22 November 2013

Remaja dan keterujaan

  7 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Setiap makhluk terutamanya yang bergelar manusia semuanya pernah melalui satu fasa yang penuh dengan keterujaan dalam mencari kehidupan.

Siapa yang tidak pernah mengharungi zaman remaja ? Pastinya setiap pengalaman kita dalam melalui fasa remaja ni berbeza-beza. Dengan peredaran kemajuan zaman dan pendedahan sosial terhadap golongan remaja dah semestinya menjadi cabaran bagi setiap yang melaluinya.


Begitu banyak sekali kisah dan cerita yang sentiasa kita dengar tentang remaja baik yang positif mahupun yang negatif. Susah kita nak sangkal bahawa peringkat remaja ni memang penuh dengan cabaran dan dugaan.

Kita bincangkan mengenai perkara yang negatif. Remaja yang terlibat dengan kegiatan lumba haram. Remaja yang terlibat dengan gejala dadah. Remaja yang bermasalah dan berbagai lagi yang mungkin tak tercapai dek akal kita.

Zaman remaja ni memang waktu yang sangat mengujakan. Bak kata orang, baru nak kenal dunia. Kalau boleh semua perkara nak dicubanya. Pantang menerima cabaran. Waktu dimana masing-masing hendak menonjolkan kehebatan dan keegoan.

Tambah pulak dengan pengaruh rakan sebaya. Pengaruh media sosial, media cetak dan media-media lain seperti filem dan sebagainya. Itu semua menjadi pencetus keterujaan juga sekiranya tidak dibendung melalui akal fikiran yang waras.

Seperti yang kecoh baru-baru ni mengenai remaja yang dikatakan hilang di Villa Nabila. Kononnya kegiatan sekumpulan remeja tersebut adalah kerana pengaruh filem yang ditayangkan. Keterujaan mereka itu hingga mencetuskan satu situasi panik yang melibatkan banyak pihak.

Rupa-rupanya remaja yang dilaporkan hilang itu sedang berseronok melepak bersama rakan dilokasi lain. Di mana ahli keluarganya ? Apakah jenis kebebasan yang diterapkan dalam institusi keluarga tersebut ? 


Tidak hanya remaja yang terlibat dalam kes Villa Nabila tu, malah remaja-remaja lain yang sering kita perhatikan berpeleseran bersama rakan sebaya seakan tiada rumah. Apakah fungsi ibubapa zaman sekarang hanya berkerja mencari duit untuk diberikan kepada anak-anak tanpa perlu mengambil tahu perkembangan anak-anak tersebut ?

Sebagai ibubapa dan orang dewasa, kita perlu membuka mata dan minda melihatkan realiti yang berlaku disekeliling kita. Jangan kita biarkan para remaja kita hebat dari segi kuantiti tetapi sangat mengecewakan kualitinya.

Buat remaja-remaja pula, jangan biarkan diri hanyut dengan keterujaan dunia. Ingat selalu bahawa fasa kehidupan kita di dunia ni hanya sekali je kita lalui. Belum terlewat untuk memperbaiki kesilapan diri selagi masih berdaya dan bernyawa.





21 November 2013

Piagam Pelanggan

  8 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semalam baru 34 minggu usia kehamilan isteri aku. Kami ke unit O&G Hospital Raja Perempuan Bainun untuk rujukan doktor pakar (sepatutnya).

Ini adalah kehamilan anak ketiga buat isteri aku. Sebelum ni ketika melakukan imbasan di klinik, plasenta berada di bawah jadi sebab tu perlu dirujuk kepada pakar O&G. 

Kami sampai di unit O&G Hospital Raja Perempuan Bainun lebih kurang jam 9 pagi. Waktu tu memang dah ramai ibu-ibu mengandung yang menunggu giliran. Situasi yang biasa walau dimana-mana unit ibu dan anak.


