam panggang original dari Sabah ketika pulang ke Ranau minggu lepas. Ala, takkan sayap ayam panggang pun nak bercerita ?

Bagi yang mungkin belum pernah menjejakkan kaki ke negeri di bawah bayu ni, bila pertama kali datang ke sana pasti akan dapat melihatkan populariti sayap ayam ni walau dimana saja.

Di semenanjung mungkin kita boleh menemui kepelbagaian bahagian ayam yang dibakar atau dipanggang. Tapi simpankan saja hasrat untuk mencari ayam percik bila berada di Sabah. Bukan takde, cuma sedikit sukar untuk ditemui.

@pasar tamu Pekan Ranau, Sabah

Rata-rata kebanyakannya adalah sayap ayam yang dipanggang. Kalau nampak berasap dari jauh tu, pastinya ada orang menjual sayap ayam panggang. Sedap sangat ke ?

Aku sendiri sukar untuk mengatakan tahap keenakan ataupun perbezaan antara sayap ayam panggang yang dijual di Sabah dengan sayap ayam ditempat lain.

Mungkin ianya adalah kerana ditempat atau negeri lain tidak ada kemeriahan pengeluaran dan penjualan sayap ayam panggang secara besar-besaran seperti di Sabah barangkali. 

Sama macam keropok lekor yang dihasilkan di negeri Terenggang tidak mungkin sama enaknya dengan keropok lekor yang dihasilkan di negeri Kedah. Ikan patin masak tempoyak di negeri Pahang belum tentu dapat dihasilkan sama keenakannya di negeri Sarawak.

Senang cerita, sayap ayam panggang di negeri Sabah ni ada keunikannya tersendiri la. Mungkin disebabkan bahan-bahan yang digunakan tidak sama dengan apa yang ada di negeri lain.

Apa pun, sayap ayam panggang Sabah memang terbaik. Sayap ayam aje ke ? Tak la, 'buntut' ayam panggang pun popular jugak. 





03 April 2013

02 April 2013

Pemanas jari

  5 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua rakan rakan yang dihormati mudah mudahan kita semua mendapat keberkatan dan dirahmati ALLAH.

Hampir dua minggu tidak bersiaran dan tiada entri dimuatnaik. Sebelum bermula cuti sekolah tempoh hari, aku sedikit sibuk menyiapkan kertas soalan ujian untuk anak-anak murid kelas aku tu.


Bersambung pulak dengan percutian balik ke kampung halaman sempena cuti sekolah baru-baru ni. 25 Mac lepas kami sekeluarga terbang pulang ke Sabah. Dan sepanjang disana memang aku tak melayari internet lansung.

Entri ini pun cuma pemanas jari je dulu sebelum kembali aktif bersiaran. Penat badan selepas menempuh perjalanan pulang ke Ipoh dari Sabah. Tiada kisah tentang pencerobohan pengganas yang akan aku kongsikan. 

Badan pun dah lesu, mata pun dah berat. Petang nanti nak kembali memulakan tugas. Pinggang pun ada rasa macam nak meletup pulak. Tunggukan je perkongsian perjalanan percutian kami ke Sabah dalam entri akan datang.