27 August 2014

Pengalaman bersama khidmat pelanggan

  8 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bagi kebanyakan syarikat mesti ada menyediakan pusat khidmat pelanggan untuk menguruskan pelanggan-pelanggan yang memerlukan bantuan berkenaan produk syarikat.

Dan seharusnya bagi individu yang diamanahkan untuk menguruskan bahagian khidmat pelanggan ni sepatutnya arif untuk memberikan setiap maklumat yang diperlukan oleh pelanggan dengan tepat.

Baru-baru ini aku berurusan dengan dua perkhidmatan khidmat pelanggan dari dua syarikat penerbangan utama negara. Kisah pertama tu sebab aku terkeliru dengan terma dan syarat untuk daftar masuk melalui laman web.

Hanya dua kaedah yang aku gunakan. Hubungi khidmat pelanggan melalui 'live chat' yang disediakan syarikat dan melalui laman twitter syarikat. 

Disebabkan terpaksa menunggu agak lama untuk dilayan melalui 'live chat' yang disediakan, aku mengajukan persoalan ke laman twitter syarikat. Kebetulan pula dimasa aku sedang berbalasan 'twit', giliran untuk aku ber'live chat' pun tiba.

Persoalan yang sama aku tujukan kepada pengendali 'live chat' syarikat tersebut. Cuma yang aku rasa tak seronok apabila jawapan yang aku perolehi dari kedua-dua kaedah sangat bercanggah. Sorang kata boleh, sorang lagi kata tak boleh.

Paling aku tak gemar bila kita yang mahukan penjelasan lebih ni disuruh baca sendiri dilaman FAQ's syarikat mereka. Bukan la kita ni pelanggan kelas kambing yang bebal sangat tak baca semua tu cuma sebagai pelanggan ada kalanya memerlukan khidmat nasihat dan penerangan yang lebih dari pihak syarikat tu sendiri.

Update : Persoalan selesai melalui laman twitter syarikat tersebut. Siap dengan penjelasan lagi dibaginya agar aku tidak tertanya-tanya lagi dah.

Pengalaman kedua pulak sehingga entri ini ditulis, masih belum selesai dan masih dalam siasatan. Bagi permasalahan kedua ni disebabkan berlakunya sedikit khilaf antara urusan pembayaran dan pengesahan tiket.

Aku terpaksa menggunakan perkhidmatan panggilan disebabkan permasalahan ini berkaitan dengan wang ringgit. Pembayaran sudah dibuat tapi pengesahan tempahan tiket tiada. Siapa nak ganti duit tu kalau tiada susulan.


Satu perkara yang aku kurang berminat dengan perkhidmatan panggilan ni ialah terpaksa menunggu sangat lama. Kalau panggilan percuma tu tak mengapa juga. Seharian menunggu pun aku sanggup.

Menunggu lama tu memang dah perkara wajib bila kita menghubungi pusat khidmat pelanggan. Mahu tak mahu, kalau sesuatu permasalahan tu perlu jawapan segera memang terpaksa la menunggu panggilan berjawab.

Mesin operator pulak berkali-kali nak ulang "panggilan anda adalah penting buat kami". Mesti la penting sebab kalau tak penting buat apa nak dihubungi. Bila dah bersambung dengan individu pulak, bukan nak ada kata minta maaf kerana menunggu.

Perkara yang buat aku panas hati tu bila disuruh tunggu lagi sebab nak buat semakan. Bukan seminit. Bukan dua minit. Lebih dari 15 minit aku menunggu. Siap aku menyanyi merapu meraban macam orang gila manakala dihujung talian sunyi sepi macam takde orang.

Panggilan kedua yang aku buat ok la sikit. Talian bersambut dan dilayan. Cuma yang aku agak tak suka bila akhirnya operator tu kata, "Encik kena hubungi semula pagi esok untuk pengesahan"

Bermakna aku terpaksa menghabiskan kredit dan masa untuk permasalahan yang aku hadapi ni. Operator tu pulak siap gelak bila aku cakap,"Jadi saya perlu menunggu lama lagi la esok untuk selesaikan masalah ni ?".

Tolonglah. Kalau syarikat jual kacang kuda mungkin aku boleh terima lagi. Ni syarikat besar. Sepatutnya perlu la bersikap profesional. Bukan memudahkan pelanggan tapi lebih menyusahkan pulak. 

