30 April 2014

Memuliakan Tetamu

  4 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Baru-baru ini negara kita menerima kunjungan dari Presiden Amerika, Barrack Obama yang dalam misinya melawat negara-negara Asean. 

Berbagai reaksi dari segenap lapisan masyarakat tentang kedatangan Barrack Obama ke negara kita. Di media sosial misalnya, ada yang mengalu-alukan kedatangan Presiden Amerika itu akan tetapi kebanyakkannya banyak yang menentang dan tidak mempersetujui kunjungannya ke negara ini.

Dari pemerhatian aku di laman-laman media sosial, aku merasa sedikit sesal kerana kebanyakkan yang menentang dan tidak mempersetujui kunjungan Presiden Amerika itu adalah dikalangan orang-orang melayu yang beragama Islam.


Apakah begitu ciri-ciri Islam yang ada dalam diri kita ? Mengherdik dan menidakkan hak seseorang tetamu yang bertandang ke tempat kita walaupun tetamu itu bukan seagama dengan kita? Apakah sikap begini yang kita perlu praktikkan di dalam Islam ?

Mungkin kita jahil, tapi tidak mahu mengaku. Itu tidak mengapa kerana mungkin ilmu belum sampai kepada kita. Tapi janganlah kita lupa Nabi SAW pernah bersabda di dalam hadis Baginda berkenaan memuliakan tetamu. Malah Nabi SAW sendiri di dalam melayani tetamu-tetamu Baginda walaupun ternyata yang bukan Islam, Baginda sangat memuliakan mereka.

Situasi ini sangat memalukan buat kita yang mengakui mengamalkan gaya hidup Islam dan mengikuti ajaran Islam. Bukankah Islam itu agama yang membawa kesejahteraan ? Bukannya agama yang membawa permusuhan.

Bila orang yang bukan Islam mengatakan orang-orang Islam itu sebagai pengganas atau terrorist, kita menafikan sekeras-kerasnya akan tetapi kita sendiri yang menampilkan sifat-sifat pengganas terhadap mereka.

Lucunya, dalam kita menunjukkan kebencian yang teramat terhadap mereka yang kita katakan kafir penjahat penakluk penyusah umat dan sebagainya itu, tapi dalam masa yang sama kita sendiri yang begitu berbangga memiliki dan menggunakan produk-produk keluaran mereka. 




29 April 2014

Minda terpengaruh

  4 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Suatu hari ketika sesi rehat baru bermula aku dihampiri seorang pelajar lelaki yang duduk di meja paling belakang di dalam kelas.

"Cikgu, betul ke kalau selalu kena pukul nanti badan jadi berketul-ketul ?", tanya murid tersebut.

"Kalau nak badan berketul-ketul kena selalu bersenam. Siapa yang cakap macam tu ?", soal aku kembali.

"Kawan yang bagitau". Jelasnya ringkas lalu terus berlari keluar dari kelas.


Aku terkesima seketika. Memikirkan perkara yang bermain di dalam minda anak murid aku tu. Baru berusia 10 tahun tetapi sudah mula mudah dipengaruhi dengan telahan rakan sebaya.

Mungkin juga pengaruh dari filem-filem masakini yang penuh dengan lambakan aksi-aksi bergaduh, bergasak, bertumbuk, berterajang membuatkan minda-minda muda diracuni dengan fahaman hidup ini perlu menjadi orang yang kuat untuk berkuasa.

Dan dari pemerhatian aku terhadap anak-anak murid aku, bila diberikan pilihan memilih karakter, semestinya karakter yang kuat dan berkuasa menjadi pilihan utama.

Dari sudut positifnya bagus la sebab ada usaha untuk menjadi yang terhebat. Namun dari sudut negatifnya, takut  keterbawaan sikap dan sifat karakter idola tersebut tertanam di dalam jiwa hingga membawa ke alam kehidupan.

Dengan cabaran media yang meluas masakini, ibu bapa juga perlu mengambil sikap ambil peduli terhadap perkembangan anak-anak. Jangan kita terlalu sibuk menyediakan kehidupan yang sempurna dengan menyediakan setiap keperluan fizikal ahli keluarga hingga kita terlupa untuk menyempurnakan keperluan rohani mereka.





