18 October 2014

Rumah Allah vs Rumah Kita

  9 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Rata-rata secara umumnya kita ni semuanya pernah menjejakkan kaki ke masjid. Tidak kiralah samada kerap atau hanya pernah sekali seumur hidup.

Ada ke yang menjejakkan kaki sekali ke masjid sekali je seumur hidup ? Seorang rakan pernah bergurau, katanya ada juga manusia ni yang mana sepanjang hidupnya hanya sekali je menjejakkan kaki ke masjid, iaitu ketika nak akad nikah atau ketika disembahyangkan waktu dah dibalut dengan kafan.

Bila kita ke masjid, berbagai ragam dan karenah yang boleh kita perhatikan. Ada yang terlupa, binaan yang namanya masjid itu dipanggil juga sebagai 'rumah Allah'. 


Bermakna setiap kali kita memasuki masjid, itu bererti kita berada di dalam rumah Allah. Bukan rumah kita, bukan rumah sesiapa juga. Seperti juga kalau kita menjejakkan kaki ke istana. Begitu banyak protokol dan adab yang perlu dijaga.

Tapi ramai dari kita terlupa. Bila berada di rumah Allah seolah-olah kita berada di kedai kopi tepi jalan. Ada yang berbicara perkara-perkara yang tak sepatutnya. Tak cukup dengan itu, ditambah pula dengan puntung-puntung rokok yang dicampak merata-rata. Lebih teruk lagi siap ada yang meludah kahak tak kira dimana.

Tanya kembali pada diri kita, di mana kita berada dikala itu ? Bukankah layaknya kita memberikan sepenuh penghormatan tatkala berada di rumah Allah ? Atau kita tak peduli pun semua itu.

Kalaulah orang datang ke rumah kita kemudian bersikap tiada adab di dalam kawasan rumah kita, agak-agaknya apa yang kita rasa ? 

Mudah-mudahan entri ini menjadi peringatan buat diri dan pembaca sekalian. Belum terlambat untuk merubah selagi akal masih waras. 



16 October 2014

iPhone 5s gajet impian setiap blogger

  10 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pada entri sebelum ini aku ada menyatakan tentang satu kontest yang menawarkan iPhone 5s sebagai hadiah utama dan pastinya akan diberikan secara percuma jika berjaya menjadi peserta yang terpilih antara yang terbaik.

Siapa yang tak nak kalau ditawarkan hadiah yang boleh kata dikira agak lumayan begitu. Lagi pula zaman sekarang ini ramai orang yang terus menerus mengikuti aliran kecanggihan teknologi dari segi penggunaan gadget yang semakin hari semakin moden.

Aku juga sudah pasti tidak terkecuali dari mempunyai impian untuk memiliki gadget yang selari dengan kecanggihan teknologi yang ada sekarang. Sudah pasti akan memudahkan beberapa urusan jika teknologi berada dalam genggaman.


"iPhone 5s gajet impian setiap blogger". Tengok tajuk pun sudah agak menggiurkan terutama bagi individu yang bergelar blogger seperti aku. Aku tidak bisa untuk petah berkata-kata menceritakan berkenaan hadiah yang ditawarkan itu kerana aku sendiri tidak pernah memiliki gadjet secanggih iPhone seperti itu.

Hanya dengan membaca beberapa informasi dan testimoni dari berbagai sumber, memang sukar untuk dinafikan iPhone 5s pastinya menjadi impian bagi setiap blogger.

Kalau sebelum ini aku juga pernah menyertai cabaran untuk memiliki iPhone melalui kontest yang dianjurkan, kali ini pihak Denaihati Network mengulangi kembali cabaran tersebut. Pastinya akan ada cabaran dan tugasan yang perlu dilaksanakan bagi merebut hadiah utama yang ditawarkan itu.

Sesiapa sahaja boleh menyertainya asalkan memiliki semangat untuk berdaya saing dan tidak mudah patah semangat. Tapi bagi yang belum memiliki laman blog mestilah terlebih dahulu memilikinya walaupun hanya untuk menyertai dan mengikuti cabaran kontest iPhone 5s gajet impian setiap blogger kerana semestinya setiap tugasan dan cabaran perlu dilaksanakan melalui laman blog.

Syarat pertama untuk menjadi peserta cukup mudah. Asalkan individu itu memiliki laman blog, tiada sebarang sekatan dan syarat untuk menyertainya. Cuma sepertimana cabaran sebelum ini, peserta kontest hanya dihadkan kepada para blogger seluruh nusantara sahaja.

Kalau sudah memiliki laman blog, cuma perlu memuat naik sebuah entri dengan tajuk "iPhone 5s gajet impian setap blogger" sebagai tiket untuk menyertai cabaran yang bakal berlansung.

Penulisan entri penyertaan yang perlu dimuat naik juga tidak terikat dengan apa-apa syarat penulisan. Apa-apa sahaja gaya penulisan entri bebas dan kreatif akan diterima. 

Sebagai menghargai pihak penganjur kontest dan pihak-pihak penaja yang turut sama membuka peluang untuk para blogger menyertai kontest yang diadakan, setiap blogger yang ingin menjadi peserta mestilah menulis sebuah entri penyertaan yang disertakan dengan satu backlinks kepada blog Denaihati selaku penganjur dan menyenaraikan semua blog penaja kontest yang turut dilengkapi dengan backlinks masing-masing.

Entri penyertaan mestilah ditulis tidak kurang dari 300 patah perkataan. Kalau kurang dari 300 patah perkataan mungkin agar sukar berbanding menulis lebih dari 300 patah perkataan. Sebagai blogger yang banyak berkongsi melalui penulisan pasti ianya tidak menjadi masalah untuk menaip lebih dari apa yang diminta.

Berminat ? Cepat-cepat bertindak sekarang kerana tarikh tutup penyertaan cuma tinggal beberapa jam sahaja lagi dari saat entri ini dimuat naik. Setiap penyertaan mestilah dihantar sebelum jam 11.59pm pada tarikh 24 Ogos 2014.

Akhir sekali, satu banner yang boleh didapati dari blog Denaihati perlu diletakkan pada blog peserta yang menyertai cabaran iPhone 5s gajet impian setiap blogger dan hantarkan penyertaan itu sebelum tamat tempoh di SINI.

Maklumat kontest.

Nama kontest : iPhone 5s gajet impian setiap blogger.

Hadiah utama : 4 set iPhone 5s bagi setiap pemenang.

Hadiah saguhati : Wang tunai untuk setiap pemenang bagi kategori tertentu.

Update : Cabaran kedua bermula dari 15/9/2014 - 15/10/2014

Penganjur : Denaihati Network.

