29 September 2014

Mengajar dan belajar

  9 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kalendar persekolahan menjelang penghujung tahun ni dah tentu dipenuhi dengan tarikh-tarikh peperiksaan. Guru-guru yang berdedikasi mesti tengah pulun bagi ulangkaji kat anak-anak murid. 

Calon-calon UPSR 2014 pulak ada yang bermuram durja akibat kes kebocoran soalan-soalan peperiksaan UPSR 2014 lantas terpaksa menduduki semula peperiksaan.

Masuk penghujung tahun ni jugak lambakan kerja di pejabat sekolah semakin menimbun. Menguruskan rekod pelajar yang bakal naik ke tahun seterusnya. Menguruskan penyata kewangan tahunan.


Sejak aku mengambil alih tugasan pejabat kat sekolah ni, banyak jugak perkara yang perlu aku tumpukan. Pagi menguruskan tugasan pejabat, petang pulak menguruskan tugasan mengajar.

Jangan pelik pulak sebab aku bertugas di Sekolah Rendah Agama Rakyat. Disebabkan aku hanya mengajar disesi petang, dan kebetulan ustaz yang menguruskan hal-hal pentadbiran pejabat sekolah sebelum ini telah berhenti maka pengurusan sekolah meminta aku untuk mengisi kekosongan yang ada.

Memang banyak jugak yang perlu aku 'belajar' pasal pentadbiran sekolah ni. Buat masa ni alhamdulillah tak de masalah lagi la. Dan ada beberapa perancangan untuk penambahbaikkan yang sudah aku rancangkan.

Minggu depan umat Islam sedunia akan menyambut Hari Raya Aidil Adha, dan lepas habis cuti tu kalendar sekolah aku ni penuh dengan minggu-minggu peperiksaan. 

Apa pun, kepada adik-adik dan anak-anak yang sedang dan bakal menghadapi peperiksaan tu diharap dapat menghadapinya dengan tenang dan beroleh kejayaan yang cemerlang.



21 September 2014

Tips : Bagasi dan penerbangan

  1 komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Satu masa dahulu orang kebanyakan macam aku ni hanya mampu untuk memasang impian untuk berada disebalik awan memutih yang berlatarkan langit biru melintasi sempadan-sempadan negeri dan negara dengan menaiki pesawat terbang.

Waktu itu hanya mereka yang benar-benar berkemampuan yang mampu untuk merasai semua itu. Namun ianya tidak lagi menjadi satu kemustahilan pada zaman sekarang ini. 

Sejak sistem bayar dulu terbang kemudian diperkenalkan, semakin ramai yang boleh menjadikan impian untuk berada disebalik awan itu satu kenyataan tidak kira usia, pangkat mahupun darjat.



Tiket sudah dibeli. Perancangan perjalanan juga sudah dipersetujui. Semua dokumen telah disediakan. Tarikh penerbangan semakin hampir. Cuma tinggal beg yang perlu untuk diisi. Apa yang nak disumbat dalam beg nanti ? Macam mana nak menguruskan bagasi ? Jom kita kongsi sikit tips.

Tips pertama : Pakaian keperluan yang mencukupi.

Ada orang yang mewah dengan pakaian. Kalau kat rumah tu mungkin ada yang sampai terpaksa memiliki dua almari untuk menyimpan semua pakaian yang ada. Tapi bila nak terbang ke mana-mana, tak perlu la angkut segalanya yang ada dalam almari tu. 

Bergantung pada kesesuaian perjalanan dan berapa lama kita berada di destinasi yang dituju, cukup hanya beberapa pasang pakaian yang boleh dibasuh dan dipakai semula. 

Jadi tak perlu la beg yang terlalu besar dan terpaksa membawa berat berlebihan pula. Perlu diingat, ada syarikat yang membenarkan penumpangnya membawa bagasi di bawah muatan yang dihadkan dengan percuma dan ada juga syarikat yang mengenakan bayaran terhadap bagasi yang dibawa.

Tips kedua : Pengasingan mengikut jenis.

Mengasingkan barangan yang dibawa di dalam bagasi juga adalah satu keperluan  ketika menguruskan bagasi. Selain memudahkan kita untuk mencapai atau mengambil sesuatu yang kita perlukan, ianya juga memudahkan urusan pemeriksaan keselamatan ketika di terminal lapangan terbang.

Sebarang barangan berbentuk cecair tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam pesawat kecuali dengan pengesahan pegawai keselamatan yang bertugas. Jadi sebab tu la lebih mudah kalau setiap barang disusun dan diasingkan mengikut kategori masing-masing.


Tips ketiga : Aspek keselamatan.

Elakkan dari memasukkan barangan yang rapuh dan mudah rosak di dalam bagasi. Kalau nak bawak jugak, perlu la dibawa ke dalam kabin pesawat dengan beg yang lebih kecil.

Selain itu, pastikan bagasi milik kita berkunci. Kalau tiada kunci, pastikan ianya tidak mudah untuk dibuka. Terpulang la samada nak diikat dengan tali atau dibalut dengan plastik pembalut lut sinar.

Tidak lupa juga, pastikan bagasi milik kita tu bertanda. Ikatkan dengan riben atau sebagainya. Kalau boleh lekatkan pelekat nama yang lengkap beralamat yang mudah dihubungi lebih bagus walaupun ianya kelihatan seperti mendedahkan privasi kita sendiri.

Ok la, tu je tiga tips yang aku nak kongsikan dalam entri kali ni sebagai panduan kita bersama. Perlu kita ingat, barang kita adalah hak kita. Kalau bukan kita yang berusaha menjaganya, siapa lagi yang kita nak harapkan.

Dan perlu juga kita tahu, seandainya berlaku sebarang masalah seperti kerosakan bagasi ataupun kehilangan bagasi, segeralah melaporkan ke pejabat tuntutan bagasi dengan menampilkan bersama segala dokumen perjalanan kita pada hari tersebut.




20 September 2014

Haram bertambah haram

  6 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kalau suatu masa dulu kisah-kisah penangkapan kes-kes rasuah hanya banyak melibatkan orang bawahan. Mungkin kerana kesempitan hidup kerana pendapatan yang sedikit ditambah dengan kos sara hidup yang tinggi membuatkan mereka mengambil jalan pintas sebegitu.

Tajuk-tajuk akhbar hari ini pula mengisahkan tentang kes penangkapan orang-orang atasan pula yang terlibat dalam kes rasuah. Bukan nak kata keterlibatan orang atasan ini adalah satu perkara baru cuma nampaknya orang-orang atasan sekarang ni perlu lebih telus dalam menjalankan amanah.

Kalau kes yang melibatkan orang bawahan, kemungkinan faktor kesempitan hidup yang mendorong mereka untuk melakukan pekerjaan yang terkutuk tersebut.

Tapi bila ianya melibatkan orang atasan, mungkin faktor kesempitan akal fikiran yang mendorong mereka untuk bergelumang dengan aktiviti yang hina itu.


Sudahlah urusannya melibatkan sesuatu yang haram. Hasil dari urusan menggunakan pangkat dan kuasa yang dimiliki itu juga sudah semestinya haram. Dan apakah hasil dari segala keharaman itu disuapkan ke mulut anak isteri dan keturunan mereka ? 

Haram + Haram = Haram Jadah. Mungkin itu ungkapan yang lebih sesuai untuk perbuatan terkutuk yang mereka lakukan. Jauhilah yang haram walaupun ianya indah dan menyenangkan.

Jalankan amanah dan tanggungjawab dengan jujur dan ikhlas. Biarlah ada yang diperolehi itu mencukupi asalkan ianya diberkati daripada mencari yang lebih tapi ianya dilaknati.




19 September 2014

Bagasi yang hilang

  3 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Seminggu yang lalu, isteri dan anak-anak aku yang ditinggalkan sementara di kampung halaman nun jauh di Sabah telah kembali setelah menghabiskan masa hampir sebulan lebih di sana.

Kami berangkat ke Sabah pada hari syawal yang kedua bersama tiga buah bagasi yang sarat dengan pakaian. Menaiki penerbangan MAS menuju ke Kota Kinabalu dari KLIA tanpa ada sebarang masalah.

Seminggu menghabiskan cuti raya di rumah mertua, aku seorang diri kembali ke Semenanjung untuk bertugas semula. Hanya satu bagasi yang aku bawa untuk memuatkan pakaian yang perlu aku bawa pulang. Dari Kota Kinabalu menuju ke KLIA, aku menaiki pesawat MAS tanpa sebarang masalah.

Kepulangan isteri dan anak-anak aku pada minggu lepas berakhir dengan tragedi. Menaiki pesawat AirAsia dari Terminal Kota Kinabalu menuju ke KLIA2, berkesudahan dengan sesuatu yang menyedihkan.

Proses mendaftar masuk segala bagasi tidak bermasalah ketika di Terminal Kota Kinabalu. Dua bagasi bersaiz besar didaftarkan untuk naik ke pesawat menuju ke Kuala Lumpur penerbangan AK5119.

Pesawat mendarat di Kuala Lumpur tepat pada masanya. Selepas Terminal LCC ditutup dan perkhidmatan AirAsia dipaksa pindah ke KLIA2, itulah kali pertama aku menjejakkan kaki di KLIA2 setelah jenuh berpusing mencari lokasinya.

Ketika penumpang pesawat AK5119 mula meninggalkan Terminal KLIA2, isteri dan anak-anak aku masih menunggu di kawasan tuntutan bagasi. Daripada dua bagasi yang didaftarkan masuk ketika di Terminal Kota Kinabalu, hanya satu yang diperolehi ketika di KLIA2.


Setelah yakin tiada lagi bagasi yang tertinggal di tempat tuntutan bagasi, isteri aku membuat laporan kehilangan bagasi di pejabat urusan yang disediakan. Tiada sebarang jaminan bagasi yang hilang dapat dikembalikan. Pihak syarikat AirAsia akan membayar kos kehilangan bagasi mengikut berat bagasi yang didaftarkan itu sekiranya bagasi tidak ditemui.

Semalam aku menerima email dari pihak AirAsia yang meminta salinan butiran bank dan sedikit maklumat bagi proses tuntutan kehilangan bagasi. Maknanya mereka lebih rela mempamerkan harga kecuaian mereka dari menjalankan usaha mencari dan menyelamat.

Daripada apa yang dimaklumkan, bayaran ganti rugi yang ditawarkan oleh syarikat AirAsia itu lansung tidak mampu untuk membayar kerugian yang ditanggung kami. Katakanlah setiap kilogram dibayar sejumlah RM48. Berat keseluruhan bagasi mencecah 10kilogram.

Biar aku jelaskan kerugian yang kami alami itu melebihi dari nilai yang ditawarkan tu. Harga bagasi itu sendiri sahaja sudah bernilai RM100 lebih kurang. Pakaian anak-anak, yang paling murah boleh aku nilaikan sepasang harganya pun sudah belasan ringgit. Tu belum lagi bra yang harganya mencecah hampir RM50 setiap satu.

Tapi apakan daya, itulah nilai perniagaan mereka. Nama pun tambang murah. Jadi semuanya murah-murah belaka. Dan sememangnya aku sentiasa mencurigai pengurusan bagasi dari syarikat AirAsia ni dari sejak mula menggunakan perkhidmatan mereka. Beberapa kali bagasi aku pernah dibuka dan pernah juga terkoyak. 

Tidak dinafikan mungkin kehilangan bagasi itu disebabkan faktor kami sendiri tapi tidak boleh dinafikan ianya 99% adalah kecuaian pihak syarikat AirAsia sendiri dalam menguruskan barangan milik pelanggan mereka sendiri. 

Korang pulak macam mana ? Pernah mengalami kejadian serupa ? Kalau ada jom kongsikan bersama. Pada entri lain insyaAllah aku akan kongsikan antara langkah membawa bagasi menaiki penerbangan.



18 September 2014

Hanya kerana dunia

  2 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Seminggu yang lalu berlaku kekecohan dalam negara kita apabila terbongkarnya kes kebocoran kertas soalan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah hingga mengakibatkan beberapa kertas peperiksaan terpaksa dibatalkan.

Perkara ini tidak berlaku pada tahun 1990 ketika aku sendiri yang menjadi calon bagi menjawab kertas soalan peperiksaan UPSR waktu itu. Di zaman itu tiada guru atau pegawai peperiksaan yang mempunyai telefon bimbit berkamera mahupun talian jalur lebar tanpa wayar.

Di zaman itu juga guru atau pegawai peperiksaan tidak memiliki kamera digital bersaiz kompak yang boleh disimpan di dalam kocek seluar. Kalau ada pun hanya beberapa orang dikalangan ramainya guru-guru dan pegawai peperiksaan yang ada diseluruh Malaysia ini.

Kami sebagai calon menjawab peperiksaan UPSR ketika itu lansung tiada merasai sebarang tekanan mental. Cuma sedikit sedih kerana terkenangkan bakal terpisah dengan teman-teman sekelas yang bakal membawa haluan masing-masing apabila tamat darjah enam kelak.


Hanya menumpukan perhatian pada menjawab soalan-soalan yang diberikan. Bezanya dengan kertas soalan yang biasa dijawab ketika musim peperiksaan, kertas soalan UPSR itu mempunyai logo kementerian di hadapan muka surat depan.

Kertas soalan matapelajaran yang bagi aku paling susah pun mampu aku jawab dengan cemerlang tanpa sebarang tekanan mental walaupun keputusannya tidak secemerlang cara aku menjawabnya.

Tiada juga ujian aptitud dikenakan terhadap kami ketika itu. Hasilnya kini, rakan-rakan sekelas yang sama-sama mengambil ujian UPSR tahun 1990 dulu tu ada yang berkerjaya profesional, ada yang menjawat jawatan penting dibeberapa kementerian, ada yang menjadi usahawan berjaya, ada yang berkhidmat untuk negara, ada yang berjaya mengusahakan tanah pusaka di kampung, dan tiada yang tidak bermatlamat hidupnya.

Itu kisah zaman dahulu. Mungkin kementerian pendidikan pada zaman itu masih kurang arif dalam menentukan hala tuju misi pendidikan negara dalam menyediakan taraf pendidikan kepada rakyat Malaysia.

Zaman sekarang sangat jauh berbeza. Berbagai kaedah dan amalan dalam pendidikan digubah dan diubah. Murid-murid menjadi bahan kajian. Samada kaedah dan amalan terbaru itu mampu menjana rakyat yang lebih cemerlang untuk negara.

Dalam perlumbaan untuk menghasilkan rakyat yang cemerlang itu, maka mungkin kerana itu, hanya kerana keduniaan, ada yang sanggup merogol, mencabul, menodai sistem peperiksaan yang sedia ada. 

Risau si anak dianggap bebal kerana tidak lulus peperiksaan UPSR, maka berapa sahaja nilainya pasti sanggup dibayar biarpun maruah tergadai. Atau hidup yang tidak mewah, terlalu inginkan kemewahan hingga sanggup mengenepikan amanah.

Semuanya kerana dunia. Kalau suatu masa dahulu perkataan 'stress' ni biasanya kedengaran dikalangan calon-calon SPM, sekarang ni diusia calon UPSR pun dah pandai 'stress'.



01 September 2014

Ragam orang kita

  Tiada Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Hari ni melalui perkongsian yang ada dalam laman facebook, ada satu perkara yang agak menarik minat aku untuk berkongsi pemikiran disini.

Sebuah gambar yang menunjukkan seorang hamba Allah yang sedang menunaikan tanggungjawabnya sebagai hamba di tepi sebuah sistem perparitan pun boleh menjadi satu isu perdebatan dikalangan rakyat Malaysia ni.

Secara umumnya kita yang beragama Islam mengetahui kewajipan kita dalam menunaikan perintah Allah selama mana kita hidup di atas muka bumi ini. Kewajipan menunaikan solat bermula apabila sudah cukup syarat pada seseorang individu Islam itu untuk menunaikannya.


Apa yang dipertikaikan pada gambar tersebut ialah tempat hamba Allah itu menunaikan tanggungjawabnya. Ada yang kata tempatnya kotor. Ada yang kata tempatnya berbau busuk. Seperti mereka itu berada ditempat itu semasa hamba Allah itu bersolat di situ.

Tidak kurang juga yang agak memperlekehkan tindakan hamba Allah itu yang mungkin bagi mereka ini hamba Allah itu hendak menunaikan ibadahnya tidak mengira tempat sedangkan tempat untuk ibadah ada disediakan.

Persoalannya, adakah ibadah itu terutamanya menunaikan solat wajib didirikan hanya di masjid atau di surau ? Adakah masjid dan surau itu termasuk dalam senarai syarat sah menunaikan solat ?

Mudah-mudahan Allah memberikan hidayahnya kepada kita semua. Mungkin benar di negara kita ini terutamanya di Semenanjung Malaysia ini banyak masjid-masjid dan surau-surau yang dibina bagi memudahkan rakyatnya yang beragama Islam untuk menunaikan ibadah solat dalam keadaan selesa.

Perlu kita ingat, dalam perlaksanaan ibadah yang diperintahkan Allah, bukan kita manusia yang menilai segalanya. Siapalah kita ni nak mempertikaikan dan menilai manusia lain terutamanya dalam bab beribadah.

Banyakkan bersangka baik. Banyak manusia yang terlupa pada diri sendiri kerana terlalu sibuk mencari-cari kesalahan dan kesilapan orang lain. Banyak manusia yang zaman sekarang ini bila berkata-kata hingga melangkaui batas kecerdikannya.

Banyaknya masjid dan surau seperti yang digembar gemburkan itu, tiada juga maknanya jika tidak diimarahkan. Malah tidak pula dipertikaikan dimana perginya masyarakat penduduk yang tinggal disekeliling masjid dan surau yang dikatakan itu.

Tanyakan pada diri kita sendiri, adakah kita sendiri pun mencari surau atau masjid untuk menunaikan solat ? Atau kita anggap masjid atau surau itu cuma tempat bagi orang-orang yang singgah untuk menunaikan solat manakala kita cukup hanya bersolat dirumah. Lebih teruk lagi, dirumah juga tidak bersolat.

Khilaf itu tak salah. Cuma jangan sampai kita rasa orang lain semuanya tidak betul dan hanya kita yang benar. Ambil iktibar jadikan pengajaran. Semoga kita menjadi hambaNya yang kekal bertaqwa.