18 April 2014

Hanyut dalam konspirasi

  9 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulillah kita semua sudah melepasi suku pertama tahun 2014 yang penuh dengan kisah dan hikayat samada yang menggembirakan mahupun yang mendukacitakan.

Membawa ke sukuan kedua, masih berlegar lagi kisah-kisah dari sukuan pertama yang bagaikan tiada berpenghujung. Dengan misteri kehilangan pesawat, provokasi antara parti politik yang semakin menjadi-jadi, keghairahan peminat dan penyokong sukan yang semakin hilang kewarasan, penyelewengan agama dan berbagai lagi kisah-kisah menegakkan benang yang basah mewarnai kehidupan kita masakini.


Dengan kepantasan jaringan hubungan sosial yang semakin menular, pelbagai maklumat dan info begitu cepat diperolehi. Hinggakan yang bukan ahlinya pun turut sama ingin merancakkan perdebatan maya malah ada yang sampai bertelagah sesama sendiri.

Lagaknya manusia yang hidup di zaman siber sekarang ini terutama yang beragama Islam bagaikan terlupa kepada rukun iman yang menjadi tunjang pegangan kita semenjak lahir hinggalah ke liang lahad.

Kita membiarkan pegangan kita hanyut dengan fahaman konspirasi, teori, andaian dan apa sahaja pemikiran terhadap sesuatu apa yang berlaku tanpa mengembalikan segalanya adalah hak milik mutlak ALLAH dalam menetapkan qada dan qadar terhadap setiap makhluk-NYA.

Dalam diam mungkin ada yang berasakan dirinya bermartabat rasul apabila menyampaikan sesuatu perkhabaran berikutan ramainya pengikut dan penyokong yang terkadang membuta tuli membenarkan setiap perkhabaran itu.

Andainya berlaku perbalahan, masing-masing ingin mempertahankan hujah-hujah mereka sehinggakan ada yang sanggup terang-terangan merendahkan martabat orang lain tanpa memperdulikan samada kita menyelak keaiban orang lain atau tidak.

Janganlah kita menjadikan kemudahan dalam bersosial di alam maya ini sebagai satu punca mengapa ALLAH tidak akan menimpakan bala terhadap kita semua. 


17 April 2014

P1 oh P1

  4 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bila aku cakap aku menggunakan perkhidmatan P1 Wimax untuk capaian internet di rumah agaknya ramai yang tak sabar-sabar nak suruh aku tukar kepada pembekal internet yang lain.

Sejarah aku bersama P1 ni bermula sejak tahun 2009. Ketika itu aku mengunjungi pameran I.T yang dianjurkan oleh PIKOM di Ipoh. Kebetulan pula waktu tu aku telah berjaya dihasut oleh wakil jualan P1 untuk menggunakan perkhidmatan mereka dan bermula dari situlah riwayat suka duka aku bersama P1.

Pada waktu itu sememangnya aku sedang mencari-cari penyedia perkhidmatan internet untuk aku gunakan di rumah. Dari kesemua pembekal yang ada waktu tu, cuma P1 yang menawarkan harga mampu bayar pada aku.


Walaupun dengan kuota 5Gb penggunaan pada bayaran RM49 setiap bulan waktu itu, pada aku kira boleh la sebab penggunaan pun tak kerap. Hanya untuk menyemak e-mel dan menghubungi keluarga melalui penggunaan laman sosial.

Kemudiannya aku ditawarkan pula dengan plan kuota penggunaan sebanyak 25Gb pada bayaran RM84 setiap bulan. Disebabkan anak aku yang semakin membesar dan ibunya yang gemar menonton drama-drama Korea di internet, aku pun bertukar plan.

Sepanjang aku menggunakan perkhidmatan P1, pernah juga perkhidmatan digantung akibat pembayaran tertunda yang belum dijelaskan. Memang salah aku la tu sebab tak nak bayar cuma yang rasa tidak seronok tu walaupun perkhidmatan digantung, tapi bil tetap berjalan seperti biasa.