Syarat penyertaan :
  1. Tulis satu entri kreatif dengan tajuk "iPhone 5s gajet impian setiap blogger" tidak kurang dari 300 patah perkataan.
  2. Masukkan satu backlinks kepada blog Denaihati pada entri tersebut.
  3. Letakkan banner penganjur pada laman blog.
  4. Senaraikan semua blog penaja yang lengkap dengan backlinks.
  5. Hantarkan entri penyertaan ke SINI
Senarai penaja kontest :

Penaja Utama :


Penaja Individu :

Sedikit info tambahan, arwah Syuhada Baharudin (http://www.syuhada1981.com @ http://syuhadabaharudin.com) juga salah seorang penaja. Marilah kita sama-sama sedekahkan Al Fatihah untuk arwah semoga tajaan ini menjadi sedekah yang terima oleh ALLAH.



01 October 2014

Gangguan teksual

  7 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Dunia blogging masakini bukan lagi seperti suatu masa dahulu. Kalau suatu masa dahulu, dunia penulisan di alam maya ni kebanyakannya dikuasai oleh mereka-mereka yang agak 'otai' dan perkongsian yang ada lebih kepada info-info ilmiah.

Masakini pula, sesiapa sahaja boleh nak berkongsi penulisan di dalam dunia alam maya ni. Asalkan pandai menggunakan platform yang disediakan, hatta anak kecil seusia 6 tahun pun boleh jadi seorang penulis blog.

Dengan pertumbuhan pesat blog-blog bersifat peribadi yang begitu mudah untuk dibina, persaingan menjadi semakin sengit untuk berkongsi setiap maklumat kepada pembaca di dunia alam maya.


Sikap mencedok, mengulang terbit, memplagiat kandungan dari laman milik orang lain dan kemudiannya diterbitkan pula dilaman sendiri tanpa memberikan sebarang kredit kepada penulis atau pemilik asal artikel adalah satu pencabulan di alam maya.

Menulis dengan bahasa yang menyalahi etika penulisan juga bagaikan satu gangguan teksual terhadap pembaca. Walaupun ada yang melabelkan blog mereka itu sebagai blog peribadi dan apa sahaja pengisian yang mereka ingin terbitkan adalah mengikut citarasa mereka sendiri, jika begitu tidak perlulah ianya diterbitkan bagi pembacaan umum.

Dalam kepesatan dunia blogging ni, perlu kita sentiasa ingat agar tidak menjadikan penulisan kita sebagai satu penyebaran fitnah, penyumbang dosa dan melahirkan kebencian diantara sesama manusia.

Biarlah apa sahaja yang kita kongsikan di alam maya ni dapat memberikan kebaikan dan manfaat kepada sesiapa juga yang membaca isi kandungan penulisan di laman blog kita. 



29 September 2014

Mengajar dan belajar

  7 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kalendar persekolahan menjelang penghujung tahun ni dah tentu dipenuhi dengan tarikh-tarikh peperiksaan. Guru-guru yang berdedikasi mesti tengah pulun bagi ulangkaji kat anak-anak murid. 

Calon-calon UPSR 2014 pulak ada yang bermuram durja akibat kes kebocoran soalan-soalan peperiksaan UPSR 2014 lantas terpaksa menduduki semula peperiksaan.

Masuk penghujung tahun ni jugak lambakan kerja di pejabat sekolah semakin menimbun. Menguruskan rekod pelajar yang bakal naik ke tahun seterusnya. Menguruskan penyata kewangan tahunan.


Sejak aku mengambil alih tugasan pejabat kat sekolah ni, banyak jugak perkara yang perlu aku tumpukan. Pagi menguruskan tugasan pejabat, petang pulak menguruskan tugasan mengajar.

Jangan pelik pulak sebab aku bertugas di Sekolah Rendah Agama Rakyat. Disebabkan aku hanya mengajar disesi petang, dan kebetulan ustaz yang menguruskan hal-hal pentadbiran pejabat sekolah sebelum ini telah berhenti maka pengurusan sekolah meminta aku untuk mengisi kekosongan yang ada.

Memang banyak jugak yang perlu aku 'belajar' pasal pentadbiran sekolah ni. Buat masa ni alhamdulillah tak de masalah lagi la. Dan ada beberapa perancangan untuk penambahbaikkan yang sudah aku rancangkan.

Minggu depan umat Islam sedunia akan menyambut Hari Raya Aidil Adha, dan lepas habis cuti tu kalendar sekolah aku ni penuh dengan minggu-minggu peperiksaan. 

Apa pun, kepada adik-adik dan anak-anak yang sedang dan bakal menghadapi peperiksaan tu diharap dapat menghadapinya dengan tenang dan beroleh kejayaan yang cemerlang.



21 September 2014

Tips : Bagasi dan penerbangan

  1 komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Satu masa dahulu orang kebanyakan macam aku ni hanya mampu untuk memasang impian untuk berada disebalik awan memutih yang berlatarkan langit biru melintasi sempadan-sempadan negeri dan negara dengan menaiki pesawat terbang.

Waktu itu hanya mereka yang benar-benar berkemampuan yang mampu untuk merasai semua itu. Namun ianya tidak lagi menjadi satu kemustahilan pada zaman sekarang ini. 

Sejak sistem bayar dulu terbang kemudian diperkenalkan, semakin ramai yang boleh menjadikan impian untuk berada disebalik awan itu satu kenyataan tidak kira usia, pangkat mahupun darjat.



Tiket sudah dibeli. Perancangan perjalanan juga sudah dipersetujui. Semua dokumen telah disediakan. Tarikh penerbangan semakin hampir. Cuma tinggal beg yang perlu untuk diisi. Apa yang nak disumbat dalam beg nanti ? Macam mana nak menguruskan bagasi ? Jom kita kongsi sikit tips.

Tips pertama : Pakaian keperluan yang mencukupi.

Ada orang yang mewah dengan pakaian. Kalau kat rumah tu mungkin ada yang sampai terpaksa memiliki dua almari untuk menyimpan semua pakaian yang ada. Tapi bila nak terbang ke mana-mana, tak perlu la angkut segalanya yang ada dalam almari tu. 

Bergantung pada kesesuaian perjalanan dan berapa lama kita berada di destinasi yang dituju, cukup hanya beberapa pasang pakaian yang boleh dibasuh dan dipakai semula. 

Jadi tak perlu la beg yang terlalu besar dan terpaksa membawa berat berlebihan pula. Perlu diingat, ada syarikat yang membenarkan penumpangnya membawa bagasi di bawah muatan yang dihadkan dengan percuma dan ada juga syarikat yang mengenakan bayaran terhadap bagasi yang dibawa.

Tips kedua : Pengasingan mengikut jenis.

Mengasingkan barangan yang dibawa di dalam bagasi juga adalah satu keperluan  ketika menguruskan bagasi. Selain memudahkan kita untuk mencapai atau mengambil sesuatu yang kita perlukan, ianya juga memudahkan urusan pemeriksaan keselamatan ketika di terminal lapangan terbang.