Selesai pendaftaran, melakukan ujian air kencing, pemeriksaan BMI dan tekanan darah, masa menunggu pun bermula. Bukan 30 minit. Bukan 60 minit. Tapi hampir 180 minit yang bersamaan 3 jam.

Aku faham, memang ramai pelanggan yang sama menunggu. Kasihan jugak aku melihatkan ibu-ibu mengandung yang terpaksa menunggu lama giliran untuk dipanggil.

Ada yang sampai terlena waktu duduk menunggu di kerusi hadapan pintu bilik doktor. Ada yang sekejap berdiri, sekejap duduk mungkin berasa tidak selesa. Tak terkecuali isteri aku sendiri yang entah berapa kali bertukar tempat duduk.

Hinggalah ruang menunggu hampir kosong ketika jam menunjukkan pukul 1 petang barulah isteri aku dipanggil masuk. Aku pulak terpaksa melayan karenah dua anak yang ikut sama menunggu di luar.

Menurut isteri aku, doktor yang mengendalikannya itu seakan hendak menghabiskan sesi dengan cepat. Tanpa penerangan yang lanjut terutama mengenai kes seperti isteri aku yang sebelum ini melahirkan melalui dua pembedahan caesarean.


Kami sedia maklum antara risiko selepas dua kali caesarean adalah terpaksa mengikat saluran peranakan atau biasanya dalam istilah kedoktoran dipanggil BTL. 

Malah ketika awal kehamilan yang ketiga ni pun kami banyak melakukan rujukan dari penulisan dan kajian pengamal perubatan dan respon orang awam sebagai persediaan mental dan ilmiah.

Isteri aku mulanya membantah untuk menandatangani satu surat yang diberikan manakala doktor berkenaan hanya menyebut istilah-istilah ringkas yang agak mengelirukan.

Sampailah satu ketika menurut isteri aku, doktor berkenaan diam seketika dan kemudiannya berkata, "Puan, saya nak balik ni". Dengan nada seakan malas nak melayan kekeliruan isteri aku tu.

Tahniah kepada Dr. Tamil Aresi A/P Balasandran, MMC No : 53296 Pegawai Perubatan Siswazah HRPB, Ipoh kerana aku tak berada disitu waktu ucapan itu diluahkan.

Sangat tidak beradab dan tidak profesional. Apakah wajar perkataan sebegitu keluar dari seorang doktor ? Ingat dia je yang lapar nak pegi berehat makan tengahari ? 

Kalau orang yang tak mengerti apa-apa pastinya akan mendatangkan kekeliruan. Kebetulan sebelum isteri aku diberikan taklimat dari doktor tersebut, seorang pesakit (ibu mengandung) sempat mencuri dengar 'perdebatan' antara isteri aku dengan doktor tersebut.

Rupanya pesakit tersebut tidak begitu memahami situasi yang akan dihadapinya kerana doktor tu tak memperjelaskan dengan mendalam kerana hendak cepat rehat.

Aku faham memang kebanyakan doktor dan jururawat bersikap sinikal terutama seperti kes macam isteri aku yang hamil semula dalam tempoh kurang dua tahun selepas kelahiran caesarean tapi siapakah mereka dalam menentukan qada dan qadar dari ALLAH ?

Buat pegawai-pegawai kerajaan tak kiralah dari jabatan mana pun. Kerjalah dengan penuh rasa tanggungjawab dan amanah mengikut piagam pelanggan yang ditetapkan tu. Kami rakyat biasa ni yang 'memberikan kerja' kepada anda semua. Tanpa kerja dah tentu tiada sumber pendapatan. Betul tak ?





16 November 2013

Sita punya pasal

  11 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pada 4 November yang lepas, brader Boni ada mengulas ringkas pasal restoran antara yang terbaik di Ipoh dalam entri yang INI.

Sehari dua ni pulak agak kecoh di laman sosial internet pasal restoran dan restoran yang diulas oleh brader Boni juga terkena sedikit tempiasnya.


