20 July 2017

Cerita Raya 2017

  5 Komen    
label: , , ,
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua yang sudi singgah. Bulan Syawal 1438 pun dah nak melabuhkan tirainya. Aku pulak baru sibuk-sibuk nak cerita pasal raya. Ala, raya kan sebulan. 

Alhamdulillah tahun ni rezeki kami sekeluarga dapat beraya di kedua-dua belah kampung. Tahun lepas kami cuma beraya di Perak je disebabkan anak keempat tu lahir dah hujung-hujung Ramadan. 


Kalau tak de sesi bergambar bukan raya la pulak kan. Waktu ni lepas selesai solat sunat Aidil Fitri. Sebelum mula keluar pegi beraya ke rumah sanak saudara, layan sesi bergambar kenang-kenangan dulu.

Keluarga di sebelah Teluk Intan (kampung aku la tu) ni tak la besar sangat. Adik beradik aku cuma enam orang. Baru empat yang dah berumahtangga dan beranak pinak. Dua orang lagi masih berstatus bujang.


Tak cukup korum sebenarnya ni. Kakak aku yang nombor dua beraya di kampung mertua dia dulu kat Sijangkang. Lagipun abang ipar aku kena berkerja di hari raya. Adik bongsu aku pun tak de dalam gambar ni. Jadi, yang ni je la yang ada. Satu keluarga dari Kedah. Satu dari Ipoh (aku la tu). Satu dari Johor. Yang sorang tu setia di tanah kelahiran.


Tak raya kalau tak main bunga api. Ye la tu. Seronok la anak-anak buah sebab ada ayah saudaranya sponsor bunga api. Kebetulan pula cuaca tersangat mengizinkan untuk budak-budak tu berhuha-huha di halaman rumah atuk mereka.


Tengahari Syawal kedua ketika orang ramai sibuk bersesak menuju ke MAPS (Movie Animation Park Studio), aku dan keluarga pulak berangkat menuju ke KLIA 2 untuk mengejar penerbangan balik ke kampung. Eh, balik kampung lagi ? 

Ye la..kampung jauh pulak. Bukan selalu nak naik bas pun. Rabak jugak la RM200++ untuk satu hala perjalanan dari Teluk Intan ke KLIA 2 tu. Nasib baik aku dah beli tiket bas tu awal-awal berbulan sebelum raya. Konon bajet nak sampai KLIA 2 tu terus boleh daftar masuk, sekali punya la awal kitorang sampai. Awal dua jam dari masa kaunter daftar dibuka.


Untung jugak la kitorang sampai awal sebab tak perlu nak kelam kabut sangat. Santai-santai je. Kena pulak dapat tau penerbangan yang dijadualkan pada jam 8.30 malam tu ditunda ke jam 9.30 malam, lagi la kitorang santai sangat-sangat.

Selepas meneliti lokasi kaunter daftar masuk dan jadual pintu pelepasan, kitorang mengisi kekosongan perut dulu di restoran makanan segera yang ada kat KLIA 2 tu. Nak masuk restoran lain tak berapa minat. Nak masuk kafe-kafe, nanti terlebih bajet pulak kan. Jadinya layan je mekdi, dah tentu semua makan. Cuma yang tak best tu, pesan Happy Meal takde mainan.


*bersambung*





14 July 2017

Jangan Meroyan

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Sebelum ni aku ada kongsikan kisah pasal terlepas kapal terbang. Malah bila aku baca kisah-kisah yang ditularkan melalui media sosial, ramai jugak yang menyalahkan syarikat penerbangan dan tak kurang juga yang mengkritik pembawa cerita.

Aku bukan la orang yang kerap sangat menggunakan khidmat penerbangan ni tapi bila nak balik ke kampung sebelah isteri aku, nak tak nak memang kena naik kapal terbang jugak. Jadi kat sini aku nak kongsikan sikit pengalaman aku dalam menghadapi situasi bagi mengelakkan meroyan dikemudian hari.

1. Tetapkan Tarikh

Biasanya selain dari memilih tambang yang mampu untuk aku tanggung, aku mesti dah siap tetapkan tarikh. Bukan tarikh penerbangan je, tapi tarikh untuk semua urusan. Bermakna pada tarikh penerbangan tu nanti aku tak diganggu dengan urusan-urusan lain. Kalau tak, waktu tu la nak kena siapkan tugasan pejabat yang tertinggal, waktu tu la tiba-tiba ada kawan opis telefon semata-mata nak tanya kat mana letak peluru stapler. Pastikan pada tarikh tersebut, dalam fikiran tu hanya ada anda dan trip penerbangan tu je.


2. Disiplin Masa

Mengatur masa ni penting. Kena tetapkan tanpa ada perubahan. Katakan la kalau penerbangan tu dijadualkan pada jam 3 petang, aku akan pastikan aku telah berada di balai pelepasan tu paling lewat 3 jam awal dari jadual penerbangan tu. 