Aku tak pasti la polisi syarikat tu macam mana, tapi apa yang aku harapkan mana-mana syarikat yang menggunakan perkhidmatan pusat panggilan ni silalah latih pekerja-pekerja talian tu dengan lebih cekap lagi untuk membantu dan memudahkan pelanggan. Bukan menambah masalah pelanggan.

Update : Masalah selesai dan perkhidmatan panggilan pagi ini berjalan lancar dan memuaskan.




23 August 2014

Berkahwin kerana Seks

  8 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Agak panas tajuk entri hari ni walaupun keadaan diluar sana hujan sedang turun mencurah-curah ketika entri ini ditaip.

Bila baca je tajuk tu mesti berbagai pendapat dan pemikiran yang berlegar-legar dalam fikiran masing-masing. Ada yang menjurus ke arah positif dan mungkin tak kurang juga yang menjurus ke arah negatif.

Ada yang barangkali menyokong dan ada juga yang mempunyai hujah-hujah tersendiri untuk membangkang. Itu semua terpulang pada pendapat masing-masing yang mungkin mempunyai cara tersendiri untuk mentafsirkannya.

Maklum kita tahu, berkahwin atau bernikah antara tujuan lainnya adalah untuk menghalalkan perhubungan antara seorang lelaki dan seorang wanita. Halalnya perhubungan itu bukan sahaja dari segi pergaulan secara lahiriah umum, malah termasuk juga pada pergaulan secara batiniah.


Sudah tentu dengan pernikahan atau perkahwinan sedikit sebanyak mampu untuk menewaskan nafsu yang barangkali sukar dibendung. Dengan adanya pasangan yang halal, tidak menjadi masalah untuk mendatangi pasangan itu bila-bila masa dan bagaimana juga caranya asalkan mengikut garis panduan syariat yang benar.

Memang ada juga yang sudah mempunyai pasangan halal namun masih lagi mencari-cari yang haram diluar sana. Ada juga yang had usianya sudah mencapai tahap terlebih dewasa namun akal pemikirannya mengalahkan kanak-kanak yang belum mummayiz.

Ada yang pernah menyangkal dengan bernikah muda dapat mengelakkan berlakunya zina. Malah mendatangkan sekali dengan hujah bersandarkan hadis dan ayat Quran.

Seperti yang dinyatakan di atas tadi, itu terpulang pada pendapat masing-masing kerana memang kita manusia ini sering berbeza-beza pemikirannya. Cuma kita perlu fikirkan, adakah saranan dari baginda Rasulullah SAW itu hanya kerana mengikut logik akalnya sahaja ?

Andai ada anak-anak muda yang ingin berkahwin dan bernikah awal usia, tidak perlu kita momokkan mereka dengan berbagai logik akal. Sebagai orang dewasa yang lebih memahami dan berpengalaman, harusnya kita menjadi pendokong dan penyokong malah membantu anak-anak muda ini untuk berada dilandasan yang betul.

Kalau kita yang dewasa ini merosakkan pemikiran mereka dengan pengalaman dan pemikiran buruk kita, sudah tentu mereka tidak melihat sebarang penyelesaian dari apa yang disarankan oleh agama. 

Jadi, fikir-fikirkanlah. Bukanlah ianya menjadi niat utama, namun itu sebahagian dari nikmat yang ALLAH kurniakan kepada hamba-hambaNYA yang mengikuti jalan yang ditunjukkanNYA.


 

18 August 2014

Betul ke iPhone 5s gajet impian setiap blogger ?

  3 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kalau tengok pada tajuk entri kali ni sebenarnya andai diberikan peluang untuk memiliki iPhone 5s secara percuma tanpa perlu membayar satu sen pun, bukan sahaja ianya menjadi impian setiap blogger malah impian semua orang.

Bagi yang mempunyai impian sebegitu, sekali lagi blogger Denaihati menganjurkan kontest cabaran untuk penulis-penulis blog senusantara berebut peluang bagi memiliki hadiah utama yang berupa iPhone 5s bagi pemenang yang bertuah.

Dalam cabaran iPhone yang lepas, aku hanya mampu untuk berada dalam kumpulan peserta akhir tapi gagal untuk menjadi yang terbaik menyebabkan impian terpendam begitu sahaja.

Entri yang aku kongsikan ini pun sebenarnya berpunca dari sebuah perkongsian dilaman Facebook yang tiada kena mengena dengan kontest yang dianjurkan berkenaan tentang berkongsi pendapat atas satu persoalan.