Ketika musim hujan di bandaraya Ipoh sedang berleluasa, kekecohan tercetus apabila pihak kementerian kesihatan bahagian penguatkuasaan kebersihan makanan menyerbu beberapa premis menjual makanan dan ada diantaranya diarahkan tutup serta merta kerana tidak menepati piawaian kebersihan yang ditetapkan.

Apa yang menjadi khabar terlampau apabila ada yang mendakwa penemuan najis manusia yang kononnya untuk digunakan bagi menambahkan keenakan masakan.

Dan yang lebih melampau-lampau bila ada juga komentar-komentar yang melibatkan parti politik dalam kekecohan yang berlaku baru-baru ni.

Sebagai pengguna, kita perlu tahu serba sedikit dengan apa yang dimaksudkan dengan arahan tutup serta merta oleh pegawai kesihatan apabila mereka datang memeriksa premis.

Bagi pengendali makanan samada kecil-kecilan atau yang berskala besar, memang terdapat beberapa peraturan yang perlu dipatuhi terutamanya berkaitan dengan kebersihan.

Jangankan premis pengendali makanan, dapur rumah kita sendiri pun belum tentu lulus pemeriksaan kalau pegawai kesihatan tu datang memeriksa. 


Lantai perlu sentiasa kering. Pengendali makanan perlu ada pengesahan kesihatan. Suhu penyimpanan sejuk beku perlu selaras dengan apa yang ditetapkan. Tong sampah perlu sentiasa bertutup. Dan bermacam-macam lagi peraturan yang perlu dipatuhi apabila mengendalikan premis makanan.

Bagi premis mengendali makanan yang cukup pekerjanya disetiap bahagian mungkin boleh mematuhi peraturan yang ditetapkan sepanjang masa. Tapi bagi premis yang agak sibuk dan sentiasa dalam mod operasi, memang agak sukar untuk mengikuti setiap peraturan yang ditetapkan tu.

Dan kebiasaan pemeriksaan kebersihan oleh pegawai kesihatan ni diadakan secara mengejut. Dalam kesibukan beroperasi mengendalikan premis tu kadang-kadang mana la sempat nak mengikuti peraturan yang ditetapkan tu.

Kita sendiri yang memasak didapur rumah pun selagi belum selesai siap memasak kadang-kadang tu bersepah juga dapur ye tak ?

Kesimpulannya jangan la kita cepat sangat melatah bila berlaku kekecohan sebegini. Pandai-pandai pulak kita nak menuding jari ke sana sini. 

Memang tak dinafikan ada juga premis atau pengendali makanan yang tak menjaga kebersihan. Kita sebagai pengguna perlu la bijak untuk memilih. Tak salah kalau kita singgah mana-mana premis makanan, kita jenguk-jenguk sikit dapur mereka.

Andai kita rasa kebersihannya diragui, sebagai pelanggan atau pengguna yang sentiasa betul, tak salah kita menegur tuan pemilik premis sekadar untuk mengingatkan mereka kepentingan memelihara kebersihan dalam penyediaan makanan.

Kalau kita dimarahi kerana menegur, kita ada hak untuk memboikot premis tersebut. Cuma kita ni masalahnya asalkan enak dan sedap, goreng mee dalam tandas pun tak kesah.





15 November 2013

Apa ada pada nama

  13 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Tak lama lagi ni dah nak cuti sekolah. Kenduri walimah pun berderet-deret. Bonus bagi jurunikah sebab penuh saku sepanjang cuti sekolah nanti.

Tak terkecuali jugak pusat-pusat atau dewan bersalin. Pastinya penuh dengan giliran menunggu termasuk la isteri aku yang insyaALLAH bakal melahirkan anak kami yang ketiga bulan hadapan.


Antara dilema yang melanda ibubapa atau bakal ibubapa bila nak menyambut kelahiran ni antaranya nak memilih nama untuk anak yang baru lahir.