Sebarang barangan berbentuk cecair tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam pesawat kecuali dengan pengesahan pegawai keselamatan yang bertugas. Jadi sebab tu la lebih mudah kalau setiap barang disusun dan diasingkan mengikut kategori masing-masing.


Tips ketiga : Aspek keselamatan.

Elakkan dari memasukkan barangan yang rapuh dan mudah rosak di dalam bagasi. Kalau nak bawak jugak, perlu la dibawa ke dalam kabin pesawat dengan beg yang lebih kecil.

Selain itu, pastikan bagasi milik kita berkunci. Kalau tiada kunci, pastikan ianya tidak mudah untuk dibuka. Terpulang la samada nak diikat dengan tali atau dibalut dengan plastik pembalut lut sinar.

Tidak lupa juga, pastikan bagasi milik kita tu bertanda. Ikatkan dengan riben atau sebagainya. Kalau boleh lekatkan pelekat nama yang lengkap beralamat yang mudah dihubungi lebih bagus walaupun ianya kelihatan seperti mendedahkan privasi kita sendiri.

Ok la, tu je tiga tips yang aku nak kongsikan dalam entri kali ni sebagai panduan kita bersama. Perlu kita ingat, barang kita adalah hak kita. Kalau bukan kita yang berusaha menjaganya, siapa lagi yang kita nak harapkan.

Dan perlu juga kita tahu, seandainya berlaku sebarang masalah seperti kerosakan bagasi ataupun kehilangan bagasi, segeralah melaporkan ke pejabat tuntutan bagasi dengan menampilkan bersama segala dokumen perjalanan kita pada hari tersebut.




20 September 2014

Haram bertambah haram

  5 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kalau suatu masa dulu kisah-kisah penangkapan kes-kes rasuah hanya banyak melibatkan orang bawahan. Mungkin kerana kesempitan hidup kerana pendapatan yang sedikit ditambah dengan kos sara hidup yang tinggi membuatkan mereka mengambil jalan pintas sebegitu.

Tajuk-tajuk akhbar hari ini pula mengisahkan tentang kes penangkapan orang-orang atasan pula yang terlibat dalam kes rasuah. Bukan nak kata keterlibatan orang atasan ini adalah satu perkara baru cuma nampaknya orang-orang atasan sekarang ni perlu lebih telus dalam menjalankan amanah.

Kalau kes yang melibatkan orang bawahan, kemungkinan faktor kesempitan hidup yang mendorong mereka untuk melakukan pekerjaan yang terkutuk tersebut.

Tapi bila ianya melibatkan orang atasan, mungkin faktor kesempitan akal fikiran yang mendorong mereka untuk bergelumang dengan aktiviti yang hina itu.


Sudahlah urusannya melibatkan sesuatu yang haram. Hasil dari urusan menggunakan pangkat dan kuasa yang dimiliki itu juga sudah semestinya haram. Dan apakah hasil dari segala keharaman itu disuapkan ke mulut anak isteri dan keturunan mereka ? 

Haram + Haram = Haram Jadah. Mungkin itu ungkapan yang lebih sesuai untuk perbuatan terkutuk yang mereka lakukan. Jauhilah yang haram walaupun ianya indah dan menyenangkan.

Jalankan amanah dan tanggungjawab dengan jujur dan ikhlas. Biarlah ada yang diperolehi itu mencukupi asalkan ianya diberkati daripada mencari yang lebih tapi ianya dilaknati.




19 September 2014

Bagasi yang hilang

  3 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Seminggu yang lalu, isteri dan anak-anak aku yang ditinggalkan sementara di kampung halaman nun jauh di Sabah telah kembali setelah menghabiskan masa hampir sebulan lebih di sana.

Kami berangkat ke Sabah pada hari syawal yang kedua bersama tiga buah bagasi yang sarat dengan pakaian. Menaiki penerbangan MAS menuju ke Kota Kinabalu dari KLIA tanpa ada sebarang masalah.

Seminggu menghabiskan cuti raya di rumah mertua, aku seorang diri kembali ke Semenanjung untuk bertugas semula. Hanya satu bagasi yang aku bawa untuk memuatkan pakaian yang perlu aku bawa pulang. Dari Kota Kinabalu menuju ke KLIA, aku menaiki pesawat MAS tanpa sebarang masalah.

Kepulangan isteri dan anak-anak aku pada minggu lepas berakhir dengan tragedi. Menaiki pesawat AirAsia dari Terminal Kota Kinabalu menuju ke KLIA2, berkesudahan dengan sesuatu yang menyedihkan.

Proses mendaftar masuk segala bagasi tidak bermasalah ketika di Terminal Kota Kinabalu. Dua bagasi bersaiz besar didaftarkan untuk naik ke pesawat menuju ke Kuala Lumpur penerbangan AK5119.

Pesawat mendarat di Kuala Lumpur tepat pada masanya. Selepas Terminal LCC ditutup dan perkhidmatan AirAsia dipaksa pindah ke KLIA2, itulah kali pertama aku menjejakkan kaki di KLIA2 setelah jenuh berpusing mencari lokasinya.

Ketika penumpang pesawat AK5119 mula meninggalkan Terminal KLIA2, isteri dan anak-anak aku masih menunggu di kawasan tuntutan bagasi. Daripada dua bagasi yang didaftarkan masuk ketika di Terminal Kota Kinabalu, hanya satu yang diperolehi ketika di KLIA2.


Setelah yakin tiada lagi bagasi yang tertinggal di tempat tuntutan bagasi, isteri aku membuat laporan kehilangan bagasi di pejabat urusan yang disediakan. Tiada sebarang jaminan bagasi yang hilang dapat dikembalikan. Pihak syarikat AirAsia akan membayar kos kehilangan bagasi mengikut berat bagasi yang didaftarkan itu sekiranya bagasi tidak ditemui.

Semalam aku menerima email dari pihak AirAsia yang meminta salinan butiran bank dan sedikit maklumat bagi proses tuntutan kehilangan bagasi. Maknanya mereka lebih rela mempamerkan harga kecuaian mereka dari menjalankan usaha mencari dan menyelamat.

Daripada apa yang dimaklumkan, bayaran ganti rugi yang ditawarkan oleh syarikat AirAsia itu lansung tidak mampu untuk membayar kerugian yang ditanggung kami. Katakanlah setiap kilogram dibayar sejumlah RM48. Berat keseluruhan bagasi mencecah 10kilogram.

Biar aku jelaskan kerugian yang kami alami itu melebihi dari nilai yang ditawarkan tu. Harga bagasi itu sendiri sahaja sudah bernilai RM100 lebih kurang. Pakaian anak-anak, yang paling murah boleh aku nilaikan sepasang harganya pun sudah belasan ringgit. Tu belum lagi bra yang harganya mencecah hampir RM50 setiap satu.