Tentang masalah bil berjalan terus oleh P1 ni la yang membuatkan ramai yang membenci P1. Tu tak termasuk dengan sistem yang kelihatan tidak seragam dan banyak yang menyusahkan pengguna.

Belum lagi menceritakan tentang tahap kelajuan capaian internet yang dibekalkan oleh P1, memang agak menyedihkan. Hingga waktu entri ini ditaip, sudah menghampiri tiga minggu talian internet yang disediakan oleh P1 bagi penggunaan kat rumah aku ni macam lintah bulan.

Samada waktu puncak ke, waktu tak puncak ke, memang lembab dan tidak bertamadun je rasanya sistem yang disediakan oleh P1 ni. Tapi bab menuntut bayaran laju je mereka menghantar notis samada melalui e-mel mahupun khidmat pesanan ringkas.

Dan itu pun belum lagi menceritakan penderitaan dan penganiayaan terhadap pengguna-pengguna dan bekas pengguna perkhidmatan P1 yang terpaksa menanggung hutang tanpa sedar sehingga ada yang mengakibatkan nama disenarai-hitam oleh pihak kewangan.

Sebagai pengguna yang lebih banyak merasai pengalaman buruk bersama P1, aku sangat-sangat tidak mengesyorkan perkhidmatan dari P1 kecuali sekiranya selepas mereka menjadikan perkhidmatan mereka sebagai yang terbaik antara yang terbaik.



10 April 2014

Akhir zaman

  3 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Segala kesyukuran dan pujian bagi ALLAH yang mengizinkan kita semua untuk terus menikmati segala kurniaan-NYA mudah-mudahan dapat kita manfaatkan dengan sebaik yang mungkin.

Akhir-akhir ini melalui perkongsian di media-media sosial terdapat banyak artikel artikel dan hebahan yang mengatakan berkenaan akhir zaman. Berbagai teori dan spekulasi yang dikaitan dengan kedatangan saat akhir zaman ini.

Dalam masa yang sama juga muncul individu-individu yang mendakwa telah melakukan kajian tentang situasi yang berlaku masakini antara munculnya saat akhir zaman malah ada juga yang berani meramalkan saat tibanya hari kiamat pada sekian-sekian waktu terdekat.

Memang tidak dinafikan terdapat nas-nas hadis Rasulullah SAW yang menceritakan perihal akhir zaman. Dan tidak menjadi kesalahan kiranya kita mengambil langkah awal untuk menghadapi situasi akhir zaman bagi menyelamatkan diri dan ahli keluarga kita.

Cuma yang menjadi persoalan, kebanyakan kita mempersiapkan diri dengan perkara yang sedikit-sedikit sebagai bekalan bagi menghadapi apa jua kemungkinan. 

Waktu inilah baru nak menghafal atau mengamalkan surah-surah tertentu dengan harapan terhindar dari fitnah akhir zaman. Alhamdulillah andai kita tersedar kehidupan kita yang semakin menjauhi rahmat ALLAH lantas kita menghampiri-NYA kembali.

Namun apakah kita hendak menjadi hamba-NYA yang hanya mengamalkan sebahagian dari isi kandungan kitab-NYA dan meninggalkan sebahagian yang lain ?

Tatacara kehidupan kita adakah mengikuti landasan yang disyariatkan melalui firman-firman-NYA dan hadis Rasulullah SAW ? Amalan ibadah kita bagaimana ? Hubungan kita dengan ALLAH bagaimana ? Hubungan kita sesama manusia bagaimana ? Hubungan kita sesama makhluk juga bagaimana ?

Bacalah firman ALLAH pada Surah Al-Baqarah ayat yang ke 208, 


Maksudnya, "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam ISLAM secara menyeluruh dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya dia (syaitan) bagi kamu adalah musuh yang nyata".

Dari itu, bersama-samalah kita memperbaiki diri untuk melaksanakan amalan dalam kehidupan kita secara keseluruhannya bukan cukup hanya amalan-amalan tertentu sebagai santapan jiwa dan minda.

Selagi nyawa masih dikandung jasad, masih ada peluang untuk kita bertaqarrub, mendekatkan diri kepada Sang Pencipta yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.