Persoalan yang diajukan tu lebih kurang begini la. 

"Adakah berbaloi untuk memiliki sebuah iPhone 5s dengan skim bayaran bulanan".

Gambar sekadar hiasan

Kalau tanya pendapat aku, sudah tentu aku akan jawab ianya tidak berbaloi. Samada bagi individu bujang mahupun yang berkeluarga.

Perlu kita ingat kemudahan pembiayaan melalui skim ansuran bulanan tak kira dari apa punca pun, ianya bertujuan bagi memudahkan sedikit (tapi menyusahkan banyak)  pengguna-pengguna yang berpendapatan sederhana atau rendah untuk memenuhi keperluan hidup terutamanya bagi memiliki barangan keperluan.

Bagi yang berkeluarga, adalah lebih baik jikalau ingin menggunakan perkhidmatan bayaran ansuran itu dengan tujuan untuk memiliki barangan atau kegunaan yang boleh dimanfaatkan oleh seluruh ahli keluarga.

Buat yang masih bujang pula, jangan biasakan diri dengan skim berhutang ni. Kelak terbiasa nanti malap pula masa hadapan. Kalau teringin juga, belajarlah menabung.

"apa bezanya kalau menabung dengan membayar jumlah yang ditetapkan setiap bulan tu ?"

Memang sangat berbeza. Kalau menabung, kita perlu mengambil masa yang mungkin agak lama untuk memiliki apa yang kita hajati itu tapi dah tentu dengan tabungan yang ada kita boleh membuat pilihan lain pula jika ada yang terkenan dihati.

Kalau memilih untuk mengikat kontrak membayar secara ansuran sehingga tempoh yang ditetapkan pula, memang apa yang kita ingini itu dapat kita perolehi tapi kita terpaksa pula menanggung syarat-syarat yang telah ditetapkan malah kita terpaksa membayar lebih dari jumlah sebenar.

Apa pun pilihan itu tetap ditangan masing-masing. Tepuk dada tanyalah iman. Antara keperluan dan kehendak itu ada jurang perbezaan yang sangat luas. Kalau nak jugak, nanti aku akan kongsikan macam mana nak dapatkan iPhone 5s secara percuma.



16 August 2014

Tips rumahtangga bahagia

  9 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulillah walaupun malam tadi hanya dapat melelapkan mata kurang dua jam, pagi tadi berjaya juga menghadirkan diri ke seminar pemantapan aqidah dan penerangan halal dan haram di dalam Islam.

Petang sikit kalau cuaca mengizinkan nak buat operasi pembersihan kat luar rumah. Semalam dah kena amaran dengan bahagian kawalan nyamuk sebab penemuan sekumpulan jentik-jentik di kawasan rumah aku ni. Nasib baik amaran je. Kalau kena kompaun, hangus RM500 dibuatnya.

InsyaAllah dalam entri kali ni aku nak berkongsi sikit tips untuk menjaga keutuhan hubungan rumahtangga. Tak banyak pun, cuma ada tiga tips yang mudah nak dipraktikkan dan diingati.


Bila hidup berumahtangga ni memang la banyak cabaran dan dugaan yang melanda. Bila keadaan tidak terkawal, tu yang boleh meningkatkan statistik penceraian yang mana seboleh-bolehnya perlu kita elakkan.

Jom kita tengok tiga tips rumahtangga yang dikongsikan oleh Ustaz Fawwaz Md Jan masa off-topic dalam seminar tadi dan tak salah kalau kita kongsikan pulak pada orang-orang yang kita sayang.

Tips pertama : Khas buat suami. JANGAN MELAWAN CAKAP BILA ISTERI MEMBEBEL.

Dan memang fitrah orang perempuan suka banyak bunyi tul tak ? Dan kadang-kadang tu tak kira waktu, asalkan dia rasa nak bercakap pasti dia akan cakap. Sebagai suami, jangan sekali-kali kita melawan bebelan isteri tu. 

Biarkan je isteri kita tu puas meluahkan rasa tak puas hati tu. Bukan nak biarkan isteri menjadi derhaka tapi kalau bukan pada kita ni yang bergelar suami mereka, takkan nak biar isteri kita meluahkan perasaan pada orang lain pulak.

