25 July 2013

Al-Quran : Kawan atau Lawan

  9 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. ALLAH Taala berfirman di dalam Al-Quran pada ayat 185 surah Al-Baqarah yang bermaksud, "Bulan Ramadan itu yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk dan pembeza (antara kebenaran dan kesesatan).."

Alhamdulillah bersyukur kita kepada ALLAH kerana masih diberikan lagi peluang untuk meneruskan amal ibadah di bulan Ramadan tahun ini dan masih berpeluang untuk memperingati hari permulaan penurunan Al-Quran atau yang biasanya kita sebut sebagai hari Nuzul Al-Quran.


Al-Quran dan puasa Ramadan ini sebenarnya saling berhubung kait antara satu sama lain. Kelebihan keduanya disisi ALLAH amat besar dimana di akhirat kelak ibadah puasa yang kita lakukan dengan tawaduk sewaktu di dunia akan menjadi pembela ketika kita dihisab.

Begitu juga dengan Al-Quran yang kita amalkan dengan sebenar-benarnya. Kelak ianya akan memberikan syafaatnya kepada kita. Dan boleh jadi juga ianya akan datang kepada kita di hari kiamat kelak sebagai pendakwa yang meletakkan kita diambang neraka. Kitalah yang bakal menentukan Al-Quran yang kita amalkan di dunia ini kelak menjadi kawan atau lawan.

Bagaimanakah boleh menjadi sebegitu ? Sudah terang lagi bersuluh, saksikanlah pada ayat 2 surah Al-Baqarah dimana ALLAH memperjelaskan kepada kita tentang Al-Quran ini, "Inilah sebuah kitab (Al-Quran) yang tiada keraguan padanya, menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa".

Di bulan Ramadan ni kita rajin membaca Al-Quran. Malah ada yang mampu khatam berkali-kali sepanjang Ramadan ni. Di bulan lain pula kita bangga dengan kelahiran bakat-bakat qori dan qoriah yang mengalunkan bacaan dengan begitu lunak merdu.

Itu belum dikira dengan tertubuhnya pusat-pusat tahfiz di seluruh negara yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Tak termasuk pusat-pusat iqra dan sebagainya. Tambah pulak dengan Quran berteknologi tinggi.

Namun, apakah Al-Quran itu hanya cukup kita lagukan ? Apakah Al-Quran itu hanya cukup kita lancarkan bacaannya ? Atau apakah Al-Quran itu hanya cukup kita hafal setiap ayatnya ?


Al-Quran bukan hanya untuk dibaca, dilagukan atau dihafal ayat-ayatnya. Akan tetapi Al-Quran itu hendaklah diselami isi kandungannya, difahami ayat-ayatnya dan disalutkan dalam kehidupan kita di dunia ini.

Berapa ramai antara kita yang mengaku beriman dengan Al-Quran akan tetapi segalanya dusta belaka. Beriman kepada sebahagiannya dan kufur ingkar terhadap sebahagian yang lain.

Di bulan Ramadan ini contohnya, sanggup menahan lapar dan dahaga kerana menjalankan perintah puasa yang terkandung di dalam Al-Quran tapi auratnya tetap terdedah, solatnya entah ke mana, batasan sosialnya lansung tidak terjaga.

Jangan kita bangga mampu mengkhatamkan bacaan Al-Quran berkali-kali di bulan Ramadan ini namun tiada sepatah ayat pun dari yang kita baca itu mampu menjadikan kita orang bertaqwa disisi ALLAH.

Sempena hari Nuzul Quran dimana negara kita mengisytiharkan cuti, marilah kita mengambil peluang cuti itu dengan memperbanyakkan mendalami isi kandungan Al-Quran.

Andai hari sambutan merdeka kita memperingati sejarah kemerdekaan, hari sambutan kekasih kita sanggup bersama kekasih sepanjang hari, hari sambutan guru kita menghargai jasa-jasa guru, tak salah rasanya kalau kita memperhebatkan hubungan kita dengan Al-Quran dihari peringatan penurunan pertama Al-Quran kepada kita manusia sebagai satu kurniaan terhebat dari ALLAH untuk kita semua.

Mudah-mudahan perkongsian ini bermanfaat untuk kita semua. Andai ada kekurangan dan kesilapan mohon ditegur agar sebarang kekhilafan dapat diperbaiki. 