Tapi apakan daya, itulah nilai perniagaan mereka. Nama pun tambang murah. Jadi semuanya murah-murah belaka. Dan sememangnya aku sentiasa mencurigai pengurusan bagasi dari syarikat AirAsia ni dari sejak mula menggunakan perkhidmatan mereka. Beberapa kali bagasi aku pernah dibuka dan pernah juga terkoyak. 

Tidak dinafikan mungkin kehilangan bagasi itu disebabkan faktor kami sendiri tapi tidak boleh dinafikan ianya 99% adalah kecuaian pihak syarikat AirAsia sendiri dalam menguruskan barangan milik pelanggan mereka sendiri. 

Korang pulak macam mana ? Pernah mengalami kejadian serupa ? Kalau ada jom kongsikan bersama. Pada entri lain insyaAllah aku akan kongsikan antara langkah membawa bagasi menaiki penerbangan.



18 September 2014

Hanya kerana dunia

  2 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Seminggu yang lalu berlaku kekecohan dalam negara kita apabila terbongkarnya kes kebocoran kertas soalan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah hingga mengakibatkan beberapa kertas peperiksaan terpaksa dibatalkan.

Perkara ini tidak berlaku pada tahun 1990 ketika aku sendiri yang menjadi calon bagi menjawab kertas soalan peperiksaan UPSR waktu itu. Di zaman itu tiada guru atau pegawai peperiksaan yang mempunyai telefon bimbit berkamera mahupun talian jalur lebar tanpa wayar.

Di zaman itu juga guru atau pegawai peperiksaan tidak memiliki kamera digital bersaiz kompak yang boleh disimpan di dalam kocek seluar. Kalau ada pun hanya beberapa orang dikalangan ramainya guru-guru dan pegawai peperiksaan yang ada diseluruh Malaysia ini.

Kami sebagai calon menjawab peperiksaan UPSR ketika itu lansung tiada merasai sebarang tekanan mental. Cuma sedikit sedih kerana terkenangkan bakal terpisah dengan teman-teman sekelas yang bakal membawa haluan masing-masing apabila tamat darjah enam kelak.


Hanya menumpukan perhatian pada menjawab soalan-soalan yang diberikan. Bezanya dengan kertas soalan yang biasa dijawab ketika musim peperiksaan, kertas soalan UPSR itu mempunyai logo kementerian di hadapan muka surat depan.

Kertas soalan matapelajaran yang bagi aku paling susah pun mampu aku jawab dengan cemerlang tanpa sebarang tekanan mental walaupun keputusannya tidak secemerlang cara aku menjawabnya.

Tiada juga ujian aptitud dikenakan terhadap kami ketika itu. Hasilnya kini, rakan-rakan sekelas yang sama-sama mengambil ujian UPSR tahun 1990 dulu tu ada yang berkerjaya profesional, ada yang menjawat jawatan penting dibeberapa kementerian, ada yang menjadi usahawan berjaya, ada yang berkhidmat untuk negara, ada yang berjaya mengusahakan tanah pusaka di kampung, dan tiada yang tidak bermatlamat hidupnya.

Itu kisah zaman dahulu. Mungkin kementerian pendidikan pada zaman itu masih kurang arif dalam menentukan hala tuju misi pendidikan negara dalam menyediakan taraf pendidikan kepada rakyat Malaysia.

Zaman sekarang sangat jauh berbeza. Berbagai kaedah dan amalan dalam pendidikan digubah dan diubah. Murid-murid menjadi bahan kajian. Samada kaedah dan amalan terbaru itu mampu menjana rakyat yang lebih cemerlang untuk negara.

Dalam perlumbaan untuk menghasilkan rakyat yang cemerlang itu, maka mungkin kerana itu, hanya kerana keduniaan, ada yang sanggup merogol, mencabul, menodai sistem peperiksaan yang sedia ada. 

Risau si anak dianggap bebal kerana tidak lulus peperiksaan UPSR, maka berapa sahaja nilainya pasti sanggup dibayar biarpun maruah tergadai. Atau hidup yang tidak mewah, terlalu inginkan kemewahan hingga sanggup mengenepikan amanah.

Semuanya kerana dunia. Kalau suatu masa dahulu perkataan 'stress' ni biasanya kedengaran dikalangan calon-calon SPM, sekarang ni diusia calon UPSR pun dah pandai 'stress'.



01 September 2014

Ragam orang kita

  Tiada Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Hari ni melalui perkongsian yang ada dalam laman facebook, ada satu perkara yang agak menarik minat aku untuk berkongsi pemikiran disini.

Sebuah gambar yang menunjukkan seorang hamba Allah yang sedang menunaikan tanggungjawabnya sebagai hamba di tepi sebuah sistem perparitan pun boleh menjadi satu isu perdebatan dikalangan rakyat Malaysia ni.

Secara umumnya kita yang beragama Islam mengetahui kewajipan kita dalam menunaikan perintah Allah selama mana kita hidup di atas muka bumi ini. Kewajipan menunaikan solat bermula apabila sudah cukup syarat pada seseorang individu Islam itu untuk menunaikannya.


Apa yang dipertikaikan pada gambar tersebut ialah tempat hamba Allah itu menunaikan tanggungjawabnya. Ada yang kata tempatnya kotor. Ada yang kata tempatnya berbau busuk. Seperti mereka itu berada ditempat itu semasa hamba Allah itu bersolat di situ.

Tidak kurang juga yang agak memperlekehkan tindakan hamba Allah itu yang mungkin bagi mereka ini hamba Allah itu hendak menunaikan ibadahnya tidak mengira tempat sedangkan tempat untuk ibadah ada disediakan.

Persoalannya, adakah ibadah itu terutamanya menunaikan solat wajib didirikan hanya di masjid atau di surau ? Adakah masjid dan surau itu termasuk dalam senarai syarat sah menunaikan solat ?

Mudah-mudahan Allah memberikan hidayahnya kepada kita semua. Mungkin benar di negara kita ini terutamanya di Semenanjung Malaysia ini banyak masjid-masjid dan surau-surau yang dibina bagi memudahkan rakyatnya yang beragama Islam untuk menunaikan ibadah solat dalam keadaan selesa.

Perlu kita ingat, dalam perlaksanaan ibadah yang diperintahkan Allah, bukan kita manusia yang menilai segalanya. Siapalah kita ni nak mempertikaikan dan menilai manusia lain terutamanya dalam bab beribadah.

Banyakkan bersangka baik. Banyak manusia yang terlupa pada diri sendiri kerana terlalu sibuk mencari-cari kesalahan dan kesilapan orang lain. Banyak manusia yang zaman sekarang ini bila berkata-kata hingga melangkaui batas kecerdikannya.