Dengan kecanggihan teknoloji dan peredaran zaman sekarang ni, nama-nama pilihan bukan lagi macam zaman dulu. Zaman sekarang susah nak jumpa orang bagi anak nama Rosmah atau Najib atau Anuar ataupun Azizah. 

Semuanya nak nama yang kedengaran moden dan canggih. Mungkin malu kalau nak namakan anak itu Ramli atau Zaiton. 

Apa yang penting sebagai ibubapa ialah memilih nama yang baik-baik untuk anak yang lahir itu. Baik tu bukan sahaja baik pada sebutan dan pendengaran malah perlu baik dari segi maksud dan makna nama itu sendiri.


Kadang-kadang kita nak anak kita namanya kedengaran canggih dan moden tapi malangnya nama itu tiada membawa apa-apa maksud dan makna yang elok sedangkan nama itu juga bersangkut paut dengan personaliti dan jiwa pembawa nama tersebut.

Sedangkan syarikat, pakaian, kenderaan, barangan keperluan, barangan perkakasan dan berbagai lagi memiliki nama khas yang menunjukkan ciri-ciri dan peribadi yang tersendiri inikan pula kita nak menamakan anak-anak yang sejak kelahiran hinggalah ke akhirat mereka akan membawa nama yang diberikan itu.

Bagi ibubapa dan bakal ibubapa yang akan menyambut kelahiran zuriat yang dinanti-nantikan tu, buatlah pilihan nama yang bijak. Apa yang penting, nama yang kita berikan itu indah disisi ALLAH. 



06 November 2013

Terminal Amanjaya

  12 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Salam awal muharam buat semua rakan-rakan pengunjung yang beragama Islam. Mudah-mudahan kita dapat mengambil iktibar dari sejarah perpindahan Rasulullah dan umat Islam pada awal perkembangan Islam dahulu.

"Semua diarah pindah", macam tu la lebih kurang salah satu tajuk berita akhbar Sinar Harian edisi Perak. Bagi rakyat Malaysia yang menetap di negeri Perak, sedikit sebanyak isu berkenaan negeri pastinya menjadi tarikan untuk difikirkan oleh minda.


Mungkin ramai yang sudah sedia maklum berkenaan isu pindah ni. Tentang pengusaha-pengusaha bas ekspress terutamanya untuk berpindah ke terminal bas yang baharu yang dinamakan Terminal Amanjaya yang terletak di Meru, Ipoh.

Aku memahami tujuan terminal tu dibina adalah untuk menyediakan sistem pengangkutan awam terbaik bagi kemudahan rakyat. Buat masa ini, tiada yang baik dan tiada yang mudah pun untuk rakyat.

Memang terminal baru yang bernama Terminal Amanjaya ni aman. Jauh dari hiruk pikuk kesesakan lalulintas. Namun 'jaya' tu aku rasa tak sesuai sangat. Kenapa aku cakap camtu ? Sebab tiada yang baik dan tiada yang mudah pun untuk rakyat.

Berkongsi melalui pengalaman, aku bukanlah seorang pelanggan tetap pengangkutan awam namun sekali sekala tu menjadi pengguna jugak. Pertama kali aku menggunakan perkhidmatan bas awam yang baharu untuk ke bandar agak mengejutkan jugak.


Terkejut dengan nilai tambang yang dikenakan. Dua kali ganda tambang biasa. Mungkin sebab bas itu mempunyai penghawa dingin yang tidaklah dingin sangat. Kekerapan perjalanan pun rasanya tak membanggakan. 

Dan pengalaman pertama juga menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Terminal Amanjaya. Sangat mengharukan. Aku bertolak dari Terminal Pudu jam 8 malam dan tiba di Terminal Amanjaya hampir jam 11 malam.

Tiada lagi bas awam untuk ke bandar Ipoh yang mana perkhidmatan terakhirnya berakhir jam 9 malam. Hendak tak hendak, terpaksa menggunakan perkhidmatan teksi untuk pulang ke rumah.



Tambang bas ekspres Transnasional dari Kuala Lumpur ke Ipoh, RM25.00. Tambang teksi dari Terminal Amanjaya ke rumah (lebih kurang 20 kilometer), RM30.00.

Sangat baik dan memudahkan rakyat berbelanja lebih untuk pengangkutan awam. Aku tau, isu macam ni mesti ada banyak perdebatan. Sebab tu, perkongsian ni takkan habis kat sini je. Akan datang insyaALLAH, bersambung lagi.




01 November 2013

Iman kurang sempurna

  5 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua rakan pengunjung. Kehidupan kita di atas muka bumi ALLAH ni merupakan suatu proses pembelajaran yang tidak pernah berhenti.

Baru-baru ni aku melalui satu pengalaman yang agak menyeramkan sejak bergelar pendidik. Aku kurang pasti dimana punca kesilapan atau terdapat kekhilafan dalam proses pembelajaran terdahulu.


Oleh sebab peperiksaan akhir tahun telah berakhir maka untuk sesi pengajaran dan pembelajaran di kelas tahun 4 yang aku kendalikan, aku lebihkan pada perbincangan dan pemahaman ilmu aqidah dan feqah.

Ketika aku mengupas serba sedikit tentang huraian rukun iman, hampir seluruh kelas menghafal dan mengingati enam rukun iman tersebut. Namun bila aku bertanyakan huraian satu persatu mengenai rukun iman, kisah seram pun bermula.

Memang apabila ditanya kepada kita apakah rukun iman atau rukun islam, pasti rata-rata kita mampu untuk menjawab dengan betul. Akan tetapi kiranya kita disoal misalnya apakah maksud kita percaya kepada ALLAH (rukun iman pertama), belum tentu kita dapat menghuraikan dengan betul.

Adakah kita hafal sifat wajib dan sifat mustahil bagi ALLAH ? Adakah kita memahami setiap sifat-sifat ALLAH itu ? Atau kita cuma tahu, rukun iman pertama ialah percaya kepada ALLAH tanpa mengenali ALLAH itu sendiri.

"Saya bukan nak jadi ustaz atau ustazah. Jadi tak perlu untuk saya mengetahui sampai ke tahap itu. Cukup je dengan asas pun boleh menjadikan saya orang beriman juga"


Sedangkan rumah yang kita diami pun kita menambahkan berbagai kelengkapan dan perhiasan. Kenderaan yang kita tunggangi yang sudah cukup lengkap dikeluarkan dari kilang pun kita letakkan berbagai aksesori. Malah pada tubuh badan kita sendiri pun kita tambah itu ini agar kelihatan lebih sempurna kononnya apa yang ALLAH ciptakan belum cukup bagus.

Alhamdulillah walaupun aku tak dapat nak menghuraikan kefahaman dengan lebih mendalam kepada anak-anak murid di sekolah tu namun aku sempat juga memperjelaskan kepada mereka tentang kepentingan memahami ilmu-ilmu agama dengan sedalam mungkin.

Memang zaman sekarang segalanya dihujung jari. Hinggakan nak belajar Al-Quran pun cuma dengan pen. Namun ianya tidak akan sama dengan ilmu yang kita perolehi dengan berguru secara nyata.

Belum terlewat lagi untuk kita mendalami ilmu-ilmu agama untuk bekalan kita di akhirat. Ke konsert, pusat membeli belah, panggung wayang, berdemonstrasi dan sebagainya pun kita sanggup berhimpitan dan meluangkan masa yang lama, sekali sekala tenangkan jiwa dan hati dengan duduk dalam majlis ilmu di masjid atau surau. 

Jangan biarkan iman kita kurang sempurna dengan menjadikan diri kita tidak dinaiktaraf berbanding gajet-gajet yang kita miliki yang sentiasa maju kehadapan mengalahkan kita sendiri.