Ada orang tu dia fikir sebab rumah dia kat sebelah lapangan terbang tu je. Sebab tu lagi 10 minit baru terhegeh-hegeh nak daftar masuk. Kecuali la syarikat penerbangan tu Opah dia yang punya.

3. Peka Dengan Situasi

Ada orang bila sampai je kat lapangan terbang tu, tiba-tiba jadi macam rusa masuk kampung. Mungkin pertama kali nak naik kapal terbang kot. Sampai je kat lapangan terbang, disangkanya telah tersalah tempat. Mana taknya, lapangan terbang ke pusat membeli belah ni ?

Perkara pertama aku biasa buat bila sampai lapangan terbang, aku akan cari papan kenyataan maklumat penerbangan. Kenalpasti dulu nombor penerbangan, tengok kat celah mana pintu pelepasan yang dijadualkan dan kenalpasti kat mana nak daftar masuk.

4. Tenang Jangan Panik

Baru-baru ni waktu nak daftar masuk, aku diberitahu oleh kakitangan penerbangan tersebut kalau aku nak daftar masuk melalui kaunter, perlu ada bayaran tambahan bagi setiap seorang. Eh, bukan ke aku dah bayar semuanya masa buat pembelian dalam talian ?

Haa..tu pentingnya supaya jangan panik menggelabah beruk bila kena situasi macam tu. Tak salah kalau kita bertanya secara berhemah. Kalau tak nanti kita jugak yang malu-malu kucing sebab tak hadam betul-betul ketetapan yang dibuat oleh mana-mana syarikat penerbangan.


5. Jangan Lupa Tengok Jam

Kalau korang takde jam tangan, tengok je la jam kat telefon pintar korang tu. Tak pun setkan penggera. Jangan korang ingat bila dah daftar masuk tu, korang pasti akan terbang. Ya, silap percaturan, duit korang yang terbang sebab kena beli tiket lain.

Aku suka daftar masuk awal. Sebabnya kalau lambat-lambat nanti jadi kelam kabut pulak. Tambah lagi dengan 4 orang anak yang perlu dikawal sepanjang masa. Biasanya setibanya aku di lapangan terbang, aku akan bawak dulu bagasi-bagasi aku untuk dilakukan pemeriksaan keselamatan oleh pihak berwajib (mengikut ketetapan lapangan terbang), bila kaunter daftar masuk dibuka, aku akan mendaftar masuk awal walaupun penerbangan tu kemungkinan ditunda jadualnya.

Lepas daftar masuk dan serahkan bagasi, baru la boleh nak santai-santai sekejap dengan anak-anak. Tapi yang penting jangan sampai lupa diri pulak.

6. Kenalpasti Pintu Pelepasan

Bila dah dapat 'boarding pass' tu, tengok nombor pintu pelepasan tu dulu. Lagi besar angkanya maknanya lagi jauh la nak kena menapak. Katakan la pintu pelepasan tu bermula dengan huruf 'A', ada harapan la kita dapat jimatkan lemak-lemak kat badan sebab tak perlu berjalan jauh. Tapi kalau la bermula dengan huruf 'Z', haa..siap sedia je la nak layan marathon kat lapangan terbang tu. Begitu jugak dengan nombor. Kalau dapat nombor '1' tu, ala-ala dekat la. Tapi kalau ko dapat '100', boleh turun 30kg jugak la.

Ada lapangan terbang agak sukar jugak nak mencari pintu pelepasan tu. Kadang-kadang tu daftar masuk kat tingkat atas, tapi pintu pelepasan kat tingkat bawah. Sebab tu kita kena kenalpasti betul-betul kat mana arah pintu pelepasan kita tu nanti. 

7. Masa Itu Emas

Daftar masuk, sudah. Daftar masuk bagasi, sudah. Boarding pass, dah dapat. Yeyy..boleh shopping jap. Kalau macam aku ni, abis kuat pun masuk restoran makanan segera je. KFC ke, McDonald's ke. Nak singgah kiosk Famos Amos pun aku main jeling dari bucu mata je. Hahaha..

Mahal kot. Tapi kalau korang kaya raya, tak salah korang nak bershopping kat lapangan terbang tu. Bila lagi ye tak ? Cuma jangan la ko layan macam ko shopping hari biasa-biasa. Duduk dalam satu butik je dah 2 jam. Satu persatu nak dibeleknya.

Ingat balik tujuan kita kat lapangan terbang tu apa. Nak membeli belah ke atau nak naik penerbangan ? Kadang-kadang tu tak beli pun, tapi suka nak membelek. Bila dah leka sangat, baru tersedar pintu pelepasan dah dibuka. Lepas tu baru la kelam kabut nak cari arah tuju. Tersesat punya pasal, orang lain semua dah masuk pesawat bila ko tak muncul-muncul secara otomatik pihak berkuasa penerbangan akan keluarkan semua bagasi ko sebab mana la tau kot-kot ada bom ke apa ke kan.