23 July 2013

5 perkara meraih syurga

  7 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulillah kita sudah selesai melalui fasa 10 yang pertama dalam bulan Ramadan dan kini menempuh fasa 10 yang kedua pula.

Dalam kita sibuk beribadah dan meningkatkan amal, sekali sekala tanyakan pada diri sendiri adakah mampu kita beristiqamah selepas tamat bulan Ramadan nanti ?

Entri kali ini mari kita muhasabah bersama, memperingati diri kita dan ahli keluarga kita agar terus bertaqwa kepada ALLAH dengan sebenar benar taqwa.


Apakah itu lima perkara yang perlu kita ada untuk meraih syurga ALLAH ? 

Perkara pertama ialah ISLAM. Islam yang bukan hanya pada nama akan tetapi Islam yang benar-benar dipraktikkan dalam kehidupan. Menurut segala suruhan dan perintah ALLAH dan meninggalkan segala larangan-NYA.

Perkara kedua pula ialah IMAN. Bukan pula iman hanya kepada sebahagian perkara dan meninggalkan sebahagian yang lain. Misalnya seperti di bulan Ramadan ini, berhabisan melaksanakan ibadah puasa menahan lapar dan dahaga akan tetapi soal aurat tidak dipeduli, soal ibadah solat tidak dipeduli.

Perkara ketiga ialah ILMU. Rasulullah SAW memerintahkan kita umat baginda melalui sabdanya yang bermaksud, "Tuntutlah ilmu sejak dari buaian hingga ke liang lahad". Tanpa ilmu, apalah gunanya segala ibadah yang kita laksanakan.


Perkara keempat ialah AMAL. Seandainya kita sudah memiliki ilmu, tiada gunanya ilmu separuh dunia sekiranya kita tidak beramal dengan apa yang kita perolehi itu. Dan tiadalah maknanya ilmu yang kita ada andai ilmu itu tidak membuatkan kita mampu beramal baik dengannya.

Perkara kelima ialah IKHLAS. Ikhlas dalam apa sahaja yang kita lakukan terutamanya dalam beribadah. Dan ikhlas dalam beribadah itu ialah bila dia melakukan ibadah tak kira apa ibadah sekalipun, tiada sesiapa pun mengetahuinya. 

InsyaALLAH andai berkesempatan dalam entri lain akan dikupaskan pula satu persatu berkenaan lima perkara ini. Mudah mudahan perkongsian ini memberi manfaat kepada semua. 





19 July 2013

Sedekah orang kedekut

  10 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Umumnya kita semua maklum bulan Ramadan ini sebagai penghulu segala bulan. Didalamnya penuh dengan keberkatan. 

Salah satu amalan yang selalu dipertingkatkan di bulan Ramadan ini tidak lain tidak bukan amalan bersedekah. Siapa yang tidak mahu kalau dijanjikan dengan pahala berganda.


Namun yang penting perlu kita peringati diri, nilai pemberian sedekah kita itu. Keikhlasan hati ketika memberi itu sudah semestinya menjadi perkara utama dalam amalan bersedekah.

Cuma apakah yang kita sedekahkan itu ? 

Antara kesilapan kita dalam bersedekah ialah memberi apa yang sudah tidak diperlukan. Memberi apa yang terlebih. Memberi apa yang dirasakan tidak merugikan.

Sedekah ini adalah salah satu bentuk pengorbanan. Andai kita imbas kembali kisah antara Qabil dan Habil ketika mana diminta untuk mempersembahkan pemberian mereka, ternyata apa yang paling terbaik dari apa yang dimiliki itulah menjadi pilihan.

Bukannya pakaian yang sudah kita puas pakai atau yang sudah tidak diingini lagi lantas untuk mengosongkan almari pakaian bagi memuatkan pakaian yang baru maka kita sedekahkan pakaian buruk kita itu (walau hakikatnya kelihatan baru).

Bukannya lebihan makanan yang kita terlebih beli dan takut terbazir lalu diberikan kepada jiran tetangga atau mereka yang kelihatan tidak mampu menikmati juadah makanan yang kita ada itu.

Begitu juga bagaimana kita merungut kecilnya nilai RM100 (sebagai contoh) setiap kali mengunjungi bazar Ramadan dan betapa bernilainya RM1 (sebagai contoh) apabila hendak dimasukkan ke tabung masjid.

Mudah-mudahan kita tidak tergolong dalam golongan orang yang kedekut. Memang tidak menjadi kesalahan menyedekahkan pakaian lama, perkakasan lama, makanan lebih atau apa sahaja yang sudah tidak diperlukan.

Perkongsian ini tidak terhenti disini sahaja. Akan datang insyaALLAH kita fikir-fikirkan bersama solusi untuk tidak menjadi orang yang membazir.






17 July 2013

15 July 2013

Ambil kesempatan bulan Ramadan

  6 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Sedar tak sedar dah seminggu kita melalui bulan Ramadan. Mudah mudahan setiap amalan kita di bulan yang penuh dengan keberkatan ni diterima ALLAH. 


Imbas kembali sehari sebelum kita melangkah masuk bulan Ramadan. Apakah niat asal kita dengan berpuasa ? Mungkin ada yang mengambil kesempatan untuk menurunkan berat badan.

Mungkin ada juga yang mengambil kesempatan di bulan Ramadan ni kononnya untuk berhenti merokok. Mungkin ada juga yang cuba mengambil kesempatan menjimatkan belanja di bulan Ramadan dengan berbuka di masjid atau surau.


Walau apa pun niat dan kesempatan yang diambil, jangan kita lupa tujuan asal kita berpuasa ni adalah untuk menjadikan diri kita sebagai umat yang bertaqwa di sisi ALLAH.



11 July 2013

10 kesalahan paling hit ketika Ramadan

  10 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulillah Ramadan kembali lagi. Bulan yang penuh dengan keberkatan, menjadi rebutan para abid untuk mempertingkatkan amalan mendambakan rahmat dari ALLAH.

Kita semua juga tak ketinggalan untuk meraih segala kelebihan yang ALLAH janjikan buat hamba-hamba-NYA yang taat mempertingkatkan ibadah dibulan yang penuh keberkatan ni.


Entri kali ni, jom kita cuba tengok sikit antara 10 kesalahan paling hit ketika Ramadan semoga menjadi pengajaran dan peringatan mudah-mudahan ibadah puasa kita kali ini lebih baik dari yang lepas.

1) TIDAK SAHUR

Puasa orang Yahudi dan orang Islam sama sahaja, kecuali puasa orang Islam ni ada sahur. Oleh tu bersahurlah walaupun dengan segelas air kosong.
Daripada Amru bin al-Aas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Perbezaan diantara puasa umat Islam dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) itu ialah dengan makan sahur.

2) SAHUR TERLALU AWAL

Makan berlebihan lewat malam lepas tu tidur lalu bangun selepas azan subuh (dan mungkin terlepas waktu subuh). Itu bukan sahur namanya, itu makan supper. 

3) TERLEBIH TIDUR


Tidur berlebihan merugikan masa dan menyebabkan badan dan otak menjadi lemah. Memang tidur boleh diniatkan sebagai ibadah, tapi kalau over sangat itu adalah bedebah. 

4) BERBUKA SECARA BUFET SAMPAI BUNCIT

Setiap kali bulan Ramadan, kebanyakan restoran menyajikan hidangan bufet untuk berbuka. Masalahnya bila makan tak ingat dan ada jugak yang sambung makan lepas solat maghrib sampai la lewat malam. Tarawih pun tuang !

5) MEMBAZAR HINGGA MEMBAZIR

Bila tiba bulan Ramadan,mata pun ikut lapar. Setiap jenis juadah yang ada kat bazar Ramadan tu kalau boleh nak diborong. Bila masuk waktu berbuka, makan tak habis pulak sampai terbuang lebihan makanan yang dibeli.

6) SOLAT TARAWIH TAPI TAK QIAMULLAIL 

Rasulullah SAW setiap malam berusaha untuk mencari lailatulqadar dengan mempertingkatkan amalan lebih dari biasa. Kita pulak baru layan 8 rakaat dan tak sanggup nak bangun malam.

7) PUASA TAPI TAK SOLAT


Puasa punya la rajin. Taat bangun sahur, pegi solat sunat tarawih tapi punya la liat nak kerjakan solat fardu. Ingat tau, pahala puasa tu 'pending' sebab tak solat.

8) SIBUK BERIBADAH, LUPA CARI ILMU

Bulan Ramadan juga adalah bulan ilmu. Semua ibadah yang kita lakukan takde gunanya tanpa adanya ilmu. Ada jugak yang lari bila tazkirah nak mula lepas solat tarawih tu.