Tahan je telinga tu bang. Itu la wanita yang kita pilih untuk jadi peneman hidup sepanjang hayat. Bila lagi nak jadi pendengar yang setia kepada celoteh dan bebelan dari orang yang kita cintai. Kalau perlu menjawab, cukup dengan jawapan "okay" je.

Tips kedua : Khas buat suami isteri. PADAM PERKATAAN CERAI DAN YANG SEANGKATAN DENGANNYA DARI KAMUS HIDUP.

Orang kata kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Ada kes yang suami terlepas cakap pada isteri sebab tak tahan dengan bebelan isteri tu tadi. Bagi pihak isteri pulak, jangan cabar-cabar suami mintak diceraikan.

Orang lelaki ni ada masanya sel otak gagal berhubung bila dalam keadaan tertekan. Bila rasa tercabar, masa tu biasanya ego akan menguasai akal yang sihat. Macam yang biasa kita tengok dalam drama samarinda tu la. Bila yang perempuan cabar mintak pelempang, sekali dilempangnya awak tu betul-betul kan padan muka jawabnya.

Jadi kena ingat selalu. Buang jauh-jauh perkataan cerai dan yang seangkatan dengannya tu dari dalam kamus hidup. Takut-takut terlepas cakap pada pasangan, kan dah menyusahkan lagi kehidupan.

Tips ketiga : Khas buat isteri. IKUT JE CAKAP SUAMI.

Tips ni mungkin ramai isteri-isteri dan bakal menjadi isteri yang agak tak bersetuju. Takkan nak ikut je cakap suami sepanjang masa. Ya, itu yang terbaik untuk anda sebagai seorang isteri. 

Selagi suami tak suruh buat perkara-perkara yang bercanggah dengan syariat Islam dan tak melanggar tatasusila hidup, taatlah setaatnya walaupun perit untuk dihadapi.

Bak kata Ustaz Fawwaz tadi, kalau suami mintak dibuatkan secawan teh ais masa tengah sedap lena pukul dua tiga pagi tu pun turutkan je. Terbentang luas jalan menuju ke syurga kalau ada isteri yang taat macam tu.

Ingat balik tujuan kita bernikah dengan pasangan kita tu. Matlamatnya adalah untuk mencari redha Allah. Kalau ada yang berniat lain tu, perbetulkan semula niat selagi belum terlambat. 

Buat wanita-wanita bergelar isteri dan bakal bergelar isteri, ingat selalu. Setiap gerak sendi tubuh badan tu untuk memberikan khidmat kepada suami walaupun letih, penat dan sebagainya, ganjaran yang dijanjikan oleh Allah itu sangat tidak ternilai. 

Andai suami bertindak kurang waras terhadap ketaatan kita, banyak jalan penyelesaian awal yang boleh diambil selain dari mintak berpisah yang merupakan jalan terakhir bila dah kebuntuan.

Dan kalaulah wanita-wanita bergelar isteri mengerti ganjaran yang dijanjikan Allah tu kerana berkhidmat untuk suami sangat tidak ternilai, mungkin ada yang sanggup dukung suami bila suami sampai kat pintu rumah balik dari pejabat.

Rumahtangga bahagia tu takkan datang dari orang lain. Kita-kita yang bergelar suami isteri ni yang mencorakkannya. Apa pun betulkan niat mengapa kita-kita ni memilih pasangan kita tu untuk kita nikahi dan izinkan untuk dinikahi. 

Semoga perkongsian kali ni dapat memberikan manfaat buat pasangan suami isteri dan bakal-bakal menjadi pasangan suami isteri. 



10 August 2014

Rezeki untuk dikongsi

  Tiada Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulillah petang ni cuaca di Ipoh sejuk berikutan turunnya hujan yang agak lebat. Dalam bulan Syawal ni banyak jugak orang yang mengambil kesempatan untuk melansungkan majlis perkahwinan pada cuti hujung minggu. 

Petang tadi selepas usai solat zohor, aku memenuhi jemputan walimah seorang kenalan. Memang meriah majlisnya. Maklum saja la, perkahwinan anak pertama mereka.

Aku tak menjamah nasi pun sebab dah terasa kenyang lepas makan nasik berlaukkan kambing masak kurma di tempat kerja part-time aku pagi tadi. Cuma sempat la menjamu selera dengan semangkuk mee rebus, sepotong buah 'rock melon' dan semangkuk cendol.