Banyaknya masjid dan surau seperti yang digembar gemburkan itu, tiada juga maknanya jika tidak diimarahkan. Malah tidak pula dipertikaikan dimana perginya masyarakat penduduk yang tinggal disekeliling masjid dan surau yang dikatakan itu.

Tanyakan pada diri kita sendiri, adakah kita sendiri pun mencari surau atau masjid untuk menunaikan solat ? Atau kita anggap masjid atau surau itu cuma tempat bagi orang-orang yang singgah untuk menunaikan solat manakala kita cukup hanya bersolat dirumah. Lebih teruk lagi, dirumah juga tidak bersolat.

Khilaf itu tak salah. Cuma jangan sampai kita rasa orang lain semuanya tidak betul dan hanya kita yang benar. Ambil iktibar jadikan pengajaran. Semoga kita menjadi hambaNya yang kekal bertaqwa.




27 August 2014

Pengalaman bersama khidmat pelanggan

  9 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bagi kebanyakan syarikat mesti ada menyediakan pusat khidmat pelanggan untuk menguruskan pelanggan-pelanggan yang memerlukan bantuan berkenaan produk syarikat.

Dan seharusnya bagi individu yang diamanahkan untuk menguruskan bahagian khidmat pelanggan ni sepatutnya arif untuk memberikan setiap maklumat yang diperlukan oleh pelanggan dengan tepat.

Baru-baru ini aku berurusan dengan dua perkhidmatan khidmat pelanggan dari dua syarikat penerbangan utama negara. Kisah pertama tu sebab aku terkeliru dengan terma dan syarat untuk daftar masuk melalui laman web.

Hanya dua kaedah yang aku gunakan. Hubungi khidmat pelanggan melalui 'live chat' yang disediakan syarikat dan melalui laman twitter syarikat. 

Disebabkan terpaksa menunggu agak lama untuk dilayan melalui 'live chat' yang disediakan, aku mengajukan persoalan ke laman twitter syarikat. Kebetulan pula dimasa aku sedang berbalasan 'twit', giliran untuk aku ber'live chat' pun tiba.

Persoalan yang sama aku tujukan kepada pengendali 'live chat' syarikat tersebut. Cuma yang aku rasa tak seronok apabila jawapan yang aku perolehi dari kedua-dua kaedah sangat bercanggah. Sorang kata boleh, sorang lagi kata tak boleh.

Paling aku tak gemar bila kita yang mahukan penjelasan lebih ni disuruh baca sendiri dilaman FAQ's syarikat mereka. Bukan la kita ni pelanggan kelas kambing yang bebal sangat tak baca semua tu cuma sebagai pelanggan ada kalanya memerlukan khidmat nasihat dan penerangan yang lebih dari pihak syarikat tu sendiri.

Update : Persoalan selesai melalui laman twitter syarikat tersebut. Siap dengan penjelasan lagi dibaginya agar aku tidak tertanya-tanya lagi dah.

Pengalaman kedua pulak sehingga entri ini ditulis, masih belum selesai dan masih dalam siasatan. Bagi permasalahan kedua ni disebabkan berlakunya sedikit khilaf antara urusan pembayaran dan pengesahan tiket.

Aku terpaksa menggunakan perkhidmatan panggilan disebabkan permasalahan ini berkaitan dengan wang ringgit. Pembayaran sudah dibuat tapi pengesahan tempahan tiket tiada. Siapa nak ganti duit tu kalau tiada susulan.


Satu perkara yang aku kurang berminat dengan perkhidmatan panggilan ni ialah terpaksa menunggu sangat lama. Kalau panggilan percuma tu tak mengapa juga. Seharian menunggu pun aku sanggup.

Menunggu lama tu memang dah perkara wajib bila kita menghubungi pusat khidmat pelanggan. Mahu tak mahu, kalau sesuatu permasalahan tu perlu jawapan segera memang terpaksa la menunggu panggilan berjawab.

Mesin operator pulak berkali-kali nak ulang "panggilan anda adalah penting buat kami". Mesti la penting sebab kalau tak penting buat apa nak dihubungi. Bila dah bersambung dengan individu pulak, bukan nak ada kata minta maaf kerana menunggu.

Perkara yang buat aku panas hati tu bila disuruh tunggu lagi sebab nak buat semakan. Bukan seminit. Bukan dua minit. Lebih dari 15 minit aku menunggu. Siap aku menyanyi merapu meraban macam orang gila manakala dihujung talian sunyi sepi macam takde orang.

Panggilan kedua yang aku buat ok la sikit. Talian bersambut dan dilayan. Cuma yang aku agak tak suka bila akhirnya operator tu kata, "Encik kena hubungi semula pagi esok untuk pengesahan"

Bermakna aku terpaksa menghabiskan kredit dan masa untuk permasalahan yang aku hadapi ni. Operator tu pulak siap gelak bila aku cakap,"Jadi saya perlu menunggu lama lagi la esok untuk selesaikan masalah ni ?".

Tolonglah. Kalau syarikat jual kacang kuda mungkin aku boleh terima lagi. Ni syarikat besar. Sepatutnya perlu la bersikap profesional. Bukan memudahkan pelanggan tapi lebih menyusahkan pulak. 

Aku tak pasti la polisi syarikat tu macam mana, tapi apa yang aku harapkan mana-mana syarikat yang menggunakan perkhidmatan pusat panggilan ni silalah latih pekerja-pekerja talian tu dengan lebih cekap lagi untuk membantu dan memudahkan pelanggan. Bukan menambah masalah pelanggan.

Update : Masalah selesai dan perkhidmatan panggilan pagi ini berjalan lancar dan memuaskan.




23 August 2014

Berkahwin kerana Seks

  8 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Agak panas tajuk entri hari ni walaupun keadaan diluar sana hujan sedang turun mencurah-curah ketika entri ini ditaip.

Bila baca je tajuk tu mesti berbagai pendapat dan pemikiran yang berlegar-legar dalam fikiran masing-masing. Ada yang menjurus ke arah positif dan mungkin tak kurang juga yang menjurus ke arah negatif.

Ada yang barangkali menyokong dan ada juga yang mempunyai hujah-hujah tersendiri untuk membangkang. Itu semua terpulang pada pendapat masing-masing yang mungkin mempunyai cara tersendiri untuk mentafsirkannya.

Maklum kita tahu, berkahwin atau bernikah antara tujuan lainnya adalah untuk menghalalkan perhubungan antara seorang lelaki dan seorang wanita. Halalnya perhubungan itu bukan sahaja dari segi pergaulan secara lahiriah umum, malah termasuk juga pada pergaulan secara batiniah.


Sudah tentu dengan pernikahan atau perkahwinan sedikit sebanyak mampu untuk menewaskan nafsu yang barangkali sukar dibendung. Dengan adanya pasangan yang halal, tidak menjadi masalah untuk mendatangi pasangan itu bila-bila masa dan bagaimana juga caranya asalkan mengikut garis panduan syariat yang benar.

Memang ada juga yang sudah mempunyai pasangan halal namun masih lagi mencari-cari yang haram diluar sana. Ada juga yang had usianya sudah mencapai tahap terlebih dewasa namun akal pemikirannya mengalahkan kanak-kanak yang belum mummayiz.

Ada yang pernah menyangkal dengan bernikah muda dapat mengelakkan berlakunya zina. Malah mendatangkan sekali dengan hujah bersandarkan hadis dan ayat Quran.

Seperti yang dinyatakan di atas tadi, itu terpulang pada pendapat masing-masing kerana memang kita manusia ini sering berbeza-beza pemikirannya. Cuma kita perlu fikirkan, adakah saranan dari baginda Rasulullah SAW itu hanya kerana mengikut logik akalnya sahaja ?

Andai ada anak-anak muda yang ingin berkahwin dan bernikah awal usia, tidak perlu kita momokkan mereka dengan berbagai logik akal. Sebagai orang dewasa yang lebih memahami dan berpengalaman, harusnya kita menjadi pendokong dan penyokong malah membantu anak-anak muda ini untuk berada dilandasan yang betul.

Kalau kita yang dewasa ini merosakkan pemikiran mereka dengan pengalaman dan pemikiran buruk kita, sudah tentu mereka tidak melihat sebarang penyelesaian dari apa yang disarankan oleh agama. 

Jadi, fikir-fikirkanlah. Bukanlah ianya menjadi niat utama, namun itu sebahagian dari nikmat yang ALLAH kurniakan kepada hamba-hambaNYA yang mengikuti jalan yang ditunjukkanNYA.


 

18 August 2014

Betul ke iPhone 5s gajet impian setiap blogger ?

  3 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kalau tengok pada tajuk entri kali ni sebenarnya andai diberikan peluang untuk memiliki iPhone 5s secara percuma tanpa perlu membayar satu sen pun, bukan sahaja ianya menjadi impian setiap blogger malah impian semua orang.

Bagi yang mempunyai impian sebegitu, sekali lagi blogger Denaihati menganjurkan kontest cabaran untuk penulis-penulis blog senusantara berebut peluang bagi memiliki hadiah utama yang berupa iPhone 5s bagi pemenang yang bertuah.

Dalam cabaran iPhone yang lepas, aku hanya mampu untuk berada dalam kumpulan peserta akhir tapi gagal untuk menjadi yang terbaik menyebabkan impian terpendam begitu sahaja.

Entri yang aku kongsikan ini pun sebenarnya berpunca dari sebuah perkongsian dilaman Facebook yang tiada kena mengena dengan kontest yang dianjurkan berkenaan tentang berkongsi pendapat atas satu persoalan.

Persoalan yang diajukan tu lebih kurang begini la. 

"Adakah berbaloi untuk memiliki sebuah iPhone 5s dengan skim bayaran bulanan".

Gambar sekadar hiasan

Kalau tanya pendapat aku, sudah tentu aku akan jawab ianya tidak berbaloi. Samada bagi individu bujang mahupun yang berkeluarga.

Perlu kita ingat kemudahan pembiayaan melalui skim ansuran bulanan tak kira dari apa punca pun, ianya bertujuan bagi memudahkan sedikit (tapi menyusahkan banyak)  pengguna-pengguna yang berpendapatan sederhana atau rendah untuk memenuhi keperluan hidup terutamanya bagi memiliki barangan keperluan.

Bagi yang berkeluarga, adalah lebih baik jikalau ingin menggunakan perkhidmatan bayaran ansuran itu dengan tujuan untuk memiliki barangan atau kegunaan yang boleh dimanfaatkan oleh seluruh ahli keluarga.

Buat yang masih bujang pula, jangan biasakan diri dengan skim berhutang ni. Kelak terbiasa nanti malap pula masa hadapan. Kalau teringin juga, belajarlah menabung.

"apa bezanya kalau menabung dengan membayar jumlah yang ditetapkan setiap bulan tu ?"

Memang sangat berbeza. Kalau menabung, kita perlu mengambil masa yang mungkin agak lama untuk memiliki apa yang kita hajati itu tapi dah tentu dengan tabungan yang ada kita boleh membuat pilihan lain pula jika ada yang terkenan dihati.

Kalau memilih untuk mengikat kontrak membayar secara ansuran sehingga tempoh yang ditetapkan pula, memang apa yang kita ingini itu dapat kita perolehi tapi kita terpaksa pula menanggung syarat-syarat yang telah ditetapkan malah kita terpaksa membayar lebih dari jumlah sebenar.

Apa pun pilihan itu tetap ditangan masing-masing. Tepuk dada tanyalah iman. Antara keperluan dan kehendak itu ada jurang perbezaan yang sangat luas. Kalau nak jugak, nanti aku akan kongsikan macam mana nak dapatkan iPhone 5s secara percuma.



16 August 2014

Tips rumahtangga bahagia

  12 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulillah walaupun malam tadi hanya dapat melelapkan mata kurang dua jam, pagi tadi berjaya juga menghadirkan diri ke seminar pemantapan aqidah dan penerangan halal dan haram di dalam Islam.

Petang sikit kalau cuaca mengizinkan nak buat operasi pembersihan kat luar rumah. Semalam dah kena amaran dengan bahagian kawalan nyamuk sebab penemuan sekumpulan jentik-jentik di kawasan rumah aku ni. Nasib baik amaran je. Kalau kena kompaun, hangus RM500 dibuatnya.

InsyaAllah dalam entri kali ni aku nak berkongsi sikit tips untuk menjaga keutuhan hubungan rumahtangga. Tak banyak pun, cuma ada tiga tips yang mudah nak dipraktikkan dan diingati.


Bila hidup berumahtangga ni memang la banyak cabaran dan dugaan yang melanda. Bila keadaan tidak terkawal, tu yang boleh meningkatkan statistik penceraian yang mana seboleh-bolehnya perlu kita elakkan.

Jom kita tengok tiga tips rumahtangga yang dikongsikan oleh Ustaz Fawwaz Md Jan masa off-topic dalam seminar tadi dan tak salah kalau kita kongsikan pulak pada orang-orang yang kita sayang.

Tips pertama : Khas buat suami. JANGAN MELAWAN CAKAP BILA ISTERI MEMBEBEL.

Dan memang fitrah orang perempuan suka banyak bunyi tul tak ? Dan kadang-kadang tu tak kira waktu, asalkan dia rasa nak bercakap pasti dia akan cakap. Sebagai suami, jangan sekali-kali kita melawan bebelan isteri tu. 

Biarkan je isteri kita tu puas meluahkan rasa tak puas hati tu. Bukan nak biarkan isteri menjadi derhaka tapi kalau bukan pada kita ni yang bergelar suami mereka, takkan nak biar isteri kita meluahkan perasaan pada orang lain pulak.

Tahan je telinga tu bang. Itu la wanita yang kita pilih untuk jadi peneman hidup sepanjang hayat. Bila lagi nak jadi pendengar yang setia kepada celoteh dan bebelan dari orang yang kita cintai. Kalau perlu menjawab, cukup dengan jawapan "okay" je.

Tips kedua : Khas buat suami isteri. PADAM PERKATAAN CERAI DAN YANG SEANGKATAN DENGANNYA DARI KAMUS HIDUP.

Orang kata kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Ada kes yang suami terlepas cakap pada isteri sebab tak tahan dengan bebelan isteri tu tadi. Bagi pihak isteri pulak, jangan cabar-cabar suami mintak diceraikan.

Orang lelaki ni ada masanya sel otak gagal berhubung bila dalam keadaan tertekan. Bila rasa tercabar, masa tu biasanya ego akan menguasai akal yang sihat. Macam yang biasa kita tengok dalam drama samarinda tu la. Bila yang perempuan cabar mintak pelempang, sekali dilempangnya awak tu betul-betul kan padan muka jawabnya.

Jadi kena ingat selalu. Buang jauh-jauh perkataan cerai dan yang seangkatan dengannya tu dari dalam kamus hidup. Takut-takut terlepas cakap pada pasangan, kan dah menyusahkan lagi kehidupan.

Tips ketiga : Khas buat isteri. IKUT JE CAKAP SUAMI.

Tips ni mungkin ramai isteri-isteri dan bakal menjadi isteri yang agak tak bersetuju. Takkan nak ikut je cakap suami sepanjang masa. Ya, itu yang terbaik untuk anda sebagai seorang isteri. 

Selagi suami tak suruh buat perkara-perkara yang bercanggah dengan syariat Islam dan tak melanggar tatasusila hidup, taatlah setaatnya walaupun perit untuk dihadapi.

Bak kata Ustaz Fawwaz tadi, kalau suami mintak dibuatkan secawan teh ais masa tengah sedap lena pukul dua tiga pagi tu pun turutkan je. Terbentang luas jalan menuju ke syurga kalau ada isteri yang taat macam tu.

Ingat balik tujuan kita bernikah dengan pasangan kita tu. Matlamatnya adalah untuk mencari redha Allah. Kalau ada yang berniat lain tu, perbetulkan semula niat selagi belum terlambat. 

Buat wanita-wanita bergelar isteri dan bakal bergelar isteri, ingat selalu. Setiap gerak sendi tubuh badan tu untuk memberikan khidmat kepada suami walaupun letih, penat dan sebagainya, ganjaran yang dijanjikan oleh Allah itu sangat tidak ternilai. 

Andai suami bertindak kurang waras terhadap ketaatan kita, banyak jalan penyelesaian awal yang boleh diambil selain dari mintak berpisah yang merupakan jalan terakhir bila dah kebuntuan.

Dan kalaulah wanita-wanita bergelar isteri mengerti ganjaran yang dijanjikan Allah tu kerana berkhidmat untuk suami sangat tidak ternilai, mungkin ada yang sanggup dukung suami bila suami sampai kat pintu rumah balik dari pejabat.

Rumahtangga bahagia tu takkan datang dari orang lain. Kita-kita yang bergelar suami isteri ni yang mencorakkannya. Apa pun betulkan niat mengapa kita-kita ni memilih pasangan kita tu untuk kita nikahi dan izinkan untuk dinikahi. 

Semoga perkongsian kali ni dapat memberikan manfaat buat pasangan suami isteri dan bakal-bakal menjadi pasangan suami isteri. 



10 August 2014

Rezeki untuk dikongsi

  Tiada Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulillah petang ni cuaca di Ipoh sejuk berikutan turunnya hujan yang agak lebat. Dalam bulan Syawal ni banyak jugak orang yang mengambil kesempatan untuk melansungkan majlis perkahwinan pada cuti hujung minggu. 

Petang tadi selepas usai solat zohor, aku memenuhi jemputan walimah seorang kenalan. Memang meriah majlisnya. Maklum saja la, perkahwinan anak pertama mereka.

Aku tak menjamah nasi pun sebab dah terasa kenyang lepas makan nasik berlaukkan kambing masak kurma di tempat kerja part-time aku pagi tadi. Cuma sempat la menjamu selera dengan semangkuk mee rebus, sepotong buah 'rock melon' dan semangkuk cendol.

Selepas bersalaman dengan tuan rumah, aku pun segera nak pulang ke rumah. Lagipun langit dah mula kelihatan nak meluahkan isinya. Malangnya bila nak hidupkan motor, tak mau pulak dia hidup. Nak kata minyak dah kering, masih ada berbaki setengah tangki.

Dari pengamatan aku sendiri, memang aku pasti puncanya mesti dari palam pencucuh yang dah tak nak keluarkan api sebab setiap kali aku cuba nak hidupkan lansung tak ada bunyi-bunyi yang menunjukkan enjinnya akan berfungsi.

Hujan pun dah mula turun waktu tu. Pening jugak kepala memikirkan entah ada atau tidak kedai membaiki motorsikal yang bukak petang hujung minggu macam ni. Dengan tawakkal aku mula menolak motor aku tu dengan harapan ada jalan penyelesaian di hujung sana.


Baru dalam 50 meter aku menolak motor, ada seorang hamba Allah yang menunggang motorsikal jugak ni menawarkan bantuan untuk menolak motor aku. Bab ni memang aku tak nafikan, kalo mat-mat motor memang boleh dibagi tabik spring. Walaupun tak kenal siapa orang tu tapi bila nampak penunggang lain dalam masalah, pasti akan cuba untuk menghulurkan bantuan.

Namun oleh kerana destinasi kami tak sama, hamba Allah tadi tu terpaksa meneruskan perjalanannya selepas membantu menolak motor aku separuh jalan. Dengan bertawakkal juga aku memulakan hayunan langkah menolak motor aku dengan harapan selamat tiba ke rumah atau menemui bengkel yang bukak dihujung minggu.

Alhamdulillah baru beberapa langkah, aku disapa oleh seorang penunggang yang bertanyakan berkenaan masalah motor aku. Katanya kalau kehabisan minyak, dia boleh tolong tolakkan hingga ke stesen minyak. 

Aku bagitau pada penunggang motor tu yang motor aku ni mungkin meragam sebab palam pencucuh. Dia menyuruh aku menolak motor aku ke kaki lima bangunan kedai.

Rupa-rupanya dia tu seorang mekanik jalanan. Aku rasa bersyukur sangat. Dan tak dinafikan memang masalahnya berpunca dari palam pencucuh motor aku tu yang dah tak mengeluarkan api.

Dengan bayaran RM25, motor aku kembali pulih. Terima kasih Encik Balan yang membantu. RM25 tu terasa mahal untuk sekadar menukar palam pencucuh ? Bagi orang lain mungkin la tapi tidak bagi aku.