9) GAGAL UPGRADE IMAN SELEPAS LALUI RAMADAN

Apabila kita melalui Ramadan, ibarat kita mengharungi sungai yang jernih dan segar airnya. Tapi tiada maknanya andai kotoran di badan sengaja tidak dibersihkan.

10) SAMBUT SYAWAL MENGALAHKAN RAMADAN

Bulan Ramadan yang dimuliakan ALLAH, bukan Syawal. Syaitan dibelenggu pada bulan Ramadan, seharusnya kita gembira. Bukan bergembira bila syaitan dibebaskan pada 1 Syawal tu. 

Semoga Ramadan kita kali ni lebih bermakna dari yang lepas-lepas. Selamat menunaikan ibadah Ramadan dengan jayanya.





10 July 2013

07 July 2013

2 maut pesawat AA terhempas

  7 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Industri penerbangan dikejutkan sekali lagi dengan insiden kemalangan kapal terbang sehingga melibatkan kematian yang berlaku semalam.

Pesawat AA yang aku maksudkan kat tajuk entri tu bukan la pesawat AirAsia tapi pesawat milik Asiana Airlines yang dulu dikenali sebagai Seoul Airlines  berpengkalan di Korea Selatan. 


Pesawat jenis boeing 777 yang dikatakan membawa 307 penumpang termasuk krew penerbangan telah jatuh terhempas dilandasan lapangan terbang antarabangsa San Francisco ketika pendaratan.

Menurut saksi penumpang penerbangan AA 214 yang terselamat, pesawat berada dalam keadaan terlalu rendah ketika prosedur pendaratan dan tanpa sebarang amaran secara tiba-tiba hentakan kuat menyebabkan ekor pesawat patah dan mengakibatkan pesawat menggelongsor dilandasan hingga menyebabkannya terbakar.

Hanya dua kematian dan 182 penumpang mengalami kecederaan manakala selebihnya berada dalam keadaan selamat. Ketika kejadian, juruterbang yang mengendalikan pesawat adalah seorang juruterbang veteran AA yang telah berkhidmat sejak dari tahun 1996.


Bagi yang tak pernah menaiki pesawat, mungkin bila mendengar insiden macam ni membuatkan kita rasa tak nak naik kapal terbang. Bagi yang selalu naik kapal terbang pulak, mesti risau dengan insiden macam ni.

Memang tak dinafikan, perkhidmatan penerbangan antara industri pengangkutan yang paling selamat di dunia. Dengan kecanggihan teknologi yang ada pada pesawat, individu yang terlatih dan bertauliah untuk mengendalikan pesawat pastinya membuatkan industri penerbangan ni selamat untuk semua.

Sepertimana pesawat Asiana Airlines penerbangan 214 yang menggunakan pesawat jenis boeing 777 yang dilengkapi teknologi 'fly-by-wire' pastinya sukar untuk mengalami sebarang kegagalan dalam operasi.


Tambahan pula dengan pengalaman juruterbangnya yang memiliki pengalaman mengendalikan pesawat  selama 17 tahun, kemalangan yang menimpa pesawat Asiana Airlines penerbangan 214 ni memang agak mengejutkan semua pihak.

Dan sungguh tak dinafikan, situasi paling mendebarkan dan lebih risikonya adalah ketika pesawat hendak berlepas dan pastinya ketika melakukan pendaratan. 

Apa pun, setiap apa yang berlaku tu telah ditetapkan oleh ALLAH. Walau secanggih macam mana pun ciptaan manusia, tetap ada cacat celanya. Walau se'otai' mana pun manusia tu, tetap ada khilafnya.

Sedangkan berjalan kaki pun boleh terpeleot apatah pulak kalau bawak kenderaan yang seberat ratusan ribu kilogram. Sama-sama la kita berdoa memohon kepada ALLAH semoga diri kita dan keluarga kita sentiasa dipelihara dari sebarang malapetaka.





06 July 2013

Metallica berkonsert di Malaysia ?

  1 komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Suasana Ramadhan semakin terasa bila khemah-khemah bazar Ramadhan sudah mula dinaikkan. Apa pun tetapkan niat kita dalam menghadapi Ramadhan ni untuk mendapatkan keredhaan dan rahmat dari ALLAH, bukan sebab nak menikmati juadah berbuka yang berbagai tu pulak.

Berbalik pada tajuk entri kali ni, mungkin ramai sudah mat-mat rock yang dah mengetahui berita kehadiran 'otai' metal ni ke negara kita pada bulan Ogos nanti.


Aku mula mengikuti perkembangan band Metallica ni dah lama jugak. Sejak dari bangku sekolah sampai la sekarang ni. Taksub sangat tu tak la cuma meminati muzik je.

Selain Malaysia, band Metallica ni jugak akan mengadakan Tour Asia dimana negara Singapura dan Indonesia juga akan menjadi tuan rumah konsert diorang ni. 

Aku pasti peminat susah mati band Metallica ni takkan melepaskan peluang untuk meramaikan penonton kat Stadium Merdeka pada 21 Ogos nanti. Cuma ingatan tulus ikhlas dari aku, metal tu metal jugak, kewajipan sebagai umat Islam jangan diketepikan pulak.




04 July 2013

Lawatan trimester pertama

  10 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bermula hari ni tadi aku dan isteri bersama dengan anak-anak akan menjadi pengunjung setia Klinik Ibu dan Anak. Sampaikan kakitangan klinik pun dah kenal.

Alhamdulillah isteri aku sekarang ni hamil anak ketiga dah masuk 12 minggu. Kiranya murah rezeki, bulan Januari tahun 2014 keluarga kami bakal bertambah ahlinya.


Macam kebiasaan, pendaftaran buku merah adalah satu kemestian bagi setiap ibu mengandung. Lepas tu ibu mengandung akan melalui beberapa siri dan tahap ujian. 

Isteri aku tadi setelah dijalankan pemeriksaan dan imbasan, alhamdulillah semuanya berada dalam keadaan baik. Sebabnya risau jugak kalau tak sesuai pulak waktunya berikutan isteri aku dah melalui dua siri kelahiran secara pembedahan.

Tapi kita ni merancang macam mana pun, perancangan ALLAH tu kan lebih hebat. Memang tak dirancang pun untuk isteri aku hamil dalam masa terdekat ni. Anak yang kedua pun masih lagi menyusu badan.


Dan kebiasaan setiap kali lawatan ke Klinik Ibu dan Anak ni, mesti dipenuhi dengan ibu-ibu mengandung dan ibu-ibu yang membawa anak-anak untuk pemeriksaan. Tapi hari ni agak kurang sikit.

Sejak dari isteri aku hamil anak pertama, aku tak pernah lagi 'miss' untuk temankan isteri aku dari mula sampai klinik sampai la abis pemeriksaan. Kalau ada pun cuma beberapa kali tu pun sebab ada urusan.

Anak-anak pun dah lali dengan suasana menunggu lama di Klinik Ibu dan Anak  ni. Kadang-kadang siap berlari dan bermain dengan kawan-kawan baru. 


Bila nampak ada ibu-ibu mengandung yang cuma dihantar, kesian jugak. Lagi kesian kalau yang terpaksa mengusung anak-anak lain dengan perut yang membusung.

Apalah salahnya luangkan masa temankan isteri kat Klinik tu. Kalau selalu tu boleh kita luangkan masa mengeteh dengan rakan-rakan melebihi masa rehat pagi dengan alasan tak banyak kerja di pejabat, kan lebih membahagiakan kalau menemani isteri. 

Walaupun memang aku akui agak menduga dan mencabar bila terpaksa menunggu lama tapi bila fikir-fikir bukan setiap hari nak kena menghadapi situasi yang sama, sekurang-kurangnya pengalaman hari tu tak mungkin dapat nak dilalui pada hari yang lain.



03 July 2013

01 July 2013

Ubahsuai

  3 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua rakan-rakan pengunjung blog yang dikasihi mudah-mudahan kita semua diberkati dan dirahmati ALLAH.


Sudah lama tidak bersiaran membuatkan blog bagaikan tidak berpenghuni. Buat masa sekarang, blog ni sedang menjalani sedikit kerja pengubahsuaian. Selain dari bertukar wajah, penyusunan semula pautan entri masih dalam pembikinan.

Untuk itu aku memohon maaf andainya rakan pengunjung mengalami kesukaran dan kesulitan selama kerja pengubahsuaian ini berlansung.