03 August 2016

M.A.U.T

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Entri untuk hari ni lari sikit dari kisah tentang VBAC tu. InsyaAllah sambungan tentang kisah VBA3C tu akan aku sambung jika berkesempatan. 

Hari ni aku nak berkongsi tentang MAUT. Siapa yang tak kenal dengan maut kan ? Dan pastinya kita semua akan menghadapinya juga nanti. Cuma bersedia atau tidak je persoalannya.


Makanan yang kita suapkan ke dalam mulut dan ditelan untuk dihadam oleh badan kita jika tidak dikawal pengambilannya pasti akan mengundang berbagai kesan buruk. Lihat saja bagaimana kebelakangan ni berbagai perkongsian jenis makanan yang disebar melalui medan facebook, instagram dan sebagainya.


Masing-masing berlumba-lumba nak melelehkan apa yang boleh dilelehkan. Semuanya nampak menyelerakan pada pandangan nafsu makan hingga menutup mata hati kita untuk melihatkan akibat dari pengambilan makanan tanpa kawalan tu.

Air merupakan satu keperluan penting bagi setiap kehidupan. Kita sebagai manusia juga disarankan untuk mengambil air yang mencukupi bagi menyeimbangkan kitaran tubuh. Tanpa air, seseorang itu pasti tidak akan dapat bertahan lama untuk terus hidup.


Cuma masalahnya air yang kita ambil setiap hari sebagai minuman tu yang berjenis bagaimana. Sampaikan air kosong yang kita minum pun dikatakan sudah tidak selamat untuk kesihatan. 

Udara yang kita sedut setiap detik merupakan anugerah yang tidak terhingga dari Allah kepada setiap makhluk Nya. Bagi yang tinggal dikawasan yang tidak dicemari dengan penerokaan hutan, asap-asap beracun dari kenderaan, asap-asap rokok dan sebagainya pasti dapat menikmati udara yang segar berbanding dengan orang yang tinggal dikawasan membangun.


Betapa kita mendambakan udara yang bersih, segar, nyaman hinggakan kita sanggup untuk mendapatkan produk-produk yang mampu untuk menapis udara agar kita dapat hidup dalam persekitaran yang sihat.

Tekanan untuk mendapatkan makanan yang bersesuaian, air yang dapat menjamin kualiti kesihatan, udara yang tidak tercemar pastinya menjadi-jadi terutama bila tubuh badan kita sudah mula menunjukkan tanda-tanda ketidaknormalan. 


Belum lagi ditambah dengan tekanan-tekanan yang dihadapi dari tempat kerja, tekanan hidup dan berbagai-bagai lagi jenis tekanan yang pasti bukan mudah untuk dihadapi jika tidak bijak mengawalnya.

Dan itulah antara punca-punca utama MAUT yang selalu kita terlepas pandang. Bagi yang berkesempatan untuk 'menjauhi' atau 'mengawal' MAUT yang menghampiri, alhamdulillah jangan berhenti. Bagi yang belum pasti, ingat empat perkara yang dah aku kongsikan tadi tu. Makanan, Air, Udara dan Tekanan.


Bukan melarikan diri dari kematian atau maut, tapi mencegah diri dari menghampiri kematian atau maut tu je. Fikir-fikirkanlah.


*Gambar : Ehsan dari Google

2 comments: