19 September 2014

Bagasi yang hilang

  2 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Seminggu yang lalu, isteri dan anak-anak aku yang ditinggalkan sementara di kampung halaman nun jauh di Sabah telah kembali setelah menghabiskan masa hampir sebulan lebih di sana.

Kami berangkat ke Sabah pada hari syawal yang kedua bersama tiga buah bagasi yang sarat dengan pakaian. Menaiki penerbangan MAS menuju ke Kota Kinabalu dari KLIA tanpa ada sebarang masalah.

Seminggu menghabiskan cuti raya di rumah mertua, aku seorang diri kembali ke Semenanjung untuk bertugas semula. Hanya satu bagasi yang aku bawa untuk memuatkan pakaian yang perlu aku bawa pulang. Dari Kota Kinabalu menuju ke KLIA, aku menaiki pesawat MAS tanpa sebarang masalah.

Kepulangan isteri dan anak-anak aku pada minggu lepas berakhir dengan tragedi. Menaiki pesawat AirAsia dari Terminal Kota Kinabalu menuju ke KLIA2, berkesudahan dengan sesuatu yang menyedihkan.

Proses mendaftar masuk segala bagasi tidak bermasalah ketika di Terminal Kota Kinabalu. Dua bagasi bersaiz besar didaftarkan untuk naik ke pesawat menuju ke Kuala Lumpur penerbangan AK5119.

Pesawat mendarat di Kuala Lumpur tepat pada masanya. Selepas Terminal LCC ditutup dan perkhidmatan AirAsia dipaksa pindah ke KLIA2, itulah kali pertama aku menjejakkan kaki di KLIA2 setelah jenuh berpusing mencari lokasinya.

Ketika penumpang pesawat AK5119 mula meninggalkan Terminal KLIA2, isteri dan anak-anak aku masih menunggu di kawasan tuntutan bagasi. Daripada dua bagasi yang didaftarkan masuk ketika di Terminal Kota Kinabalu, hanya satu yang diperolehi ketika di KLIA2.


Setelah yakin tiada lagi bagasi yang tertinggal di tempat tuntutan bagasi, isteri aku membuat laporan kehilangan bagasi di pejabat urusan yang disediakan. Tiada sebarang jaminan bagasi yang hilang dapat dikembalikan. Pihak syarikat AirAsia akan membayar kos kehilangan bagasi mengikut berat bagasi yang didaftarkan itu sekiranya bagasi tidak ditemui.

Semalam aku menerima email dari pihak AirAsia yang meminta salinan butiran bank dan sedikit maklumat bagi proses tuntutan kehilangan bagasi. Maknanya mereka lebih rela mempamerkan harga kecuaian mereka dari menjalankan usaha mencari dan menyelamat.

Daripada apa yang dimaklumkan, bayaran ganti rugi yang ditawarkan oleh syarikat AirAsia itu lansung tidak mampu untuk membayar kerugian yang ditanggung kami. Katakanlah setiap kilogram dibayar sejumlah RM48. Berat keseluruhan bagasi mencecah 10kilogram.

Biar aku jelaskan kerugian yang kami alami itu melebihi dari nilai yang ditawarkan tu. Harga bagasi itu sendiri sahaja sudah bernilai RM100 lebih kurang. Pakaian anak-anak, yang paling murah boleh aku nilaikan sepasang harganya pun sudah belasan ringgit. Tu belum lagi bra yang harganya mencecah hampir RM50 setiap satu.

Tapi apakan daya, itulah nilai perniagaan mereka. Nama pun tambang murah. Jadi semuanya murah-murah belaka. Dan sememangnya aku sentiasa mencurigai pengurusan bagasi dari syarikat AirAsia ni dari sejak mula menggunakan perkhidmatan mereka. Beberapa kali bagasi aku pernah dibuka dan pernah juga terkoyak. 

Tidak dinafikan mungkin kehilangan bagasi itu disebabkan faktor kami sendiri tapi tidak boleh dinafikan ianya 99% adalah kecuaian pihak syarikat AirAsia sendiri dalam menguruskan barangan milik pelanggan mereka sendiri. 

Korang pulak macam mana ? Pernah mengalami kejadian serupa ? Kalau ada jom kongsikan bersama. Pada entri lain insyaAllah aku akan kongsikan antara langkah membawa bagasi menaiki penerbangan.



2 comments:

  1. Belum pernah berlaku kecuali bagasi terpaksa tunggu bagasi sampai untuk penerbangan kedua kerana lebih muatan. Kapal terbang twin otter kemampuan membawa muatan yang terhad. Kalau ada lebihan terpaksa tunggu penerbangan seterusnya.

    ReplyDelete