Dan bila pintu pesawat dah ditutup baru ko nak munculkan diri walaupun ko bagi alasan 30 minit ke apa ke, harap bertabah je la. Ko ingat senang ke nak bukak pintu kapal terbang tu macam bukak pintu bas.


8. Jangan Meroyan

Kalau kita ikut semua disiplin sebagai penumpang sesebuah syarikat penerbangan, insyaAllah takkan berlaku apa-apa masalah. Tak perlu nak petik 'pelanggan selalu betul'. Dalam aspek keselamatan, bukan ko sorang je pelanggan syarikat tu. Ada lagi beratus orang dalam penerbangan tu sebagai pelanggan dan mereka juga berhak untuk mendapatkan hak mereka. 

Aku rasa tak pernah lagi ada jadual penerbangan yang diawalkan oleh syarikat penerbangan. Kalau ditunda atau dilewatkan tu memang biasa la. Kalau ada jugak yang diawalkan, mungkin satu dalam sejuta kot. 

Bila dah nyata kita bersalah, terima je la. Kalau penumpang lain dalam penerbangan yang sama boleh berada dalam jadual penerbangan tu tanpa sebarang masalah, kenapa kita tak boleh ? Bermakna yang salah tu kita. Bukan syarikat penerbangan. Kecuali la ramai-ramai yang terlepas jadual tu baru la boleh meroyan.

Apa pun, bagi yang tak pernah berurusan dengan penerbangan tu tak payah la komen lebih-lebih. Kadang-kadang tu aku tengok lebih sudu dari kuah. Kalau tak tahu, jangan malu untuk bertanya sebab malu bertanya, nanti sesat jalan pula.



13 July 2017

Terlepas Kapal Terbang

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Siapa dikalangan pembaca dan pengunjung blog aku ni yang pernah mengalami situasi ketinggalan penerbangan ? Dah tentu situasi tu akan membuatkan korang rasa amat sedih, marah dan kecewa betul tak ?

Aku pernah juga sekali ketinggalan kapal terbang. Memang rasa nak meroyan jugak mula tu tapi disebabkan sedar kesilapan tu adalah berpunca dari diri aku sendiri, terpaksa je la redha dengan ketentuan walaupun terpaksa mengeluarkan kos yang lebih tinggi untuk menaiki pesawat yang lain.


Kisahnya tidaklah begitu tragik. Aku bukan terlewat 30 minit macam kisah yang pernah viral di media sosial sebelum ini. Kelewatan aku untuk berada di pintu pelepasan memang tak boleh nak dimaafkan.

Penerbangan yang dijadualkan berlepas pada jam 2 petang tu sikit pun tak nak tunggu aku yang lewat tak ingat. Ya, aku tiba di balai berlepas kurang 5 minit dari jam 2 petang tu. Memang takde maaf bagimu la kan.

Nak merayu pun memang takkan berjaya punya. Terpaksa la buat pilihan kedua dengan membeli tiket penerbangan yang lain untuk pergi ke destinasi yang nak dituju.

Namun begitu sebenarnya, keterlewatan kita sebagai penumpang tu bergantung juga pada situasi penerbangan. Tahun-tahun sebelum tu, aku pernah juga hampir-hampir terlepas penerbangan yang dijadualkan. 

Bayangkanlah ketika itu kaunter untuk mendaftar masuk pun sudah ditutup. Dengan penuh tawakal, aku cuba untuk mendaftar masuk juga. Tidak perlu marah-marah, cuma buat muka kesian sikit, gunakan pertuturan yang paling sopan santun, aku diberikan tag hijau bermakna aku diberikan keutamaan untuk terus ke pintu pelepasan.


Terharu jugak aku bila kakitangan penerbangan tersebut berusaha menghubungi staff-staff di darat yang mengendalikan bagasi, staff di pintu pelepasan samada aku masih sempat untuk berada dalam penerbangan yang dijadualkan tu.

Malah kakitangan tersebut juga yang mengiringi aku yang bukan la VIP pun terus ke pintu pelepasan agar aku tak tersesat mencari.

Kira ikut nasib jugak la kan. Kalau nasib kita baik, insyaAllah akan dipermudahkan urusan. Kalau sebaliknya, redha dan tabah je la. Sebabnya, sebagai pelanggan kepada sesuatu syarikat penerbangan, kita kena faham dan akur dengan terma dan syarat yang telah ditetapkan. Bukan boleh main terjah je. Banyak aspek yang kita kena fahami betul-betul. 

Bagi yang dah biasa menggunakan perkhidmatan penerbangan, aku pasti mereka mengetahui 'skil-skil' atau disiplin yang perlu dipraktikkan. Kalau yang meroyan tak tentu pasal tu, agaknya baru pertama kali nak terbang kot.