Sambil Encik Balan memeriksa dan menggantikan palam pencucuh motor aku tu, kami juga ada berbual serba sedikit. Bercerita tentang anak. Menurut Encik Balan, dia memiliki enam orang anak. Dia mencari rezeki dengan menjadi mekanik jalanan hanya sebagai kerjaya sambilan bagi menampung perbelanjaan keluarga.

Dan petang tadi, sakunya terisi RM25 hasil usaha beliau mencari rezeki demi keluarga. Sama jugak macam aku. Aku pun ada kerja sambilan. Berusaha berkerja mencari rezeki untuk menampung perbelanjaan keluarga. Walaupun mungkin terpaksa berkerja kuat, dan akhirnya menerima upah yang mungkin bagi orang lain terasa sedikit namun bila difikirkan itulah hasil usaha mencari rezeki yang halal untuk keluarga, di situ ada kepuasannya.

Alhamdulillah dengan izin Allah, kesulitan aku telah dipermudahkan. Ada masanya bila kita susah, kita berdoa pada Allah tapi Allah lambatkan sikit bantuannya. Ada masanya bila kita susah kita berdoa pada Allah, dengan tidak disangka-sangka bantuan itu cepat hadirnya. 

Pengajaran untuk hari ini, janganlah kita lupa untuk sentiasa bertawakkal dan berserah diri kepada Allah. Sabar dengan dugaan dan ujian walaupun terasa dugaan dan ujian itu agak menyusahkan kita. Bila menghadapi kesulitan, ingat Allah banyak-banyak bukannya memaki hamun menyumpah seranah banyak-banyak.

Bagi sesiapa yang menghadapi masalah dengan motorsikal terutamanya disekitar bandar Ipoh samada tayar pecah, kerosakan dan masalah kecil bolehkan menghubungi Encik Balan ditalian 0165367855. InsyaAllah beliau boleh membantu.




05 June 2014

Halal dan Haram

  5 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Baru-baru ni kecoh dengan berita penemuan DNA babi di dalam kandungan cokelat jenama Cadbury. Dan bermulalah keluarnya rantaian-rantaian peringatan berkenaan berbagai lagi produk-produk yang tersembunyi keharamannya.

Tak lama kemudian keluar pula kenyataan dari pihak pengeluar sijil halal yang mengatakan bahawa produk jenama Cadbury tersebut berstatus halal setelah dibuat kajian semula.

Berkenaan isu tersebut, maka rakyat jelata pun menjadi keliru dan ada yang marah-marah. Ada yang bersumpah hilang kepercayaan kepada pihak yang mengendalikan kes tersebut. Ada juga yang mencabar para mufti dan ketua-ketua agama yang mendahulukan memakan cokelat berjenama Cadbury tersebut sebelum ianya dimakan oleh orang-orang awam.

Pemikiran tahap apakah itu semua ? Memang benar babi itu haram dimakan oleh orang Islam. Tapi yang itu saja menempel tebal di dalam benak minda masyarakat kita.

Meninggalkan kefardhuan solat itu haram, tapi ada siapa-siapa kesah ? Mencabuli ibadat puasa dibulan Ramadan itu haram, tapi ada siapa-siapa yang nak kecoh ?

Bertudung tapi bentuk tubuh terdedah dek keketatan pakaian yang membalut tubuh itu haram, tapi ada siapa-siapa yang nak pertikaikan ? Bercampur gaul antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram itu haram, tapi ada rakyat jelata nak bising ?

Fikirkan kembali, apakah yang memomokkan kita dengan haramnya babi tu ? Apakah andai TERmakan maka kita mendapat murka ALLAH hingga tidak terkesan taubat ?

Bagaimana pula dengan keharaman yang lain tu ? ALLAH haramkan mendedahkan aurat, ALLAH haramkan meninggalkan solat fardhu, ALLAH haramkan riba, ALLAH haramkan rasuah, ALLAH haramkan menfitnah dan sebagainya, adakah kita beranggapan perkara-perkara itu cumalah sekelumit dosa yang sekadar beristighfar maka akan terampun.

Ada sebab kenapa dan mengapa ALLAH meletakkan sesuatu perkara itu halal dan haram. Apa yang halal itu sangat dituntut untuk kita mencari dan mendapatkannya manakala yang haram itu kita dituntut untuk menjauhi dan mengelakkannya.





01 June 2014

Tinggalkan keraguan

  6 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kita semua sedia maklum pada zaman sekarang ni media sosial memainkan peranan yang begitu meluas dalam penyebaran berbagai maklumat.

Ada maklumat yang berguna, ada juga maklumat yang bercelaru. Ada maklumat yang sahih dan ada juga maklumat yang palsu. Semuanya tersebar meluas melalui dunia maya.

Harus kita beringat dan berhati-hati setiap kali kita membaca setiap maklumat dan perkongsian yang dipaparkan kerana ada kalanya boleh menjadikan kita hilang keyakinan dalam sesuatu perkara.

Lebih-lebih lagi bila perkara yang melibatkan soal aqidah dan ibadah harian kita. Biasa yang aku perhatikan, ada sesetengah pihak yang mungkin berniat baik dalam penyebaran maklumat namun kebanyakannya adalah hasil plagiat dari sumber orang lain.


Menjadikan lebih bermasalah sekiranya orang yang membaca maklumat itu pula terus menerus mempercayai apa yang dibaca tanpa ada kajian lanjut berkenaan sesuatu perkara yang dikongsikan itu.

Dan yang paling mengharukan pula, penyebar maklumat tersebut sendiri tiada maklumat dan pengetahuan yang mendalam untuk menghujahkan maklumat yang dikongsikan.

Sebagai satu contoh yang pernah aku perhatikan adalah berkenaan mandi junub. Penyebar maklumat itu pula meletakkan perkongsiannya tanpa merisik sumber-sumber lain di bawah tajuk yang sama.

Bagi orang yang arif tentang hukum mungkin tidak menjadi masalah kerana mereka tahu kemaslahatan hukum dan sebagainya. Namun bagi orang yang kurang arif, pastinya akan menjadi ragu-ragu sekiranya mendapat tahu bahawa selama hidupnya ibadat yang dilakukan tidak sah kerana 'tersalah' mandi junub.

Perlu kita ingat, apabila kita menyebarkan ilmu haruslah kita menjadi orang yang menghilangkan keraguan terhadap orang lain yang berkongsi ilmu yang kita sebarkan itu. 

Dan bagi yang menuntut ilmunya pula, sentiasa kita beringat untuk tinggalkan keraguan andai apa yang kita perolehi itu mendatangkan keraguan. Bertanya pada yang arif dan ahlinya. Jangan kita hidup dalam keadaan was-was sepanjang hayat.