Selepas bersalaman dengan tuan rumah, aku pun segera nak pulang ke rumah. Lagipun langit dah mula kelihatan nak meluahkan isinya. Malangnya bila nak hidupkan motor, tak mau pulak dia hidup. Nak kata minyak dah kering, masih ada berbaki setengah tangki.

Dari pengamatan aku sendiri, memang aku pasti puncanya mesti dari palam pencucuh yang dah tak nak keluarkan api sebab setiap kali aku cuba nak hidupkan lansung tak ada bunyi-bunyi yang menunjukkan enjinnya akan berfungsi.

Hujan pun dah mula turun waktu tu. Pening jugak kepala memikirkan entah ada atau tidak kedai membaiki motorsikal yang bukak petang hujung minggu macam ni. Dengan tawakkal aku mula menolak motor aku tu dengan harapan ada jalan penyelesaian di hujung sana.


Baru dalam 50 meter aku menolak motor, ada seorang hamba Allah yang menunggang motorsikal jugak ni menawarkan bantuan untuk menolak motor aku. Bab ni memang aku tak nafikan, kalo mat-mat motor memang boleh dibagi tabik spring. Walaupun tak kenal siapa orang tu tapi bila nampak penunggang lain dalam masalah, pasti akan cuba untuk menghulurkan bantuan.

Namun oleh kerana destinasi kami tak sama, hamba Allah tadi tu terpaksa meneruskan perjalanannya selepas membantu menolak motor aku separuh jalan. Dengan bertawakkal juga aku memulakan hayunan langkah menolak motor aku dengan harapan selamat tiba ke rumah atau menemui bengkel yang bukak dihujung minggu.

Alhamdulillah baru beberapa langkah, aku disapa oleh seorang penunggang yang bertanyakan berkenaan masalah motor aku. Katanya kalau kehabisan minyak, dia boleh tolong tolakkan hingga ke stesen minyak. 

Aku bagitau pada penunggang motor tu yang motor aku ni mungkin meragam sebab palam pencucuh. Dia menyuruh aku menolak motor aku ke kaki lima bangunan kedai.

Rupa-rupanya dia tu seorang mekanik jalanan. Aku rasa bersyukur sangat. Dan tak dinafikan memang masalahnya berpunca dari palam pencucuh motor aku tu yang dah tak mengeluarkan api.

Dengan bayaran RM25, motor aku kembali pulih. Terima kasih Encik Balan yang membantu. RM25 tu terasa mahal untuk sekadar menukar palam pencucuh ? Bagi orang lain mungkin la tapi tidak bagi aku.

Sambil Encik Balan memeriksa dan menggantikan palam pencucuh motor aku tu, kami juga ada berbual serba sedikit. Bercerita tentang anak. Menurut Encik Balan, dia memiliki enam orang anak. Dia mencari rezeki dengan menjadi mekanik jalanan hanya sebagai kerjaya sambilan bagi menampung perbelanjaan keluarga.

Dan petang tadi, sakunya terisi RM25 hasil usaha beliau mencari rezeki demi keluarga. Sama jugak macam aku. Aku pun ada kerja sambilan. Berusaha berkerja mencari rezeki untuk menampung perbelanjaan keluarga. Walaupun mungkin terpaksa berkerja kuat, dan akhirnya menerima upah yang mungkin bagi orang lain terasa sedikit namun bila difikirkan itulah hasil usaha mencari rezeki yang halal untuk keluarga, di situ ada kepuasannya.

Alhamdulillah dengan izin Allah, kesulitan aku telah dipermudahkan. Ada masanya bila kita susah, kita berdoa pada Allah tapi Allah lambatkan sikit bantuannya. Ada masanya bila kita susah kita berdoa pada Allah, dengan tidak disangka-sangka bantuan itu cepat hadirnya. 

Pengajaran untuk hari ini, janganlah kita lupa untuk sentiasa bertawakkal dan berserah diri kepada Allah. Sabar dengan dugaan dan ujian walaupun terasa dugaan dan ujian itu agak menyusahkan kita. Bila menghadapi kesulitan, ingat Allah banyak-banyak bukannya memaki hamun menyumpah seranah banyak-banyak.

Bagi sesiapa yang menghadapi masalah dengan motorsikal terutamanya disekitar bandar Ipoh samada tayar pecah, kerosakan dan masalah kecil bolehkan menghubungi Encik Balan ditalian 0165367855. InsyaAllah beliau boleh membantu.